Selasa, 7 Januari 2014

Polis Tahan Seorang Lelaki, Dua Wanita Bantu Siasat Kes Rompakan Bersenjata


KOTA BAHARU, 6 Jan (Bernama) -- Polis menahan seorang lagi lelaki berusia 36 tahun Ahad malam, yang disyaki terlibat dalam rompakan bersenjata di bandar Tanah Merah pada minggu lepas, dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Padang Rokma, Wakaf Baharu, Tumpat.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata dalam serbuan kira-kira 10 malam itu, polis turut menahan dua wanita masing-masing berusia 55 dan 31 tahun yang disyaki membantu suspek melarikan diri.

"Kita turut merampas sebuah kereta jenis Proton Perdana, serangkai anak kunci dan empat telefon bimbit dalam serbuan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Pencegahan Jenayah (Kenderaan dan Rumah) sempena pelancaran syarikat MD Life Sdn Bhd di sini, Isnin.

Ketiga-tiga suspek itu ditahan reman selama seminggu bermula hari ini dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, dan Seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Mazlan berkata polis kini melancarkan gerakan memburu seorang lagi suspek lelaki berusia 44 tahun, beralamat di Jalan Lama, Wakaf Baharu.

Dalam kejadian 30 Dis lepas, polis menahan seorang lelaki berusia 51 tahun dan merampas selaras M16, kira-kira setengah jam selepas suspek itu merompak sebuah kedai serbaneka di bandar Tanah Merah.


Lelaki itu ditahan ketika sedang minum bersama dua lagi rakannya yang disyaki turut terbabit dalam rompakan pada kira-kira 8.15 malam. -- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...