Isnin, 17 November 2014

OPS BELOT: 4 Pegawai Polis Didakwa

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR, 4 November - Empat pegawai polis didakwa hari ini membabitkan kesalahan menerima suapan RM40,000 sebagai balasan melepaskan seorang suspek yang ditahan berhubung kesalahan menyimpan dadah.

Raviindran Krishnan, 34, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membabitkan satu pertuduhan meminta suapan iaitu wang tunai RM40,000 daripada Dhalgit Singh Mahinder Singh melalui panggilan telefon menggunakan telefon bimbit milik Manimaran Kumarasamy sebagai dorongan untuk melepaskan Manimaran.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kepong, Kuala Lumpur pada 4 Jun 2013.


Kesalahan yang dilakukan ini di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Jika disabitkan bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan didenda tidak kurang  RM10,000 atau lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Tertuduh merupakan seorang Inspektor yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur pada masa dia ditahan.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Bagi pertuduhan kedua, Raviindran didakwa bersama Mahzan Hakim Mohamed, 31, Faizal Miza Zakariah, 30, dan Jasli Jahirin, 24,  membabitkan satu pertuduhan iaitu secara rasuah cuba untuk memperoleh satu suapan iaitu wang tunai sebanyak RM40,000.00 daripada Dhalgit sebagai dorongan untuk melepaskan Manimaran.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di bahu jalan berhadapan Restoran McDonald's, Kepong, Kuala Lumpur pada 5 Jun 2013.

Keempat-empat tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Kesalahan yang dilakukan ini di bawah seksyen 17(a), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Jika disabitkan bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara dua puluh tahun dan didenda tidak kurang RM10,000 atau lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Pada masa itu, Mahzan Hakim dan Faizal Miza merupakan Koperal Polis manakala Jasli merupakan Konstabel Polis Diraja Malaysia yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur.

Hakim Allaudeen Ismail menetapkan wang jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi Raviindran dan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi Mahzan Hakim, Faizal Miza dan Jasli. Hakim turut memutuskan 11 Disember 2014 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Bagi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim.

Kes yang dituduh ini merupakan lanjutan operasi khas, Ops Belot yang dijalankan oleh SPRM baru-baru ini ke atas agensi-agensi penguatkuasaan di beberapa buah negeri termasuk Kuala Lumpur (KL), Perlis dan Sarawak.

SPRM melalui Ops Belot telah mengesan penguat kuasa pelbagai agensi yang menerima suapan bagi melepaskan kes dan melindungi kegiatan jenayah seperti aktiviti perjudian, pelacuran, pendatang asing dan dadah.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...