Jumaat, 4 Mac 2011

Awasi kes tipu perbankan Internet





Pelanggan perbankan Internet dinasihatkan supaya berhati-hati kerana penipuan melibatkan perkhidmatan tersebut terutama Maybank2u meningkat lima kali ganda pada tahun lalu.


Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Kamarudin Md. Din berkata, sepanjang tahun lalu, polis telah menerima sebanyak 353 kes penipuan dengan kerugian sebanyak RM1.2 juta membabitkan perbankan Internet.

Anggap Polis Kawan Bukan Musuh: Ketua Polis Selangor

SHAH ALAM, 2 Mac (Bernama) -- Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah meminta masyarakat menjadikan polis sebagai kawan dan bukan musuh bagi memastikan usaha menangani kes jenayah di negeri itu berkesan.

"Tidak baik bersikap buruk sangka terhadap polis. Contohnya bila nampak polis tahan orang di tepi jalan dengan mudah kata polis minta habuan, sedangkan kadang-kadang pemandu yang tahan polis tanya arah jalan dan sebagainya," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini Rabu sempena sambutan Hari Polis ke-204 dan pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) IPK Selangor dalam memerangi jenayah di negeri itu.

Tun Hisan berkata di bawah NKRA polis Selangor, beberapa teras dirancang agar polis dan masyarakat saling mengambil berat antara satu sama lain.

Mayat Bayi Lelaki Ditemui Dalam Komuter

PELABUHAN KLANG, 3 Mac (Bernama) -- Mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat dan dibungkus dalam plastik hitam ditemui di bawah tempat duduk gerabak hadapan komuter yang berhenti di stesen Pelabuhan Klang sini Khamis.

Mayat bayi itu dibalut dengan selimut bercorak bunga dan turut diletakkan bersama mayat itu ialah sehelai sejadah dan surah Yasin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Mat Yusop berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 9.15 pagi dan mayat bayi itu dipercayai dibuang ketika komuter berkenaan dalam perjalanan ke stesen Pelabuhan Klang di sini.

Anggota ATM Tamat Perkhidmatan Ditawar Sertai Polis

TEMERLOH, 3 Mac (Bernama) -- Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang telah menamatkan perkhidmatan, akan ditawarkan untuk menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata penyerapan jawatan ke dalam PDRM selepas tamat tempoh perkhidmatan selama 21 tahun itu merupakan satu usaha transformasi kerajaan dalam menjamin keselamatan negara dan kebajikan bekas tentera.

"Di bawah program transformasi, kita (ATM) telah menjalinkan hubungan dengan PDRM dengan mengadakan penyerapan jawatan selepas tamat tempoh perkhidmatan tentera terutama di kalangan lain-lain pangkat untuk berkhidmat dalam PDRM," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan Menteri Pertahanan bersama veteran ATM dan keluarga di Dataran Ketumbit di sini.

Orang ramai cadangankan bayar saman trafik secara beransur-ansur

KUALA LUMPUR 2 Mac - Orang ramai meminta polis membenarkan saman tertunggak dibayar secara beransur-ansur bagi membolehkan pesalah lalu lintas, terutama golongan berpendapatan rendah melangsaikan kesemua saman mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, walaupun orang ramai gembira dengan pengumuman kerajaan melanjutkan tempoh bayaran saman berdiskaun selama 10 hari lagi, namun bagi mereka yang makan gaji, jumlah wang yang diperoleh setiap bulan adalah tetap dan tidak memungkinkan mereka membayar jumlah saman yang besar secara sekali gus.

Pekerja am, Khairul Hasan Abdullah Hasan, 35, berkata, bukan semua pesalah lalu lintas berupaya melunaskan saman kerana terdapat pelbagai faktor yang membuatkan mereka terpaksa menangguhkan hasrat untuk berbuat demikian.

Wanita lewat 40-an ditahan

FELDA KERTEH 5 – Seorang wanita sanggup mencari duit haram dengan menjadikan rumah peneroka milik suaminya sebagai port untuk membungkus ketum sebelum diedarkan kepada penagih sekitar. 

Lebih mendukacitakan, wanita lewat 40-an yang juga isteri kepada bekas banduan itu turut menjadikan beberapa ahli keluarganya yang lain termasuk anak lelakinya sebagai tali barut perbuatan tidak bermoral itu. 

Biarpun beberapa kali pernah diserbu polis, namun aktiviti haram itu tetap dilakukan. Malah, dia turut bersekongkol dengan anak lelakinya yang menjadikan bilik tidur utama sebagai tempat untuk memadu asmara bersama teman wanita yang berstatus janda anak satu. 

Segala rahsia terbabit berjaya dibongkar hasil serbuan sepasukan polis diketuai Sub Inspektor Ismail Omar di sebuah rumah peneroka dekat sini kira-kira jam 8.30 pagi semalam. 

Hasil pemeriksaan lanjut pula, 87 plastik berisi ketum ditemui di rumah terbabit. Manakala seorang remaja lelaki 20-an difahamkan anak kepada wanita lewat 40-an yang berstatus teruna itu bersama teman wanitanya difahamkan berstatus janda turut dicekup ketika berada dalam satu selimut di dalam bilik di rumah itu. 

Hasil ujian air kencing mendapati pasangan terbabit positif dadah jenis Methapethamine dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain dikaitkan dengan kesalahan khalwat. Manakala isteri peneroka bersama seorang anak saudara dan seorang lagi yang ditahan dalam serbuan tersebut disiasat mengikut Seksyen 30 Akta Racun. 

Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan terbabit.

Diberkas ketika nyenyak tidur

KUALA TERENGGANU - Mengundang padah! Tindakan berani dua beradik membeli sebuah motosikal Ex-5 curi bernilai RM450 daripada kumpulan samseng jalanan membawa padah setelah diberkas oleh polis ketika sedang nyenyak tidur di kediaman mereka di kampung Pulau Duyong Kecil awal pagi, semalam. 

Dua beradik itu yang masing-masing berumur 20 dan 24 tahun ditangkap polis dalam operasi khas “Lenjang” hasil maklumat risikan selama dua minggu oleh Pegawai Kanan Polis Unit Risikan Jenayah Bahagian (D4) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), Husaini Amir Mohd Noor. 

Turut ditemui di kediaman dua beradik itu satu set enjin motosikal jenis Ex-5 yang diubahsuai, kulit enjin serta beberapa komponen lain yang disorokkan di dalam plastik sampah berwarna hitam di bahagian bilik stor kediaman mereka. 

Siasatan awal polis mendapati motosikal curi itu dibeli oleh adiknya, 20 yang juga seorang penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun, Jurusan Diploma Elektrik dengan menggunakan duit pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN). Manakala abangnya pula yang bekerja sebagai pengawal keselamatan perumahan berperanan meleraikan bahagian komponen enjin tersebut. 

Selain itu, kedua-dua mereka turut mengaku bertindak mengetuk dan mengubah suai nombor pendaftaran enjin agar tidak dikesan dan mencampak rangka motosikal tersebut ke dalam sungai berhampiran kediaman mereka. 

Kedua-dua beradik ini kini ditahan di lokap Balai Polis daerah Kuala Terengganu di bawah Seksyen 291 Kanun Keseksaan

21 didakwa sertai pertubuhan haram Hindraf

KUALA LUMPUR - Seramai 21 orang, termasuk lima wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan bersama-sama menyertai satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang, iaitu Hindraf.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Little India, Brickfields, pada 13 Feb lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1996 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun, atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan di hadapan Majistret Zulkipli Abdullah dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Mark M. Raman. - BERNAMA

Anggota polis lemas motosikal terhumban ke longkang

KUALA LUMPUR - Seorang konstabel dari Unit Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur lemas selepas motosikal dinaikinya terbabas lalu merempuh tembok sebelum terhumban ke dalam longkang di Taman Desa Jaya, Kepong di sini, awal hari ini. 

K Devaraju Naidu, 29, sedang memandu motosikal Honda Wave dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Ehsan bila kejadian berlaku pada jam 3 pagi. 

"Dipercayai motosikalnya terbabas lalu bergesel dengan pembahagi jalan sebelum terjatuh ke dalam longkang sedalam 2 x 2 meter yang dipenuhi air akibat hujan lebat. 

"Mayat mangsa ditemui pada jam lebih kurang 7.30 pagi kira-kira 200 meter dari tempat kejadian akibat dihanyutkan oleh arus longkang," kata Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Superintenden Ismail Ibrahim ketika dihubungi Bernama di sini. 

Beliau berkata, polis tidak menemui apa-apa kesan kecederaan ke atas mayat mangsa kecuali kecederaan di bibir bahagian kanan.-Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...