Khamis, 21 November 2013

PDRM PERKENAL PASUKAN ELIT JSJ


Kuala Lumpur, 21 Nov - Sebentar tadi, bertempat di Pulapol Kuala Lumpur, telah berlangsung satu demonstrasi ‘Counter Strike’ dan ‘Hostage Resque’ yang telah dilaksanakan oleh pegawai dan anggota daripada Pasukan Elit Taktikal Ops Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 
Pasukan ini telah ditubuhkan sebagaimana telah diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri pada 22 Ogos 2013 sempena mesyuarat di antara KDN dan PDRM baru-baru ini.

 
Kelulusan bagi kekuatan sumber manusianya seramai 400 orang telah diberikan dengan berorientasikan kepada 2 pasukan elit bagi menangani dua permasalahan iaitu berkaitan kes-kes jenayah dengan efisien dan pembanterasan permasalahan dadah.

 
Operasi-operasi pasukan ini adalah bersifat multi-tasking dalam mengurus dan menangani isu-isu jenayah, jenayah berat, jenayah bersindiket, gangsterisme, perjudian, pelacuran dan pemerdagangan manusia.

Berkonsepkan ‘Intelligence Led Policing And Aggresive Action On Organized Crime’ pasukan ini akan melangsungkan operasi secara langsung di kontinjen serta daerah yang dikenalpasti dengan dikawal selia secara langsung oleh pihak Bukit Aman.

 
Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar, Ketua Polis Negara dalam kenyataannya hari ini berkata, sebanyak 200 perjawatan telah diperuntukkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) manakala 200 lagi kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

 
Pihak JSJ sehingga kini telah melaksanakan 2 siri pemilihan pegawai dan anggota dari pelbagai formasi dan unit tindakan dalam PDRM mulai penghujung Oktober yang lepas dan dijangka, pasukan ini akan beroperasi sepenuhnya 1 Januari 2014.

Kesemua mereka akan dihantar untuk menjalani kursus-kursus tempur dan taktikal yang akan dikendalikan oleh jurulatih dari Pasukan Komando Vat 69 dan Unit Tindak Khas (UTK) PDRM.

Turut hadir pada hari ini, Pengarah-pengarah, Timbalan-timbalan Pengarah, Pegawai-pegawai Kanan PDRM serta wakil-wakil media.

'TUHAN HARUN' DITANGKAP, PENGIKUT SERAH DIRI


KUANTAN - Seorang pengikut kumpulan ajaran sesat Ajaran Harun Mohd Nizam Mohd Salleh, 43, tampil menyerah diri di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Pada 15 November lepas, mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya kerana gagal hadir perbicaraan kes menyimpan dan memiliki dokumen yang bercanggah dengan hukum syarak.

Hakim, Syarie Mohd Azahari Abdul Rahman menetapkan 16 Januari depan untuk sebutan semula kes tersebut di dalam kamarnya.

Bercakap kepada pemberita, Timbalan Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Mohd Fahmi Abd Jalil berkata selepas meneliti dan mendengar alasan tertuduh, Hakim mengekalkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin ke atasnya.

Mohd Nizam Mohd Salleh
Mohd Nizam dan lima lagi pengikut Ajaran Harun iaitu Husin Ismail, 43; Pius Anahong @ Mahdi Abdullah, 40; Mohd Khalilie Zazali, 31; Syahiszam Soid, 40 dan Mohd Shahril Mohd Jaafar, 28, didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah premis di B16-1st, Lorong Pandan Damai 2/201, di sini pada 6.50 petang, 4 April lepas.


Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 165, Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 yang memperuntukkan hukuman denda RM2,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...