Selasa, 7 Januari 2014

KPL POLIS MATI DITEMBAK DI KUANTAN


KUANTAN, 6 Jan (Bernama) -- "Saya dan keluarga sedar dan tahu kerja ayah sememangnya berisiko tetapi tidak menyangka kejadian seperti ini menimpa keluarga kami".

Demikian kata anak kedua Kpl Abdul Halim Mat Ali yang ditemui mati ditembak di Ladang Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) Pandan Jaya, Jaya Gading di sini Isnin.

Shahrul Nuie Abd Halim, 20, berkata dirinya seakan tidak percaya apabila dimaklumkan ibunya, Asmah Laily Yusof, 40, mengenai kejadian yang menimpa ayahnya pada kira-kira 10 pagi tadi.

"Bagaimanapun, kami sekeluarga reda dengan apa yang terjadi," katanya yang merupakan seorang juruukur di Rawang, Selangor ketika ditemui pemberita di pekarangan Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, hari ini.

Petang semalam Abdul Halim, 48, mengejar dua lelaki bersenjatakan dua laras senapang patah dan gagal dihubungi anggota polis lain selepas kejadian itu sebelum mayatnya ditemui kira-kira 9 pagi ini di ladang berkenaan.

Menurut Shahrul, jenazah ayahnya akan dikebumikan di kampung halaman mereka di Felda Bukit Mendi, Bera.


Allahyarham mempunyai seorang lagi anak lelaki dan dua anak perenmpuan -- BERNAMA.

Polis Tahan Seorang Lelaki, Dua Wanita Bantu Siasat Kes Rompakan Bersenjata


KOTA BAHARU, 6 Jan (Bernama) -- Polis menahan seorang lagi lelaki berusia 36 tahun Ahad malam, yang disyaki terlibat dalam rompakan bersenjata di bandar Tanah Merah pada minggu lepas, dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Padang Rokma, Wakaf Baharu, Tumpat.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata dalam serbuan kira-kira 10 malam itu, polis turut menahan dua wanita masing-masing berusia 55 dan 31 tahun yang disyaki membantu suspek melarikan diri.

"Kita turut merampas sebuah kereta jenis Proton Perdana, serangkai anak kunci dan empat telefon bimbit dalam serbuan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Pencegahan Jenayah (Kenderaan dan Rumah) sempena pelancaran syarikat MD Life Sdn Bhd di sini, Isnin.

Ketiga-tiga suspek itu ditahan reman selama seminggu bermula hari ini dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, dan Seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Mazlan berkata polis kini melancarkan gerakan memburu seorang lagi suspek lelaki berusia 44 tahun, beralamat di Jalan Lama, Wakaf Baharu.

Dalam kejadian 30 Dis lepas, polis menahan seorang lelaki berusia 51 tahun dan merampas selaras M16, kira-kira setengah jam selepas suspek itu merompak sebuah kedai serbaneka di bandar Tanah Merah.


Lelaki itu ditahan ketika sedang minum bersama dua lagi rakannya yang disyaki turut terbabit dalam rompakan pada kira-kira 8.15 malam. -- BERNAMA

Enam das tembakan disasar ke rumah YDP Besut


BESUT - Enam das tembakan dilepaskan ke arah rumah Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Besut di Kampung Gong Kapas di sini hari ini.
Ketika kejadian pada 6.15 pagi, Ibrahim Mohamad, 55, bersama isteri dan seorang anak mereka berada di dalam rumah dan mereka terdengar beberapa bunyi letupan tetapi tidak mengesyaki ia adalah bunyi tembakan yang dilepaskan ke arah kediaman mereka.
Kejadian itu hanya disedari pada 8.30 pagi apabila isteri YDP majlis daerah itu keluar untuk membersihkan kawasan rumah dan melihat kesan pecah pada cermin keretanya serta menemui serpihan peluru di perkarangan rumah banglo setingkat itu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, wanita berkenaan kemudian menelefon suaminya yang ketika itu berada di pejabat dan memaklumkan mengenai perkara itu.
Polis dapati enam das tembakan dilepaskan iaitu dua terkena pada rumah manakala empat lagi pada kereta Mercedes Benz CLK320 mangsa, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Jamshah berkata, polis tidak menolak kemungkinan tembakan itu dilepaskan sebagai tanda amaran.
"Mangsa memaklumkan dia tidak mempuyai musuh dan kami tidak menolak kemungkinan kejadian ini bermotifkan rasa tidak senang hati pihak tertentu terhadap tugas mangsa,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, polis percaya tembakan dilepaskan dari jarak dekat iaitu kira-kira lima meter dan dilakukan oleh lebih seorang suspek.
Pihak forensik menemui satu kelongsong peluru jenis 9mm Luger Speer di atas jalan di hadapan rumah itu. - Bernama

PEMANDU JENTERA BERAT YANG DITEMBAK DI HULU T'GANU



Besut, 6 Jan - Pemandu jentera berat yang cedera di perut selepas terkena tembakan lelaki yang tidak dikenali dalam kejadian di Kampung Kuala Menjing di Hulu Terengganu pada Sabtu akan ditahan. 

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata mangsa yang berusia 28 tahun itu akan ditahan sebaik sahaja selesai menjalani rawatan. 

Katanya setakat ini mangsa masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan dilaporkan stabil.

"Kita akan menahan mangsa bagi membantu siasatan dan kita percaya mangsa juga mempunyai maklumat berhubung insiden yang berlaku," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya polis juga masih mengenal pasti senjata yang digunakan dan tidak menolak kemungkinan senjata itu merupakan buatan sendiri.

Jamshah berkata polis memandang serius kegiatan jenayah menggunakan senjata api di negeri ini dan terbaharu kediaman Yang Dipertua Majlis Daerah Besut Ibrahim Mohamad menjadi sasaran tembakan rambang pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi, penjenayah melepaskan enam das tembakan dengan dua daripadanya mengenai bahagian rumah manakala empat lagi pada kereta Mercedes Benz milik mangsa. 

Sehubungan itu, polis menubuhkan unit khas bagi memantau dan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes jenayah terbabit.

"Dua kes melibatkan penggunaan senjata api dicatatkan pada tahun ini walaupun tidak melibatkan nyawa namun kegiatan ini serius dan pasukan yang kita tubuhkan ini akan mengesan kesemua suspek terbabit," katanya. BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...