Selasa, 1 Mac 2011

Inkues Beng Hock: Nota “selamat tinggal” diserah kepada Squires

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Nota ”selamat tinggal” tulisan tangan Teoh Beng Hock telah diserahkan kepada pegawai penyiasat yang dilantik Khamis lepas oleh Suruhanjaya Siasatan berkaitan punca kematian setiausaha politik anggota Exco Selangor itu.

Pengerusi suruhanjaya itu Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen berkata Michael Leslie Squires akan memaklumkan hasil siasatannya tidak lama lagi.

Pada prosiding inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam, pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia Wong Kong Yong mengesahkan sebahagian tulisan Bahasa Malaysia pada nota yang ditemui dalam beg sandang Beng Hock dan tulisan di buku nota lelaki itu dimiliki orang yang sama.

Kong Yong berkata, selepas diperiksa, beliau mendapati kedua-dua contoh tulisan Cina menunjukkan sebahagian persamaan ciri penulisan dan besar kemungkinan ditulis oleh orang yang sama.

Nota itu, yang dikemukakan selepas setahun prosiding inkues berjalan, ditemui pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal dan diterjemah oleh jurubahasa Mandarin.

Pada prosiding hari ini, Hakim Foong turut memaklumkan Pakar Patologi Thailand Dr. Pornthip Rojanasunand dan Pakar Forensik British Profesor Dr. Peter Vanezis akan memberi keterangan dalam bulan Mac. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...