Rabu, 30 April 2014

Perlis Usul Kesalahan Ketum Sabit Ikut Akta Dadah


KANGAR: Kerajaan Perlis mengemukakan usul kepada Kerajaan Persekutuan supaya kesalahan bersabit daum ketum dimasukkan di bawah Akta Dadah Berbahaya dalam usaha membendung penyalahgunaan tumbuhan itu.
Menteri Besar, Azlan Man (BN-Pauh) berkata, mengenakan kompaun terhadap pesalah tidak akan dapat mengawal pelaku dari terus mengulangi perbuatan mereka.


Ketika menjawab soalan tambahan Khaw Hock Kong (BN-Titi Tinggi) pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini, Selasa, Azlan berkata ketagihan terhadap tumbuhan itu yang dikaitkan dengan penduduk Perlis dan Kedah menjejas imej kedua-dua negeri.


Bekas Pengarah JKKN Dituduh Rasuah


KUANTAN: Bekas pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang pada Selasa dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menerima rasuah dan mengemukakan invois palsu kepada majikannya pada 2011.
Mohd Sukarno Abdul Wahab, 56, didakwa menerima wang RM7,000 daripada Sulaiman Ismail sebagai dorongan untuk meluluskan sebut harga pembekalan pakaian dan kostum kepada JKKN Pahang yang dibuat syarikat Gandik Emas Enterprise dan untuk meluluskan pesanan kerajaan kepada syarikat tersebut pada 10 Jan 2011.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Sekyen 24(1) akta yang sama.

Peras Ugut, Bekas Polis Dipenjara 30 Bulan


KUALA LUMPUR: Seorang bekas anggota polis berpangkat lans koperal dipenjara 30 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa kerana cuba memeras ugut dan mengurung orang secara salah 13 tahun lepas.
Majistret Nur Azura Murah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Fadzli Dennis Abdullah, 49, selepas dia mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi pertuduhan cuba memeras ugut dan penjara 12 bulan kerana mengurung orang secara salah.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan Mohd Fadzli Dennis, yang ketika kejadian bertugas di Balai Polis Cawangan Urusetia Narkotik Bukit Aman, menjalani hukuman itu secara serentak bermula daripada tarikh dia ditangkap, tiga hari lepas.
Mengikut pertuduhan, Mohd Fadzli Dennis yang didakwa bersama-sama seorang yang telah dituduh, cuba melakukan peras ugut dengan niat menakutkan Lee Seow Ming, 39, sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan wang sebanyak RM5,000 kepadanya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Setapak, Sentul, di sini pada 1 tengah hari, 25 Nov 2001.
Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 385/511 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda serta boleh dikenakan sebatan.
Mohd Fadzli Dennis juga didakwa bersama-sama seorang yang telah dituduh, melakukan kurungan secara salah terhadap adik Lee, Chee Tion, 36, di tempat dan pada 1.30 tengah hari tarikh sama.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Sekyen 342 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh yang memperkenal diri sebagai anggota polis CID dari Bukit Aman telah masuk ke dalam rumah Lee dan menggeledahnya serta menangkap adik mangsa tanpa waran tangkap.
Lee kemudian menerima panggilan telefon daripada adiknya meminta untuk membawa wang M5,000 sebagai wang pembebasannya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S. Ravindran memohon hukuman setimpal dengan alasan tertuduh telah menyalahguna kuasa sekali gus menjatuhkan maruah anggota polis.
"Rakan subahat tertuduh telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah pada tahun 2005, namun tertuduh yang melarikan diri akhirnya dapat ditangkap pada 26 April lepas," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...