Jumaat, 25 Mac 2011

Timbalan Ketua Polis Negara Minta Anggota Berkhidmat Dengan Ikhlas

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- "Gunalah sentuhan sanubari dan jalankan tugas dengan ikhlas," demikian ingatan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Hussin Ismail kepada setiap anggotanya demi memantapkan lagi perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata perasaan itu perlu disemai dalam diri setiap anggota polis supaya tugas yang diamanahkan dapat disempurnakan dengan sebaik mungkin.

"Sikap profesional sahaja tidak mencukupi bagi seseorang anggota polis. Setiap apa yang kita lakukan, perlu ada sentuhan sanubari atau perlu ada rasa nak lakukannya ... harus ikhlas, barulah setiap tugas yang dilaksanakan itu menjadi," katanya dalam temubual khas sempena Hari Polis yang bakal disambut pada Jumaat.

Syabu Bernilai RM16.1 Juta Dibawa Masuk Dengan Kapal, Seorang Warga Iran Ditahan

SHAH ALAM, 24 Mac (Bernama) -- Polis merampas 58 bungkusan syabu seberat 81.4 kg dan bernilai kira-kira RM16.1 juta dari sebuah kontena berisi perabut dan permaidani di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir berkata seorang lelaki warga Iran berusia 32 tahun turut ditahan pada hari yang sama di Lembah Klang sebelum serbuan dilakukan ke atas kontena berkenaan.

Sarang Pelajar Ponteng Di Terengganu Diserbu

KUALA TERENGGANU, 24 Mac (Bernama) -- Pegawai- pegawai Jabatan Pelajaran Terengganu dan beberapa agensi lain hari ini menggempur beberapa kawasan di Kuala Nerus dan Marang yang menjadi tumpuan pelajar ponteng dan menahan 31 pelajar menengah, tiga daripada pelajar perempuan.

Kebanyakan pelajar itu yang menjadikan rumah-rumah kosong dan surau berhampiran sebagai tempat ponteng, bertempiaran lari apabila menyedari kehadiran pegawai-pegawai itu, malah ada yang sanggup bersembunyi dalam paya daripada ditahan.

Pulih Persepsi, Tingkatkan Kredibiliti Antara Tumpuan PDRM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan menyambut ulang tahun ke-204 esok, semakin agresif menyusun strategi bagi memperkukuhkan perkhidmatannya seterusnya mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti serta integriti pasukan itu.

Di bawah kepimpinan Tan Sri Ismail Omar, yang mula mengemudi PDRM sejak enam bulan lepas, pasukan itu dilihat semakin giat menangkis sentimen antipolis dan persepsi serong masyarakat yang ada antaranya cuba mencabar kewibawaan pasukan keselamatan itu.

Namun, pasukan beruniform biru yang tidak mengenal erti putus asa itu semakin optimis dan melipatgandakan usaha bagi meneruskan kesinambungan kejayaan dalam menurunkan angka ancaman jenayah di dalam negara.

Polis Selangor Jejaki 11 Individu Bantu Siasatan Lapan Kes Bunuh

SHAH ALAM, 24 Mac (Bernama) -- Polis Selangor sedang mengesan 11 individu termasuk enam warganegara asing bagi membantu siasatan lapan kes bunuh yang masih belum selesai di sekitar Lembah Klang sepanjang tempoh tiga tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata daripada lapan kes itu, dua kes pada 2009, empat kes pada 2010 dan dua kes pada tahun ini.

"Polis Selangor masih belum dapat menyelesaikan kes-kes bunuh ini berikutan kegagalan mengesan kesemua individu terbabit. Justeru kita berharap bantuan daripada orang ramai untuk mengesan mereka yang boleh membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari Khamis.

Pesakit Mental Di Kalangan Penagih Dadah Di Kedah Meningkat

ALOR SETAR, 24 Mac (Bernama) -- Pesakit mental di kalangan penagih dadah turut meningkat di Kedah, kata seorang pakar perubatan.

"Pesakit mental yang disebabkan oleh pengambilan dadah semakin meningkat setiap tahun dan golongan remaja dan dewasa adalah yang terbanyak menghidap penyakit mental disebabkan pengambilan najis dadah," kata Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Sultanah Bahiyah di sini, Dr Ahmad Rasidi M. Saring.

Beliau berkata pengambilan dadah adalah antara faktor yang menyebabkan seseorang itu mendapat sakit mental selain faktor persekitaran, faktor individu itu sendiri dan faktor kesihatan diri seseorang.

Penyiasat Trafik Cekap Perlu Mahir 'Terjemah' Kesan Kemalangan

PETALING JAYA, 24 Mac (Bernama) -- Kesan-kesan kemalangan seperti goresan, serpihan kaca cermin dan kesan-kesan tayar di atas jalan raya, merupakan bukti kukuh yang diperlukan dalam sebarang kes-kes pendakwaan terhadap seseorang pesalah jalan raya, kata seorang pegawai penyiasat trafik berpengalaman.

Pegawai Penyiasat Pasukan Trafik dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Lim Beng Thye berkata selain rakaman percakapan saksi serta mangsa, kesan-kesan di tempat kemalangan turut 'bercerita' kepada seseorang pegawai penyiasat (IO) mengenai kejadian.

PDRM Sasar Capai 150,000 Anggota Menjelang 2015

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyasar untuk mencapai kekuatan anggotanya menjangkau sehingga 150,000 orang menjelang tahun 2015 bagi mengimbangi kehendak masyarakat yang semakin bertambah mendesak serta pembangunan negara yang pesat.

Pengarah Pengurusan Ibu pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Robiah Abdul Ghani berkata pihaknya merancang untuk menambah kekuatan anggota polis yang sedia ada, kerana keadaan landskap negara ketika ini dilihat memerlukan sebuah pasukan polis yang efektif dan berkesan.

Lelaki Dihukum Penjara Lapan Tahun Dan Enam Sebatan Kerana Miliki Senjata Api

KOTA BAHARU, 24 Mac (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis menjatuhi hukuman penjara lapan tahun terhadap seorang lelaki yang mengaku salah memiliki senjata api dan peluru, bulan lalu.

Hakim Rofiah Mohamad turut menjatuhi hukuman enam sebatan rotan terhadap Suphon Ehsan, 30, bagi kesalahan itu.

Suphon didakwa memiliki sepucuk Revolver 357 Magnum Cal Smith&Wesson tanpa sebarang permit atau lesen yang sah pada pukul 4.25 pagi, 25 Februari lalu di sebuah chalet Perdana Resort di sini.

D2 Punya Tugas Penting Kesan Dan Analisis Cap Jari Penjenayah

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Tugas di Bahagian Pendaftaran Rekod Jenayah (D2) Ibu pejabat Polis Bukit Aman mungkin dipandang tidak sehebat atau kurang dikenali berbanding tugas pegawai di jabatan lain, misalnya Forensik atau Narkotik, namun sebenarnya di sinilah segalanya bermula.

Sama ada seseorang yang ditahan polis itu mempunyai rekod jenayah lampau, ia boleh dibuktikan melalui rakaman cap jari yang disimpan di jabatan itu sejak beberapa tahun lalu.

Penolong Pengarah D2 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Supt Yusuh Mat Tais berkata dari segi analisis cap jari, jabatan itu terletak di bawah peruntukan undang-undang dan anggotanya terdiri daripada kalangan pakar.

Anak Pesara Polis Ke Tali Gantung Kerana Edar Ganja

SHAH ALAM, 24 Mac (Bernama) -- Seorang anak pesara polis dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis selepas didapati bersalah mengedar ganja sebarat 2.3 kilogram, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Rahim Uda berkata tertuduh Mohamad Hasnizam Hussein, 33, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dia juga memerintahkan Mohamad Hasnizam, penasihat tuntutan insurans, menjalani hukuman penjara dua tahun atas satu lagi tuduhan memiliki 10.52 gram ganja.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...