Khamis, 26 Oktober 2017

ANAK SEMBUNYI PIL KUDA DI KEDAI RUNCIT IBU

KUALA BERANG: Taktik seorang pemuda berumur 30 tahun menjadikan kedai runcit ibunya sebagai tempat menyimpan bekalan dadah terbongkar selepas diberkas polis bersama 980 biji pil kuda bernilai RM10,000 dalam satu serbuan di Kampung Bukit Gemuruh, dekat sini, pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud berkata suspek ditahan pada pukul 3.30 pagi dalam satu serbuan oleh anggota polis bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

"Serbuan dibuat hasil risikan polis sejak lima bulan lalu susulan maklumat orang awam terdapatnya aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.

"Suspek juga pada awalnya menyedari kehadiran anggota dan cuba melarikan diri dengan membuang bekalan dadah yang ada tetapi cubaannya gagal kerana premis berkenaan telah dikepung oleh pihak berkuasa," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata setelah menjalani ujian air kencing suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Siasatan awal mendapati bekalan dadah ini baharu diterima oleh suspek dan ianya dipercayai untuk pasaran sekitar daerah Hulu Terengganu," katanya.

Suspek yang turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 31 Oktober dan kes  disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA


Sumber: KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...