Khamis, 27 November 2014

Pengambilan Polis Wanita Ditingkatkan 30 Peratus Dalam Lima Tahun



KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah pengambilan polis wanita dengan sasaran 30 peratus peningkatan dalam tempoh lima tahun, kata Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Fuzi Harun.

Beliau berkata PDRM sememangnya memberi keutamaan bagi ambilan polis wanita.

"Bagi ambilan (intake) 600 kadet inspektor pada Januari tahun hadapan, seramai 200 adalah wanita.

Murid Lemas di Pantai Kuala Ibai, Terengganu


KUALA TERENGGANU: Seorang murid lelaki berusia sembilan tahun ditemui lemas di Pantai Kuala Ibai berhampiran Masjid Tengku Tengah Zaharah atau juga dikenali Masjid Terapung, di sini, Rabu.

Mayat Ibrahim Fikri Rosli ditemui seorang warga emas yang ketika itu sedang bersiar-siar bersama cucunya di pesisiran pantai berkenaan.
Menurut Mustafa Ngah, 61, sudah menjadi kebiasaan baginya bersiar-siar mengambil angin di pantai jika tidak turun menjala ikan di laut.

Rabu, 26 November 2014

Setara Ganja Selepas Pindaan Undang-Undang


KUALA LUMPUR : Pindaan terhadap undang-undang dadah telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin, di mana kesalahan berkaitan daun ketum adalah setara dengan kesalahan berkaitan ganja.

Rang Undang-undang itu adalah bagi membuat pindaan kepada Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk memasukkan takrif ketum sebagai dadah berbahaya.

Perubahan terhadap undang-undang itu meliputi sekatan ke atas pengimportan, pengeksportan, pemilikan dan penanaman daun ketum.

Selasa, 25 November 2014

Pergaduhan Ngeri Kongsi Gelap, Seorang Maut

TEMERLOH: Seorang lelaki maut manakala empat lagi cedera parah dalam pergaduhan antara dua kumpulan kongsi gelap di Bukit Bendera, Mentakab dekat sini awal pagi Sabtu, menurut polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang Datuk Zakaria Ahmad berkata dalam pergaduhan kira-kira 3.20 pagi itu, mangsa P.Arasu, 44, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Sarjan bersara dua tahun lagi dijatuhi hukuman penjara


SHAH ALAM - Seorang sarjan polis yang bakal bersara dua tahun lagi dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah memperoleh suapan berjumlah RM1,000 daripada seorang wanita, tiga tahun lepas.

Hakim M.Bakri Abd. Majid membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan tertuduh, Abdul Rahman Abdullah, 58, adalah penafian semata-mata dan difikirkan kemudian.

Beliau juga berpuas hati pembelaan anggota polis itu gagal mematahkan anggapan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Sabtu, 22 November 2014

PPS akan ditukar jadi komuniti kepolisan?


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dikatakan telah bersetuju menggantikan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang diisytiharkan sebagai pertubuhan haram sebelum ini kepada sebuah badan komuniti kepolisan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau dan Guan Eng telah mengadakan perbincangan berhubung perkara itu di Parlimen semalam.
Selain itu katanya, komuniti kepolisan tersebut juga akan diselaraskan di seluruh negara menerusi satu Prosedur Operasi Standard (SOP) dan turut mempunyai pakaian seragam yang sama.

Dua Pegawai Imigresen Hadapi Tuduhan Bunuh


KANGAR: Dua pegawai Jabatan Imigresen Perlis dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas tuduhan membunuh seorang warga Bangladesh semasa dalam tahanan pada 29 Oktober lepas.

Mohd Aminnudin Mohd Yasin, 32, dan Zuhairul Effendy Zualkafli, 32, dituduh mencapai niat bersama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Abu Bakar Siddiqe, 45 tahun, antara pukul 10 dan 11 malam, 29 Okt, di Jabatan Imigresen Kangar.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman gantung jika sabit kesalahan.

Majistret Nik Mohd Tarmizi Nik Mohd Shukri menetapkan 12 Dis untuk sebutan semula kes itu.

Ketua Unit Timbalan Pendakwa Raya Perlis, Badius Zaman Ahmad mengendalikan pendakwaan, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela Rahamathullah Baharudeen.


Jumaat, 21 November 2014

WARGA EMAS DIROMPAK EMPAT JAHANAM

Seremban: Seorang lelaki warga emas kerugian wang tunai RM56,900 selepas disamun empat perompak bersenjatakan parang tengah hari ini berhampiran sebuah bank di Jalan Rasah, Seremban.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia 60-an turut dilarikan dalam sebuah kereta dari lokasi kejadian sebelum ditinggalkan di tepi jalan Ulu Kanchong, Rantau, dekat sini.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, seorang daripada suspek menunggu di dalam kereta berkenaan manakala tiga rakannya menyamun mangsa.

ESSCOM roboh 31 rumah atas air disyaki sarang penyeludup


LAHAD DATU: Sebanyak 31 rumah di penempatan atas air haram yang dipercayai menjadi sarang penyeludup di Kampung Jeluntung Sungai Udin, Merontai, Tawau, diroboh, Ahad lalu.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Abdul Rashid Harun, berkata operasi berkenaan dilaksana dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan serta membanteras aktiviti penyeludupan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Rabu, 19 November 2014

Rasuah: Dua pegawai tinggi kerajaan disiasat


KUALA LUMPUR 17 Nov. - Dua pegawai tinggi kerajaan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung aktiviti penero-kaan tanah secara haram di Cameron Highlands, Pahang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, kertas siasatan dibuka berikutan terdapat maklumat mengenai kedua-dua pegawai yang bertugas di tanah tinggi tersebut, dikatakan hidup mewah melebihi pendapatan bulanan mereka.

Selasa, 18 November 2014

Syarikat kurier dari China diguna seludup dadah warga Nigeria


KUALA LUMPUR - Polis mengesan syarikat perkhidmatan kurier dari Guangzhou, China yang kurang dikenali digunakan sebagai medium oleh sindiket dadah didalangi warga Nigeria untuk menyeludup dadah ke negara ini.

Sindiket dadah warga Nigeria itu juga dipercayai telah mempunyai komuniti di negara berkenaan dalam menjalankan kegiatan jenayah itu.

Bagaimanapun, taktik licik sindiket itu yang sentiasa mengubah modus operandi mereka, terus dibongkar apabila polis merampas dadah jenis syabu seberat 21.9kg bernilai RM2.2 juta di sekitar Lembah Klang.

Lelaki Parah Ditetak Rakan

Gambar hiasan
KOTA BARU: Seorang lelaki cedera parah di kedua-dua belah tangan selepas dipercayai ditetak dan dikelar dengan senjata tajam oleh seorang rakan baiknya di Kampung Kutan, Pasir Pekan, Tumpat, Ahad.

Dalam kejadian 5 petang itu, Mohammad Shahrul Riduan, 25, juga patah kedua-dua belah tangan.

Ketua Polis Daerah Tumpat Supt Zaharuddin Rasip berkata mangsa yang sedang menunggang motosikal berhenti di tepi jalan selepas terserempak dan dipanggil seorang rakan baiknya.

Kanak-Kanak 10 tahun dilarikan lelaki


Kota Baharu, 17 Nov - Polis telah mengenal pasti seorang lelaki disyaki terbabit kes cuba melarikan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Kampung Aril, Melor di sini pada Jumaat lalu dan sudah mengedarkan lakaran wajah atau 'fotofit' suspek berusia lingkungan 20-an itu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata suspek berbadan kurus tinggi, menggunakan dialek Kelantan dan menaiki kereta Proton Saga lama.

Setakat ini hanya seorang suspek dikenal pasti, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Isnin, 17 November 2014

OPS BELOT: 4 Pegawai Polis Didakwa

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR, 4 November - Empat pegawai polis didakwa hari ini membabitkan kesalahan menerima suapan RM40,000 sebagai balasan melepaskan seorang suspek yang ditahan berhubung kesalahan menyimpan dadah.

Raviindran Krishnan, 34, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membabitkan satu pertuduhan meminta suapan iaitu wang tunai RM40,000 daripada Dhalgit Singh Mahinder Singh melalui panggilan telefon menggunakan telefon bimbit milik Manimaran Kumarasamy sebagai dorongan untuk melepaskan Manimaran.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kepong, Kuala Lumpur pada 4 Jun 2013.

Ahad, 16 November 2014

Mayat Hampir Hancur Ditemui Di Pulau Perhentian


KUALA BESUT: Mayat lelaki dewasa yang hampir hancur ditemui nelayan tempatan terapung berhampiran Pulau Lang Tengah dekat Pulau Perhentian kira-kira jam 3.25 petang Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut DSP Kamsani Hassan yang mengesahkan penemuan itu berkata mayat itu dipercayai warga asing berdasarkan tatoo pada badannya.

Katanya mayat tersebut disahkan bukan mayat daripada tiga nelayan yang sedang dicari terdiri daripada seorang nelayan tempatan dan dua nelayan Thailand yang hilang masing-masing pada 6 dan 12 November lalu.

"Mangsa dipercayai mati kira-kira seminggu lalu," katanya kepada pemberita di sini Ahad.
Mayat kemudian dibawa oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ke Pangkalan Tok Bali, Kelantan sebelum diserahkan kepada polis untuk dihantar bagi bedah siasat di Hospital Besut di sini Ahad.
Katanya pengecaman identiti mayat turut dilakukan nelayan Thailand yang selamat dalam kejadian bot karam pada Rabu malam di Besut dan mereka mengesahkan ia bukan dua rakan mereka yang masih hilang di laut itu.

Bekas anggota polis ditemui dalam keadaan terbaring


KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki dipercayai bekas anggota polis ditemui dalam keadaan terbaring di hadapan sebuah kedai di Batu 5, Jalan Ipoh, di sini, pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R. Munusamy berkata mayat berkenaan ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan itu sebelum melaporkannya kepada polis.
"Sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota termasuk Unit Forensik bergegas ke tempat kejadian dan pemeriksaan pada badan mayat mendapati ada kesan luka di jari kelingking serta jari manis sebelah kanan dipercayai akibat geseran pada batu dinding," katanya.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat dan kes diklafisikasikan sebagai mati mengejut.

Sabtu, 15 November 2014

Penganugerahan Darjah, Pingat Tidak Sah Di Melaka


MELAKA: Polis akan memantau penganjuran majlis penganugerahan darjah dan pingat yang didakwa tidak sah yang dijadualkan di sebuah hotel di negeri ini, esok, kata Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, majlis itu dianjurkan sebuah badan adat di negeri ini, bagaimanapun kerajaan tidak mengiktiraf sebarang pingat atau darjah yang dianugerahkan oleh badan itu.

Jumaat, 14 November 2014

Raja Judi Pertama di Tahanan PCA


PETALING JAYA: Seorang suspek berstatus 'Raja Judi' ditahan selepas dipercayai mengumpul jutaan ringgit hasil sindiket perjudian di sekitar Lembah Klang.

Suspek adalah individu pertama ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (PCA) (Pindaan dan Pemerluasaan) 2013.
Sumber memberitahu The Star, suspek mempunyai jaringan baik dengan kegiatan kongsi gelap dan perjudian di sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat Said berkata, suspek seorang lelaki berusia 50-an itu ditahan dalam satu operasi pada 20 Oktober lalu hasil maklumat orang awam dan juga risikan polis.
"Hasil siasatan mendedahkan sindiket terbabit sudah beroperasi lebih kurang dua tahun.
"Dia kini ditahan reman sehingga pertengahan Disember ini," jelasnya.
Abdul Samah berkata, polis Selangor turut mengenal pasti beberapa suspek lagi dan turut ditahan mengikut akta sama.

Khamis, 13 November 2014

SENARAI PREMIS JUDI 'ONLINE' BERLESEN DIHANTAR KEPADA PBT


Shah Alam, 13 Nov - Senarai premis berlesen yang beroperasi sebagai pusat perjudian 'online' haram dihantar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat seluruh Selangor untuk pemantauan lanjut, kata Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat. 

Beliau berkata senarai yang dihantar dua minggu lepas itu adalah untuk memastikan mana-mana premis termasuk yang diberi lesen perniagaan tidak lagi menjalankan kegiatan perjudian haram itu dengan berselindung sebagai kafe siber.

"PBT memberi jaminan untuk bekerjasama rapat dengan polis bagi membanteras kegiatan judi haram ini dan kita hantar senarai premis berlesen itu supaya PBT dapat membatalkan lesen perniagaan mereka.

Isnin, 10 November 2014

Bekas Ketua Polis Negara meninggal dunia - ALFATIHAH


Ketua Polis Negara serta seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Mohd. Bakri Haji Omar yang telah kembali ke rahmatullah pada pagi tadi di Institut Kanser Negara selepas menderita penyakit kanser.

Allahyarham Tan Sri Mohd Bakri pernah memegang jawatan sebagai Ketua Polis Negara selama tiga tahun iaitu dari tahun 2003 sehingga 2006 sebelum bersara secara rasmi pada 11 September 2006.

Ahad, 9 November 2014

Pelajar disamun lelaki berkopiah depan bank


KOTA BHARU - Seorang pelajar sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di sini, kerugian RM 1,000 selepas disamun lelaki berkopiah dalam kejadian di hadapan Maybank Wakaf Siku di sini, pagi Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi, mangsa baru  selesai membuat pengeluaran wang di mesin pengeluaran Automatik (ATM) di bank terbabit sebelum masuk ke dalam keretanya yang diparkir berhampiran bank berkenaan.

Secara tiba-tiba, lelaki berkopiah menghampiri kereta mangsa dan suspek terus masuk ke dalam keretanya yang tidak berkunci dan duduk di bahagian penumpang.

Rumah jurugambar Bernama dipecah masuk


KUALA TERENGGANU - “Sejurus dimaklumkan rumah dipecah masuk, apa yang saya harapkan janganlah penjenayah itu ‘menyentuh’ walaupun satu peralatan kerja terutamanya kamera kerana ia adalah harta kerajaan.

“Saya lebih rela kehilangan barang berharga milik sendiri walaupun ia bernilai beribu-ribu ringgit daripada kehilangan peralatan kerja meskipun peralatan itu tiada nilai di pasaran,” demikian luah Arjasneh Ahmad, 45.

Arjasneh yang kini bertugas sebagai jurugambar Bernama biro Kuala Terengganu terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM30,000 setelah rumah yang disewanya sejak dua tahun lalu di Taman Ibai Indah, di sini, dipecah masuk, dalam kejadian yang hanya disedari Rabu lalu.

Menceritakan detik kejadian, Arjasneh berkata, kejadian disedari salah seorang rakan yang tinggal berhampiran rumah, kira-kira jam 7.15 petang kerana semasa kejadian, dia berada di Melaka menghadiri kursus, manakala ahli keluarga lain balik ke kampung di Johor Bahru.

Jumaat, 7 November 2014

Panel SPRM Kemuka Empat Cadangan Kepada PDRM


Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) hari ini mengemukakan empat cadangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha meningkatkan persepsi integriti terhadap badan beruniform itu.

Pengerusi PPPR, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, PDRM telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membendung gejala rasuah dalam institusi terbabit dan setakat ini, PPPR berpuas hati dengan langkah yang diambil

Bagaimanapun, katanya, masih ada kelemahan dan masalah yang harus ditangani PDRM meskipun terdapat jabatan baru yang khusus menangani rasuah telah ditubuhkan.

Khamis, 6 November 2014

Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Pantau Premis Judi


KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) menubuhkan 24 pasukan khas di seluruh negara bagi memantau dan memeriksa premis mesin judi yang telah diserbu tetapi dikatakan masih beroperasi.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Datuk Zubaidah Md Ismail berkata ia berikutan terdapat premis mesin judi haram yang masih beroperasi walaupun telah diserbu dan diarah tutup sebelum ini.
Katanya lagi, pihaknya mengaku ada menerima aduan dan maklumat mengenai segelintir pegawai dan anggota polis yang bersubahat dengan sindiket perjudian bagaimanapun siasatan akan dijalankan bagi memastikan kesahihan maklumat.

Rabu, 5 November 2014

Kertas UPSR Bocor: Dua Guru Akan Didakwa


KUALA LUMPUR: Dua guru lelaki dijangka akan didakwa di Mahkamah Sesyen pada Rabu berhubung kertas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bocor pada bulan September.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa mengesahkan bahawa dua guru terbabit akan dibawa ke mahkamah di Seremban untuk memberi jawapan berhubung dakwaan tersebut.

Wanita sokong Islamic State (IS) di dakwa


Seorang wanita Ummi Kalsom Bahak, 25, didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang kerana cuba memberi sokongan kepada pengganas dengan menjadi ahli Islamic State (IS) menerusi perkahwinan dengan anggota kumpulan itu.
Tertuduh Umi Kalsom Bahak dituduh mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau dipenjara tidak melebihi 30 tahun.
Hakim Mahkamah Sesyen Tuan Aizatul Akmal Maharani kemudian menetapkan 20 November ini bagi sebutan semula kes.

Selasa, 4 November 2014

OCPD, Ketua Balai di KL ditukar 24 jam


Boleh dilaksanakan dengan syarat RASUAH di TOLAK !!!

Ketua Polis Daerah (OCPD) dan Ketua Balai akan dikenakan tindakan tatatertib atau ditukarkan dalam tempoh 24 jam jika premis perjudian tanpa lesen masih wujud di kawasan mereka.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hoong Soon berkata pada 14 Oktober lepas, beliau mengeluarkan arahan dan memberi tempoh sebulan kepada semua OCPD dan Ketua Balai untuk memastikan tiada lagi aktiviti perjudian tanpa lesen di ibu negara.
"Pemantauan bersepadu membabitkan segenap lapisan warga polis Kuala Lumpur akan berterusan dan Ketua Polis Daerah serta Ketua Balai dikehendaki membuat deklarasi bagi memastikan tiada lagi aktiviti mesin perjudian tanpa lesen di kawasan mereka," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...