Ahad, 22 Julai 2012

Kedai motosikal rugi RM43,000


Gambar hiasan

SHAH ALAM: Tiada kesan pecah masuk, sebaliknya hanya ada kesan pecah keluar. Demikian situasi di sebuah kedai menjual motosikal di Seksyen 25, di sini, yang kerugian RM43,000 dalam kejadian rompakan, malam kelmarin.
Kejadian hanya disedari pengurus kedai ketika mula-mula membuka kedainya jam 9 pagi semalam, apabila melihat beberapa topi keledar dan baju hujan yang dijual di situ hilang.


Jurucakap polis ketika ditemui berkata, pengurus terbabit kemudian membuat pemeriksaan sebelum mendapati almari besi di dalam kedai dikopak dan wang tunai RM10,000 yang disimpan di dalamnya hilang, manakala wang tunai RM5,000 dalam mesin tunai turut hilang.


“Turut hilang ialah lima topi keledar berkualiti dan 30 pasang baju hujan,” katanya.


Hasil pemeriksaan kemudian mendapati keseluruhan kedai tidak mempunyai kesan pecah masuk dan pencuri terbabit dipercayai melarikan diri melalui pintu belakang dengan memotong mangga pintu yang dikunci dari dalam.



Sehubungan itu, polis tidak menolak kemungkinan pencuri bersembunyi di dalam kedai sejak kelmarin hingga ia ditutup pada jam 7.45 malam kelmarin.



“Pencuri turut melarikan kamera litar tertutup (CCTV) di kedai itu, termasuk alat perakam, dipercayai bagi menghapuskan bukti,” katanya.

BANDAR SEGAMAT MENYERUPAI SELATAN THAILAND ???



SEGAMAT 20 Julai - Dalam tempoh dua bulan, sudah tiga kes bunuh berlaku di daerah ini.

Bukan untuk menakut-nakutkan orang ramai namun, kes tembak yang berlaku di daerah ini perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa kerana ia berlaku di sebuah bandar kecil.

Pihak polis kini giat mengesan penjenayah yang terlibat dalam kejadian itu namun orang ramai tidak perlu khuatir kerana usaha memburu suspek sedang giat dilakukan.

Jika pada 12 Jun lalu, seorang ahli perniagaan mati ditembak di sebuah stesen minyak, disusuli seorang pemandu trak tunda ditembak di persimpangan lampu isyarat pada 23 Jun, satu lagi pembunuhan kejam berlaku di bandar ini awal pagi ini.

Kali ini, seorang jurujual produk jualan langsung maut akibat ditembak tiga das semasa menunggu isterinya selesai bekerja di sebuah pusat hiburan keluarga di Bandar Utama di sini.

Dalam kejadian pukul 2.50 pagi itu, mangsa, Asnan Yunus, 28, dari Felda Palong Timur mati di tempat kejadian setelah tembakan itu mengenai rusuk, tengkuk dan bawah telinga sebelah kiri.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Md. Anuar Ismail berkata, semasa kejadian mangsa sedang menunggu di dalam keretanya tidak jauh dari sebuah kedai serbaneka.

"Setakat ini polis sudah mengenal pasti beberapa individu untuk membantu siasatan yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada 12 Jun lalu, seorang ahli perniagaan ditembak enam das dari jarak dekat ketika mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Jalan Genuang, manakala satu lagi kes berlaku pada 23 Jun apabila dua suspek melepaskan empat das tembakan terhadap seorang pemandu trak tunda di Bandar Baru Segamat.

Menceritakan lebih lanjut kejadian awal pagi ini, Md. Anuar berkata, sebuah kenderaan menghampiri kereta Asnan sebelum melepaskan tiga das tembakan dan mengenai mangsa.

Beliau berkata, polis masih menyiasat motif pembunuhan itu dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Difahamkan mangsa dan isterinya yang berusia 27 tahun tinggal di Kampung Jawa di sini dan mempunyai dua anak.

Pasar raya borong dirompak, rugi RM21,000


Gambar hiasan

KLANG — Sebuah pasar raya borong kerugian wang tunai hampir RM21,000 apabila hasil jualan lesap dilarikan perompak dalam kejadian di Seksyen 36, Kampung Jawa di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Supt. Mazlan Othman berkata, kehilangan wang tunai itu disedari penyelia premis kira-kira 6.45 pagi tadi sewaktu mahu memulakan operasi perniagaan.

"Pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati suspek masuk melalui tingkap belakang premis dan kunci tingkap itu dipotong menggunakan peralatan khas sebelum suspek menggunakan alat yang sama untuk menebuk peti besi yang ditempatkan dalam bilik pejabat premis ini," katanya ketika dihubungi.

Mazlan berkata, siasatan rakaman kamera litar tertutup menunjukkan kelibat seorang lelaki bertopi yang dipercayai bertanggungjawab melarikan wang tunai berkenaan.—BERNAMA

Bekas Ketua Wanita Umno Cawangan Bukit Hangus, Mati Dibunuh


Gambar hiasan
ALOR SETAR: Bekas Ketua Wanita Umno cawangan Bukit Hangus, Halimah Yunus, 66, ditemui mati berlumuran darah di rumahnya di kampung Bukit Hangus, Jeneri, Sik, Jumaat malam.

Ketua Polis Daerah Sik DSP Mohd Ismail Ibrahim berkata mangsa ditemui dengan kesan kelar di leher kiri, oleh suaminya, Mee Hashim, 63, dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah mereka kira-kira 9.20 malam.

Beliau berkata polis masih menyiasat motif pembunuhan itu kerana tiada barang berharga yang hilang ketika kejadian. Senjata yang digunakan juga masih belum ditemui.

Katanya, ketika kejadian mangsa berseorangan di rumah manakala rumah jiran yang terdekat terletak kira-kira 200 meter daripada tempat kejadian.

Sementara itu, Mee berkata beliau menemui isterinya dalam keadaan berlumuran darah semasa pulang ke rumah selepas menunaikan solat Tarawih di surau.

"Waktu tu arwah penuh darah tapi boleh bercakap lagi, dia bagi tau ada seorang lelaki tikam dia. Kemudian saya minta tolong jiran bawa arwah ke hospital Sik," katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, Sabtu.

Katanya, dia dan arwah hanya mempunyai seorang anak perempuan berusia 46 tahun yang telah berkahwin dan tinggal bersama suami di Sungai Petani.

Mee berkata terdapat kesan pecah masuk di pintu belakang rumahnya namun tiada barang berharga yang hilang termasuk barang kemas yang dipakai arwah isterinya.

Menurut Mee, isterinya seorang yang sangat mengambil berat tentang hal masyarakat dan mempunyai hubungan yang baik dengan orang-orang kampung.

"Arwah tinggal seorang diri di rumah waktu saya pergi sembahyang tarawih malam tadi sebab dia tak sihat sejak kena sakit penat (asma) beberapa tahun lepas," katanya. BERNAMA

Dua Mayat Lelaki Dengan Kesan Tikaman Ditemui


Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Mayat dua lelaki dipercayai rakyat asing ditemui dengan kesan tikaman di rusuk dan dada berhampiran Jalan Sungai Tekali Hulu Langat, Kajang dekat sini hari ini.

Mayat dua lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an dan lengkap berpakaian itu ditemui oleh seorang pemburu babi hutan.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata pemburu itu membuat laporan polis berhubung penemuan dua mayat itu di Balai Batu 14, Hulu Langat pada pukul 2.20 petang.

Tiada senjata dijumpai di kawasan itu, katanya di sini.

Beliau berkata polis turut menemui dua beg pakaian dan satu telefon bimbit berhampiran mayat itu.

"Forensik menemui kesan darah atas jalan menuju ke tempat mayat dan berdasarkan keadaan mayat, polis percaya kedua-dua lelaki itu telah mati selama tiga hari," katanya.

Kedua-dua mayat itu dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...