Rabu, 25 Julai 2012

Mayat lelaki mangsa pembunuhan ditemui di Puchong


KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki ditemui terapung dalam longkang besar di Taman Damai Utama, Puchong dekat sini awal hari ini.

Berdasarkan keadaan mayat yang telah reput, polis percaya lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu dibunuh empat hari lepas, kata Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abd Razak Elias. 


Bercakap kepada Bernama di sini hari ini, beliau berkata mayat lelaki yang belum dikenal pasti itu ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan itu pada pukul 1 pagi. 

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.


Polis meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Bekas Ketua Polis Daerah dituduh memandu secara berbahaya


Superintendan polis didakwa

SHAH ALAM - Bekas Ketua Polis Daerah (OCPD) Kuala Langat, Superintendan Mohamad Radzi Ishak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua remaja lelaki berumur 15 tahun empat tahun lepas.
Mohamad Radzi, 54, yang berdiri di dalam kandang tertuduh didakwa memandu kereta bernombor pendaftaran BKA 8411 secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian penunggang dan pembonceng motosikal, Muhammad Luqman Hakim Mohamad dan Muhamad Khairol Khaizuran Mohammed Sani di Jalan Kebun di sini pada pukul 11.45 malam 14 September 2008.
Pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM5,000 dan RM20,000 selain lesen digantung.
Timbalan Pendakwa Raya, Aida Mastura Mohamed Aman mencadangkan agar Mohamad Radzi dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandunya digantung.

Mayat lelaki ditemui kesan tembakan dikepala


KUALA SELANGOR – Mayat seorang lelaki dari Sibu, Sarawak ditemui dengan tiga kesan tembakan di kepala tertiarap di bawah lampu jalan di Sungai Buloh Country Resort di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohamad Mat Taib berkata, polis yang menerima maklumat mengenai penemuan mayat lelaki itu pada pukul 7.30 pagi telah bergegas ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, pemeriksaan polis pada mayat lelaki itu menemui pengenalan diri mangsa yang dikenali sebagai Wong Teck Sern, 42, berasal dari Jalan Teng Kung Sui, Upper Lanang, Sibu.
“Mayat tersebut mempunyai tiga kesan tembakan di kepala dan polis mengesyaki mangsa ditembak beberapa jam sebelum mayatnya ditemui,” kata beliau ketika dihubungi.
Kata Mohamad, polis bagaimanapun menolak kematian mangsa mempunyai kaitan dengan ah long.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...