Isnin, 22 Februari 2016

Enam Ditahan, Kereta Curi Bernilai RM1 Juta

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Polis menahan enam suspek yang aktif dalam kegiatan jenayah pecah rumah dan curi kenderaan, sekali gus menemui semula 10 kereta curi pelbagai jenis bernilai RM1 juta di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R Munusamy berkata kumpulan yang dikenali 'Geng Ah Seong' yang aktif sejak Disember lalu terdiri daripada lelaki warga tempatan berusia antara 24 dan 34 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Pulau Pinang dan Kuala Lumpur minggu lepas.

"Polis turut menemui 10 kenderaan bernilai kira-kira RM1 juta yang dilaporkan hilang di sekitar Lembah Klang, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.-- BERNAMA

Wanita Direman Bantu Siasatan Hina Sultan Johor Menerusi Facebook

JOHOR BAHARU, 22 Feb (Bernama) -- Seorang wanita direman hari ini bagi membantu siasatan berhubung tulisan menghasut dan menghina Sultan Johor menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara ACP Mohd Taib Ahmad berkata wanita berumur 26 tahun itu direman sehingga Khamis ini selepas ditahan di tempat letak kereta di Jalan Sutera, di sini kira-kira 3 pagi tadi.

Katanya pelayan pelanggan (GRO) itu, yang berasal dari Pontian, ditahan selepas polis menerima laporan seorang lelaki dari Majlis Gabungan Johor pada 8.53 malam di Balai Polis Kempas di sini pada 15 Dis lepas.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...