Sabtu, 12 April 2014

Pelajar cedera akibat diragut


SUNGAI PETANI 10 April - Seorang pelajar tingkatan lima retak tulang bahu kanan akibat terjatuh dari motosikal ditungganginya dalam satu kejadian ragut di Taman Malinja, Semeling di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 6.15 petang itu, mangsa, Nurhariani Rosnawi, 17, yang merupakan anak perempuan kepada pegawai Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Rosnawi Zenon daerah Kuala Muda sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Malinja.

Nurhariani berkata, seorang lelaki yang menunggang motosikal cuba memotong motosikalnya dan merampas beg tangan miliknya yang diletakkan di dalam raga.

"Suspek gagal berbuat demikian kerana beg tangan itu diikat pada raga motosikal, lelaki itu kemudian menendang motosikal saya menyebabkan saya terjatuh tepi jalan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Nurhariani, selain mengalami keretakan pada tulang bahu, dia juga cedera di bahagian muka.

Sementara itu, isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Noradawiyah Morad melawat Nurhariani yang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.



Lelaki Afrika tembak polis masih diburu

Gambar hiasan
SEPANG 10 April - Polis masih memburu dua lelaki warga Afrika yang disyaki melepaskan satu das tembakan ke arah dua anggota polis dalam insiden yang berlaku di Taman Putra Perdana, Puchong di sini semalam.

Polis Daerah Sepang, Supritenden Mohd. Yusof Awang berkata, pihaknya masih gagal mengesan kedua-dua suspek yang berjaya meloloskan diri daripada ditahan polis.

``Kami sedang menyiasat kes itu dan masih mencari lokasi kedua-dua suspek menyembunyikan diri," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.28 pagi semalam, dua anggota polis nyaris maut apabila dua warga Afrika yang ditahan melepaskan satu das tembakan ke arah mereka dalam satu insiden di sebuah kawasan apartmen di Taman Putra Perdana, Puchong di sini.

MH370: Polis rakam percakapan 205 individu


KUALA LUMPUR - Seramai 205 individu termasuk keluarga penumpang pesawat MH370 telah direkodkan percakapan bagi membantu siasatan berhubung insiden pesawat tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya merakamkan keterangan kesemua individu terbabit semalam.

“Kita akan memanggil beberapa individu lain untuk membantu siasatan, dalam masa sama terdapat perkara tertentu yang kami perlu teliti semula,” katanya yang tidak mahu mendedahkan hasil keterangan yang diambil bagi mengelak gangguan siasatan.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas kenyataan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Johor yang menafikan manggis yang dibawa ke China menerusi pesawat MH370 adalah dari daerah Muar.

“Tidak semestinya manggis itu ditanam di Johor, saya tidak kata ladangnya di Johor atau dipetik dari Muar, kita akan menyiasat sampai peringkat di mana ia dipetik, memang manggis itu dikumpul di sana sebelum dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.

Sebelum ini, Fama Johor menjelaskan manggis yang dibawa ke China menerusi MH370 tidak mungkin dihasilkan dari Muar dan berdasarkan rekod Fama, tiada dusun di Johor yang menghasilkan manggis ketika ini kerana musim buah itu mulai Jun ini.

Pihak polis turut menyiasat pembekal makanan bagi pesawat itu.

Koperal berdepan dua tuduhan rasuah


KUANTAN - Seorang anggota polis berpangkat Koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini semalam bagi menghadapi dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM590 sebagai dorongan mengubah keputusan ujian air kencing dua lelaki disyaki penagih selepas mereka didapati positif dadah.

Tertuduh, Ridzuan Kun-chin, 32, dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Balai Polis Raub  bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas dua tuduhan dihadapinya, semalam.

Hakim Nik Nasimah Nik Muhammad membenarkan lelaki berketurunan Kadazan itu dibebaskan dengan jaminan RM3,000 manakala kes akan disebut semula 8 Mei depan.

Berdasarkan tuduhan pertama dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Jenayah Malaysia (SPRM), Shafinas Shabudin, tertuduh didakwa bersetuju menerima suapan RM300 daripada seorang penagih sebagai dorongan untuk mengubah keputusan ujian air kencing.

bagi mengelak lelaki itu dituduh di mahkamah atas kesalahan mengambil dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah berbahaya 1952.

Manakala bagi tuduhan kedua, tertuduh menerima suapan RM290 daripada seorang lelaki lain bagi tujuan serupa.

Kedua-dua kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM itu dilakukan antara 2 November hingga 31 Oktober 2013 di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Ulu Renggol, Raub.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau satu jumlah yang paling tinggi bagi setiap tuduhan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...