Selasa, 30 April 2013

WARGA PDRM BUKIT AMAN TUNAI TANGGUNGAWAB UNDI AWAL


BUKIT AMAN, 30 April - Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman merupakan satu daripada 544 pusat pengundian di seluruh Negara bagi proses pengundian awal hari ini. 

Warga PDRM telah bersama-sama menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). 

Seawal jam 9.30 pagi tadi, Tan Sri Datuk Seri Utama Hj Ismail Bin Hj Omar, Ketua Polis Negara telah mengundi awal di Mess Pegawai Kanan, Bukit Aman. 

Undi awal dilaksanakan buat pertama kali pada PRU13 berikutan pindaan kepada Peraturan 27A, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 iaitu kategori orang yang boleh mengundi awal. 

Ditanya pengalaman salah seorang pengundi awal di sini, Lans Koperal Iqtar Azmi dari Jabatan Pengurusan Bukit Aman merasa sangat teruja menunaikan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia yang merupakan pengalaman pertama beliau mengundi.

ESSCOM KENAL PASTI INDIVIDU TERBABIT DALAM PENCEROBOHAN DI SABAH


Kota Kinabalu, 30 April - Bahagian Risikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (ESSCOM) telah mengenal pasti individu yang terlibat dalam insiden pencerobohan militan Sulu di Lahad Datu pada Februari lepas.

Ketua Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek berkata mereka termasuk orang yang telah lama berada di Sabah.

"Mereka ini akan dipantau," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan penjawat awam persekutuan yang turut dihadiri Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Abu Bakar Hassan di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, hari ini.

#PRU13#GE13: TIMBALAN KPN PUJI ANGGOTA PARTI DI T'GANU


Kuala Terengganu, 30 April - Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memuji anggota-anggota parti politik di Terengganu yang tidak menimbulkan kekecohan serius sepanjang kempen pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) setakat ini.

Beliau berkata anggota parti di negeri ini lebih matang kerana tidak mudah terpengaruh dengan anasir jahat yang boleh menimbulkan pergaduhan.

"Kita harap trend ini terus dipraktikkan pada hari menggundi nanti. Kalau kita semua mengikut undang-undang dan peraturan, sudah tentu kita menghadapi pilihan raya dengan aman damai," katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu hari ini.

Beliau berkata proses pengundian awal di Terengganu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan di semua pusat pengundian.

"Sehingga pukul 1 petang tadi, 97 peratus pengundi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu selesai mengundi," katanya.

Khalid juga berkata persiapan polis Terengganu diatur dengan baik bagi menghadapi hari mengundi Ahad ini.

Beliau turut menerima sumbangan RM123,641 untuk Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia dari Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa. - BERNAMA

Isnin, 29 April 2013

TLDM akan saman pihak yang terus politikkan isu Scorpene

Panglima TLDM
Panglima TLDM (dua, kiri) beramah mesra dengan veteran tentera pada
Majlis Pemakaian Pingat Jasa Malaysia Kepada Veteran Tentera Malaysia di Pengkalan TLDM di Lumut, hari ini

LUMUT -  Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terus memfitnah dan mempolitik isu kapal selam Scorpene, terutama ketika berkempen.

Panglima Tentera Laut Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata pihaknya mendapat maklumat ada beberapa calon pilihan raya yang berterusan mempertikai pembelian kapal selam terbabit selain mendakwa aset berkenaan tidak berfungsi.

"...saya dengar banyak cerita dan saya sedang mengumpul bukti.. saya cabar mereka untuk menzahirkan kenyataan itu secara bertulis jika mereka berani.

"Kemudian bersedialah untuk berhadapan dengan saman fitnah... kita sudah berlembut sangat dengan mereka sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan warga TLDM di Pangkalan TLDM Lumut, di sini hari ini.

Gagal Hadir Bicara, Uthayakumar Dikenakan Waran Tangkap


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap P. Uthayakumar kerana gagal hadir ke mahkamah pada perbicaraan kesnya pada Isnin.
Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azlina Rasdi supaya waran tangkap dikeluarkan terhadap peguam itu kerana gagal hadir pada perbicaraan kesnya iaitu menerbitkan satu surat berbaur hasutan di laman web 'Police Watch' enam tahun lalu.
Penjamin kepada Uthayakumar hadir ke mahkamah dan memberitahu beliau menerima sijil sakit peguam itu bertarikh 2 April hingga 17 Mei pada 4 April lepas, serta diminta menyerahkannya pada Isnin.
Pada 17 Disember 2007, Uthayakumar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang didakwa dilakukan antara 15 November dan 8 Disember 2007.
Bagi kesalahan itu, Uthayakumar didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan dan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Uthayakumar akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Andalas dan Parlimen Kota Raja pada pilihan raya umum 5 Mei ini. - BERNAMA

#PRU13 #GE13: ENAM POS KAWALAN POLIS DIWUJUD DI KUALA TERENGGANU



Kuala Terengganu, 28 April - Enam pos kawalan polis diwujud di kawasan berisiko di sekitar Kuala Terengganu bagi menggelak insiden yang tidak diingini sempena pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Supt Abdul Halim Ishak berkata pos diwujudkan di Kuala Ibai, Wakaf Mempelam, Chendering, Manir, Gong Badak dan Batu Rakit yang telah beroperasi selepas hari penamaan calon. Beliau berkata ia bagi memudahkan orang ramai melapor kes berkaitan pilihan raya.

Ahad, 28 April 2013

Rangka manusia dalam kereta terbakar

Rangka manusia dalam kereta terbakar
Rangka manusia yang ditemui dalam sebuah kereta terbakar
di Jalan Gambut, Olak Lempit, petang kelmarin.

KUALA LANGAT - Sepasang suami isteri terkejut apabila menemui mayat rentung dalam sebuah kereta yang terbakar, dalam sebuah ladang kelapa sawit tidak jauh dari rumah mereka, di Jalan Sri Gambut, Olak Lempit,  kelmarin.

Mayat ditemui kira-kira jam 6.15 petang, ketika pasangan suami isteri itu dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum melihat sebuah kereta jenis Perodua Kancil terbakar di lokasi kejadian.

Seorang penduduk enggan dikenali berkata, dia tidak sangka kepulan asap tebal dari arah sebuah kebun, di sini, rupanya kenderaan yang sedang terbakar dan tambah mengejutkan terdapat rangka manusia di bahagian pemandu.

Ditetak Kerana Minta Balik Hutang RM20 Dari Rakan


DUNGUN: Gara-gara meminta dibayar balik hutangnya sebanyak RM20, seorang lelaki parah ditetak empat suspek di Kampung Binjai di sini Jumaat.
Kejadian berlaku kira-kira 10 pagi ketika mangsa yang berusia 40 tahun pergi menagih hutang dari seorang rakannya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K. Manoharan berkata turut berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek, sebelum mangsa pulang semula ke rumahnya dengan menunggang motosikal.
"Namun suspek yang tidak berpuas hati dengan mangsa, mengajak tiga lagi rakannya untuk mengejar mangsa dengan kereta sebelum mangsa dilanggar hingga terjatuh dan kemudian ditetak.

Polis Terengganu Pandang Serius Tayangan Video Seks Secara Terbuka


KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab menayangkan video seks secara terbuka bagi tujuan politik di markas mahupun pada ceramah yang dianjurkan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K.Manoharan berkata polis tidak akan berkompromi dengan perbuatan itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya segera melaporkannya.
Polis sedang giat memantau markas parti politik yang dipercayai membuat tayangan video itu secara terbuka, katanya kepada pemberita.

Pegawai SPR diugut di Kubang Semang, Pulau Pinang

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat laporan polis setelah diugut seorang lelaki ketika beliau membuat rondaan dan pemantauan di Kubang Semang, Pulau Pinang, semalam.
Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata kejadian berlaku ketika pegawai itu dan dua rakannya yang menaiki kereta jenis Pajero berhenti di hadapan Bilik Gerakan di kawasan itu.

Sabtu, 27 April 2013

Along mula mengganas ???


Foto
Johor Bahru: Seorang suri rumah berusia 20 tahun berdepan detik cemas apabila diculik selama dua jam 15 minit dari rumahnya di Taman Suria Muafakat di sini, kelmarin oleh sekumpulan along akibat kegagalan suaminya membayar pinjaman RM500 kepada kumpulan terbabit.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa bersendirian di rumah sebelum didatangi sekumpulan along terbabit.

Modus Operandi yang sama pembunuhan di lampu isyarat


Foto
Kuala Lumpur: Seorang lelaki maut manakala ibunya cedera selepas ditembak oleh dua lelaki menaiki motosikal ketika mangsa berhenti di lampu isyarat di Bulatan Taman Billion, Cheras, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa, R Karikaalan, 29, memandu kereta Nissan Livina bersama ibunya yang berusia 60 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah di Puchong.
Mangsa yang terkena tembakan di bahagian dada disahkan meninggal dunia ketika menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) jam 1 tengah hari.

Bagaimana pun, ibu mangsa yang terkena dua das tembakan pada lengan kanan masih dirawat di hospital sama dan dilaporkan stabil.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, kejadian berlaku ketika mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat di bulatan berkenaan.

Mati ditembak dalam Kereta Perdana


SEREMBAN – Seorang lelaki mati selepas ditembak dua lelaki menunggang motosikal di Jalan Seremban-Tampin berhampiran Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi itu, mangsa, N. Ragunathan, 39, yang memandu kereta Proton Perdana maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, sebelum kejadian, mangsa yang dalam perjalanan ke Seremban berhenti di tepi jalan berhampiran Ibu Pejabat JPJ negeri tetapi tidak diketahui tujuannya berhenti di situ.

#PRU13 #GE13 UNDANG-UNDANG DAN ANDA:


Kanun Keseksaan (Akta 374) Seksyen 425 - Khianat.

Barang siapa, dengan niat hendak menyebabkan, atau dengan mengetahui bahawa ia mungkin menyebabkan, kerugian atau kehilangan salah kepada awam atau kepada seseorang, menyebabkan kebinasaan apa-apa harta, atau menyebabkan sesuatu perubahan kepada apa-apa harta, atau kepada kedudukannya, yang membinasa atau mengurangkan harga atau kegunaannya, atau yang membencanakannya adalah melakukan 'khianat'.

Seksyen 426 - Seksaan kerana melakukan khianat.

Barang siapa melakukan khianat hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga bulan, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

#PRU13 #GE13: JANGAN GUNAKAN IMEJ POLIS UNTUK TUJUAN KEMPEN



Kuching, 26 April - Pegawai Pentadbiran Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak, ACP Azam Abd Hamid meminta semua calon bertanding supaya tidak menggunakan latar belakang aktiviti kepolisan, gambar atau apa-apa bentuk hebahan berkaitan pasukan polis yang bertujuan untuk mengheret PDRM seolah-olah menyokong mana-mana parti bertanding.

Beliau mengulas mengenai tindakan seorang calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Petra Jaya yang menggunakan poster dengan menampilkan dirinya dalam pakaian seragam polis trafik untuk menarik sokongan pengundi.

PASUKAN KHAS DITUBUH SIASAT PEMBUNUHAN TKP KASTAM

Al-Fatihah

Ipoh, 26 April - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Datuk Saharuddin Ibrahim yang maut ditembak di Putrajaya hari ini. 

Beliau berkata pasukan itu diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Bakri Zinin bagi menyiasat dan memburu suspek pembunuhan itu. 

"Siasatan sedang dijalankan...saya akan pastikan siasatan akan dijalankan secara terperinci dan kita akan mencari mereka yang bertanggungjawab itu. 

Khamis, 25 April 2013

PESERTA MISS WORLD INDIA PELAJARI SENI PERTAHANKAN DIRI


Selangor, 24 April - Seramai 39 peserta Miss World India 2013 daripada pelbagai negara berpeluang mempelajari seni mempertahankan diri di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor (IPK) dalam rangka lawatan mereka ke Malaysia selama 8 hari bermula pada 20 April lalu.

IPK Selangor dipilih untuk mengadakan program Crime Awareness: Women Self Defence dimana acara tersebut adalah julung kali diadakan dalam pertandingan Miss World India yang dianjurkan oleh Paramount Entertainment Sdn Bhd.

#PRU13 #GE13 UNDANG-UNDANG DAN ANDA:


Akta Bahan-Bahan Kakisan Dan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958.

Seksyen 6(1) - Membawa senjata berbahaya di tempat-tempat awam.

Mana-mana orang yang membawa atau ada dalam miliknya atau di bawah kawalannya di mana-mana jalan atau tempat awam apa-apa senjata berbahaya kecuali dengan kebenaran yang sah atau bagi maksud yang sah, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dipenjara untuk suatu tempoh tidak melebihi dua tahun dan disebat.

POLIS PERAK BERJAYA MENAHAN INDIVIDU TERLIBAT INSIDEN KEBAKARAN BILIK GERAKAN


Pihak polis hari ini berjaya menahan 3 individu bersabit kes kejadian kebakaran bilik gerakan sebuah parti di Bentong. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat juga lima bilah parang dan dua botol dipercayai "molotov coctail" sama dengan yang dijumpai di bilik gerakan yang cuba dibakar.


Pihak polis juga masih menyiasat perkara ini dan mengesan suspek-suspek yang masih bebas. Orang ramai yang mengetahui kejadian ini diminta untuk tampil memberi maklumat kepada pihak polis. 

Selain itu, pihak polis juga menegaskan kepada orang ramai supaya mengawal perasaan dan jangan terlalu emosi ketika berkempen dan juga diingatkan supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi sehingga menimbulkan pergaduhan.



ANGGOTA PDRM DAN SPR BUAT LAPORAN POLIS BERHUBUNG DAKWAAN UNDI AWAL


Kuala Lumpur, 25 April - Dua laporan polis dibuat terhadap laman blog 'milosuam.blogspot.com' yang menyebarkan dakwaan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia diarah mengundi awal bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata satu laporan polis dibuat oleh seorang pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di sini dan satu lagi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya petang semalam.

#PRU13 #GE13 : PDRM SENTIASA BERSIAP SEDIA


Polis telahpun bersiap sedia sepenuhnya menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU13). Segala persiapan serta keperluan sumber manusia telahpun digerakkan sepenuhnya menjelang hari pengundian

"Sehingga kini hanya kes-kes pergaduhan kecil melibatkan pekerja-pekerja pasang bendera dan tahap keselamatan adalah diperingkat yang memuaskan, maka para pengundi diminta keluar mengundi tanpa kegusaran," kata Ketua Polis Negara Tan Sri Dato Sri Haji Ismail bin Haji Omar dalam sidang media yang berlangsung di ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

Guna tandatangan palsu Sultan


Tengku Fadzilah
KOTA BHARU - Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia semalam tampil membuat laporan polis berhubung pemilik kenderaan yang didakwa menggunakan tandatangan palsu Sultan Kelantan untuk menyokong sebuah parti politik di sini.

Yang Dipertuanya, Tengku Syarifah Fadzillah Puteri berkata, kenderaan jenis Volvo 940 berwarna hijau tersebut didakwa dilihat di depan sebuah kedai buku di kawasan Pasir Putih jam 12 malam kelmarin.

“Kereta tersebut menampal poster wajah dan tandatangan palsu milik sultan Kelantan untuk tujuan mempromosikan atau berkempen kepada salah sebuah parti yang bertanding di sini.

Kabel rumah pam sering lesap, pesawah terjejas


Kabel rumah pam sering lesap, pesawah terjejas
KAMPUNG MATANG - Pembinaan rumah pam milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang disediakan kerajaan untuk kemudahan penanam padi sering menjadi sasaran individu tidak bertanggungjawab mencuri kabel.

Difahamkan kecurian kabel di rumah pam itu sudah berlanjutan kira-kira 10 tahun lalu menyebabkan kerajaan mengalami kerugian selain menimbulkan masalah kepada pesawah terlibat.

Maludin Mohd, 55, berkata, di sebalik masalah menimpa penanam padi itu, dia bersyukur dan berterima kasih kepada pihak berkaitan kerana turun padang secepat mungkin, sekali gus melakukan kerja-kerja menggantikan kabel baru.

“Rumah pam ini nadi bagi penanam padi di kawasan ini dan ia adalah satu-satunya saliran yang membekalkan air ke kawasan penanaman padi seluas kira-kira 69 hektar ini. Namun, apa yang menyedihkan kemudahan ini sering menjadi sasaran pencuri kabel.

Rumah dipecah masuk ketika kemas kini data undi pos PRU13


Sakinah
MARANG – Seorang pembantu am di Pejabat Daerah dan Tanah di sini, kerugian kira-kira RM40,000 selepas rumahnya dipecah masuk ketika menjalankan tugas mengemas kini data undi pos Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), malam kelmarin.

Mangsa, Sakinah Othman, 37, yang keluar dari rumah kira-kira jam 8 malam berkata, kejadian itu bagaimanapun hanya disedari olehnya dan suami, Mohd Rafi Kassim sebaik sahaja tiba di rumah, kira-kira jam 11.30 malam.

Menurut Mohd Rafi, dia keluar dari rumah di Kampung Bukit Rhu Rendang untuk menghantar isterinya ke Pejabat Daerah dan Tanah Marang sebelum ke rumah mentua di Kampung Bukit Gasing sambil menunggu isterinya pulang.

Insiden Letupan: Polis Pertingkat Kawalan Di Seluruh Negara


Polis akan mempertingkatkan pemeriksaan dan kawalan di lokasi-lokasi ceramah di seluruh negara bagi mengelak berulangnya insiden letupan seperti berlaku di Pulau Pinang semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pemantauan serta pemeriksaan rapi akan dijalankan di sekitar kawasan ceramah, sebelum dan ketika ceramah berlangsung bagi memastikan kawasan berkenaan selamat.
"Kesemua parti diingatkan untuk memberikan kerjasama dan memohon permit ceramah pada ketua polis daerah masing-masing agar pihak polis boleh mengambil tindakan awal bagi memastikan keselamatan semua terjamin.

Rabu, 24 April 2013

Pemandu teksi ditembak mati di hadapan isteri, anak

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu teksi ditembak mati dua lelaki ketika menikmati makan malam bersama isteri dan anak perempuannya di sebuah restoran di Batu 14, Kampung Baharu Puchong dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata mangsa, Seva Arumugan, 36, didatangi dua lelaki bertopeng yang melepas beberapa das tembakan ke arah mangsa dalam kejadian 9.20 malam itu.
“Dua suspek tersebut berbadan gempal dan berusia lingkungan 30-an,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Beliau berkata suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Wira kelabu dengan nombor pen daftaran NBS 9119, yang dipercayai kenderaan curi.
Mangsa dibawa ke sebuah klinik tidak jauh dari tempat kejadian namun disahkan meninggal dunia.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya. - BERNAMA

#PRU 13# GE13: PARTI DIINGAT TIDAK LIBATKAN PEKERJA BUKAN WARGANEGARA


Kuala Lumpur, 23 April - Parti politik diingatkan supaya tidak melibatkan pekerja bukan warga negara untuk melakukan aktiviti berkaitan pilihan raya umum termasuk memasang bendera atau banting parti-parti politik.


Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tindakan tegas akan diambil kepada parti politik berkenaan jika didapati berbuat demikian.

"Parti politik tidak boleh memberi subkontrak kepada orang bukan warga Malaysia bagi menjalankan kerja-kerja berkenaan.


#PRU13 #GE13: JANGAN GUNAKAN ELEMEN 'POLIS' UNTUK KEPENTINGAN PARTI POLITIK

Pihak polis bertegas untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menggunakan elemen 'polis' demi kepentingan parti politik. Taklimat media disampaikan oleh Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara, ACP Ramli Mohamed Yoosuf di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

#PRU13 #GE13 JANGAN SALAH TAFSIR UNDI POS DAN UNDI AWAL


PDRM menyeru semua pihak memberhentikan penyebaran berita tidak benar di media sosial dengan serta merta. Penyebaran berita yang tidak benar mengenai anggota polis sudah mula mengundi boleh disalah tafsir oleh orang ramai seolah-olah terdapat penipuan dalam proses undi, sedangkan prosedurnya adalah jelas, iaitu Undi Pos telahpun bermula sejak 23 April 2013 dan Undi Awal pula akan dilaksanakan pada 30 April 2013. 

Apa yang digembar-gemburkan di beberapa blogs bahawa anggota polis telah memulakan Undi Awal sebenarnya adalah proses Undi Pos. Oleh itu, penyebaran berita yang mengatakan polis telah mengundi awal sebelum 30 April 2013 tersebut boleh disifatkan, dan tertakluk kepada, perbuatan fitnah.

PRU13: Ceramah BN di Nibong Tebal gempar sampah meletup, seorang cedera


NIBONG TEBAL: Seorang lelaki berusia lingkungan 30an cedera parah di lutut selepas longgokan sampah yang terletak kira-kira 10 meter di belakang pentas ceramah perdana Barisan Nasional (BN) di Bilik Gerakan Parlimen Nibong Tebal, di sini, meletup secara tiba-tiba.

Kejadian pada kira-kira jam 10.15 malam tadi itu mengejutkan kira-kira 3,000 orang yang ketika itu sedang mendengar ceramah oleh Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan. 

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat berada di lokasi ketika ini bagi melakukan siasatan. 

Selasa, 23 April 2013

Pencuri ayam diberkas selepas sejam dikejar polis

Gambar hiasan saja

JEMPOL  - Polis menahan seorang suspek kes curi ayam di pekan Bahau dekat sini pada Isnin lalu, selepas dikejar hampir sejam.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Hamzah Alias berkata, kejadian kecurian yang berlaku pada pukul 1.30 pagi itu disedari seorang peniaga ayam sebuah pasar di pekan berkenaan.

Dua pelajar IPT ditahan menyamar pemantau pilihan raya



Dua pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) swasta di negeri ini ditahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana menyamar sebagai pemantau pilihan raya semasa proses penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh semalam.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bagi Pilihan Raya Umum (PRU-13), Supritendan Che Mahazan Che Aik berkata, dua pelajar berusia 23 dan 26 tahun tersebut ditahan semasa cuba memasuki pusat penamaan calon menggunakan pas palsu.

Mangsa ditikam 4 kali oleh dua lelaki bermotosikal


KUALA LUMPUR 21 April - Mangsa pembunuhan kejam, Ong Ai Sam, 52, yang mati ditikam ketika menyertai larian amal bersama keluarganya di Bukit Gasing, Petaling Jaya semalam, sempat mengucapkan 'saya sayang awak' kepada anak perempuannya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Menurut status terbaru di laman sosial Facebook milik kenalan mangsa yang dikongsi oleh rakannya dikenali sebagai Zakk Vee dan Thom Wong Hanyang, Ai Sam ditikam empat kali oleh dua lelaki bermotosikal yang datang dari arah belakang.

Jurukamera RTM mati dipercayai diserang penyokong parti


KOTA BHARU 23 April - Jurukamera sambilan RTM, Mohamed Yacob, 61, meninggal dunia dipercayai selepas diserang penyokong sebuah parti politik di hadapan rumahnya di Bandar Lama Gua Musang dekat sini kira-kira pukul 1.15 pagi ini.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku selepas Allahyarham membunyikan hon kereta kerana tidak berpuas hati laluan masuk ke rumahnya dihalang oleh seorang penyokong parti berkenaan.

Remaja mati dipukul dengan topi keledar


Gambar hiasan
KUCHING 23 April - Seorang lelaki maut dipercayai dipukul serta dihentak bertubi-tubi di kepala dengan topi keledar oleh sekumpulan pemuda di pekarangan Tasik Masja, Petra Jaya di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 malam itu, Mohd. Syamsul Izwan Mohammad Suhaili, 24, berasal dari Kampung Bintawa Ulu, di sini ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di sisi motosikalnya dan disahkan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa dikatakan sedang lepak di kawasan tersebut sebelum berselisih faham dan bergaduh dengan kumpulan suspek. - UTUSAN ONLINE

Wanita nekad lawan peragut


Wanita nekad lawan peragut
KUALA TERENGGANU - Seorang wanita bertindak nekad menarik beg tangan miliknya daripada diragut oleh dua lelaki walaupun terpaksa menahan kesakitan, dalam satu kejadian ragut di Jalan Bukit Kecil, di sini, Jumaat lalu.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, 51, yang bekerja sebagai pembantu kedai sedang berjalan kaki bersama anak perempuannya dari arah Jalan Bukit Kecil menuju ke Pulau Kambing, di sini, sebelum dihampiri dua suspek yang menunggang motosikal.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa dihampiri dua suspek sebelum pemboncengnya cuba meragut beg tangan milik mangsa.

13 Akan Dihadap Ke Mahkamah Kesalahan Berkaitan PRU-13


PUTRAJAYA: Seramai 13 lelaki akan dihadapkan ke mahkamah pada Selasa atas pelbagai pertuduhan membabitkan lima kes yang berkaitan dengan pilihan raya umum ke-13.
Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara Abdul Wahab Mohamed berkata tujuh daripada lelaki itu akan didakwa berkaitan satu kes gaduh di tempat awam sehingga mengganggu ketenteraman awam di Mantin, Negeri Sembilan, pada 7 April lepas, mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata dua lagi akan didakwa kerana melakukan kesalahan yang sama dengan membaling kerusi dan memegang besi dalam satu kes di Pasir Puteh, Kelantan, pada 20 April lepas.

Isnin, 22 April 2013

#PRU13 #GE13: 11 DITAHAN DI P.PINANG BAWA SENJATA KETIKA PASANG BENDERA

Gambar hiasan

George Town, 22 April - Seramai 11 lelaki ditahan kerana membawa senjata berbahaya ketika memasang bendera parti di Bayan Baru dan Butterworth awal pagi tadi.

Jurucakap pilihan raya polis kontinjen negeri, ACP Roslee Chik berkata pihak polis menemui sebilah kapak dan tiga bilah parang pelbagai saiz selain puluhan bendera parti dalam kereta yang dinaiki enam lelaki berusia antara 18 hingga 37 tahun di Queens Bay, Bayan Baru kira-kira pukul 4.30 pagi.

#PRU13 #GE13: POLIS AKAN AMBIL TINDAKAN JIKA BERCERAMAH TANPA PERMIT


Kuala Lumpur, 22 April - Polis mengesan ada calon pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini mengadakan ceramah tanpa mendapatkan permit daripada ibu pejabat polis daerah di kawasan masing-masing.


Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata perbuatan itu melanggar undang-undang dan boleh dikenakan tindakan.

"Kita nasihatkan mereka agar mengambil permit dah ulu sebelum melakukan apa-apa aktiviti bagi mengelakkan tindakan undang-undang," katanya pada taklimat media PRU13, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Ismail berkata polis juga tidak menggalakkan calon daripada parti berbeza mengadakan ceramah secara serentak di lokasi berdekatan kerana boleh mencetuskan kekecohan.


#PRU13 #GE13 UNDANG-UNDANG DAN ANDA:

Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5)


Seksyen 24B (3) - Seseorang calon atau ejen pilihan rayanya boleh, semasa tempoh berkempen - 

(a) mengadakan, memanggil atau mengaturkan apa-apa perjumpaan awam terbuka, perhimpunan awam terbuka, pertunjukkan awam terbuka atau hiburan awam terbuka; atau  memberikan apa-apa ucapan awam terbuka atau syarahan awam terbuka, di dalam bahagian pilihan yang baginya calon itu bertanding tetapi hanya jika dia memegang suatu permit untuk berbuat demikian yang dikeluarkan kepadanya oleh pegawai polis yang menjaga daerah di mana perjumpaan, perhimpunan, pertunjukkan atau hiburan itu hendak diadakan atau ucapan atau syarahan itu hendak diberikan.

(10) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (3) boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya.

Ahad, 21 April 2013

#PRU13 #GE13 UNDANG-UNDANG DAN ANDA:


Akta Hasutan 1948 (Akta 15) Seksyen 4 - Kesalahan-kesalahan.

(1) Sesiapa yang -

(a) melakukan atau cuba melakukan, atau membuat apa-apa persediaan untuk melakukan, atau bermuafakat dengan mana-mana orang untuk melakukan, apa-apa perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut, atau, jika dilakukan, tetap mempunyai kecenderungan menghasut;

(b) menyebut apa-apa perkataan menghasut;

(c) mencetak, menerbitkan, menjual, menawarkan untuk dijual, mengedarkan atau mengeluar ulang apa-apa penerbitan menghasut; atau

(d) mengimport apa-apa penerbitan menghasut, adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh bagi kesalahan pertama dikenakan denda tidak lebih daripada lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya dan, bagi kesalahan yang kemudian, boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun; dan apa-apa penerbitan menghasut yang didapati dalam milik orang itu atau yang digunakan sebagai keterangan dalam pembicarannya hendaklah dirampas dan boleh dimusnahkan atau dilepaskan dengan apa-apa cara lain mengikut sebagaimana diarah oleh mahkamah.

#PRU 13# GE 13: POLIS INGATKAN BUKAN PARTI POLITIK TIDAK LETAK POSTER, BENDERA DI TEMPAT AWAM

Gambar hiasan

Kuala Lumpur, 20 April - Polis hari ini mengingatkan pihak-pihak bukan parti politik agar tidak menampal bendera atau poster di tempat awam semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). 


Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata perbuatan itu boleh mencetuskan provokasi sehingga mengganggu keselamatan awam. 

"Kalau ini berniat jahat dan cuba mencetuskan provokasi maka ia patut dihentikan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. 


Jumaat, 19 April 2013

Tiga tikaman akibat cemburu


Bukit Mertajam: Tindakannya mahu memutuskan hubungan cinta dipercayai menjadi punca seorang wanita mati selepas ditikam kekasihnya yang kecewa dengan permintaan teman wanitanya itu.
Dalam kejadian jam 8.40 pagi semalam, Tan Ching Chin, 24, mati selepas ditikam tiga kali di badan dan perut oleh teman lelakinya yang berusia 31 tahun di rumah mangsa di Taman Hwa Seng, Alma, di sini.

Datu Amirbahar didakwa lancar perang terhadap YDP Agong


KUALA LUMPUR: Adik kepada Jamalul Kiram, yang mendakwa dirinya Sultan Sulu, Datu Amirbahar Hushin Kiram hari ini didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, Sabah, atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas.
Datu Amirbahar, bakal berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan iaitu melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Azab dipijak senior


Foto
Klang: Hanya kerana dituduh mencuri kasut bola milik seniornya, seorang pelajar sebuah sekolah sukan di Seksyen 11, Shah Alam terpaksa menanggung derita apabila dipukul, disepak, dipijak dan ditumbuk kira-kira 20 pelajar tingkatan lima sekolah berkenaan hingga separuh nyawa, malam kelmarin.
Dalam kejadian antara jam 11.30 malam hingga 1 pagi itu di blok asrama sekolah berkenaan, mangsa Kamarul Aiman Kamarul Hadi, 13, hanya dapat menahan kesakitan akibat dibelasah menggunakan batang penyapu selain dipijak menggunakan kasut bola tanpa belas kasihan.
Kejadian itu bukanlah kali pertama berlaku kerana sebelum ini Aiman sudah dua kali dipukul kumpulan sama yang masih tidak berpuas hati kerana mendakwa mangsa mencuri kasut bola milik seniornya.

Akibatnya, Aiman kini terlantar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, berikutan kecederaan serius pada rusuk kanan dan tidak boleh bergerak menyebabkan dia ini masih dirawat di hospital.

#PRU13 #GE13: AKSI VIDEO SEKS, TIADA LAPORAN POLIS DIBUAT.


Setakat ini pihak polis masih belum menerima laporan daripada mana-mana individu yang menafikan penglibatan dalam aksi video seks yang didakwa mirip Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

“Kita memang ada menerima laporan berkaitan pengedaran namun tiada sesiapa lagi hadir untuk menafikan terlibat dalam video seks sehingga kini,” kata Pengarah Penyelarasan Pilihan Raya Umum Ibu Pejabat Polis Bukit Aman (Kelantan dan Terengganu), Datuk Noor Rashid Ibrahim kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini semalam.

Pihak polis kini sedang memberi tumpuan untuk menyelesaikan kes berkaitan pihak yang mengedar dan memiliki rakaman video seks terbabit berbanding individu di dalam video berkenaan. SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

#PRU13 #GE13: JANGAN CABAR PIHAK POLIS

Gambar hiasan

KPN bertegas tindakan akan dikenakan terhadapa pihak yang dilihat sengaja atau cuba mencetuskan kekecohan semasa hari penamaan calon Sabtu ini.

Pihak polis meminta pihak yang merancang untuk mencetuskan kekecohan agar melupakan rancangan mereka kerana ia tidak memberi manfaat kepada sesiapa. Polis akan bertindak berlandaskan perundangan negara selain bersikat tegas dan adil kepada semua pihak tanpa memihak kepada sesiapa yang melakukan kesalahan.

Penyokong parti dan calon yang bertanding diingatkan agar akur dengan nasihat polis khususnya pada hari penamaan calon, sepanjang tempoh berkempen dan hari pengundian.

Lebih 100,000 anggota polis akan ditempatkan di pusat penamaan calon bagi memastikan proses tersebut berjalan lancar dan pihak polis bersedia menghadapi sebarang kemungkinan terutama di kawasan panas yang dikenal pasti.

MURID TAHUN ENAM ANTARA 22 PENAGIH DADAH DITAHAN DI KUANTAN

Gambar hiasan

Kuantan, 18 April - Seorang murid lelaki Tahun Enam antara 22 individu yang ditahan pihak polis dalam operasi membanteras penyalahgunaan dadah di Kuantan.

Murid sekolah rendah itu ditahan bersama penagih lain di sebuah bengkel besi dekat Gudang Rasau di sini dalam operasi pukul 6 petang kelmarin.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Supt Yap Toon Khuan berkata murid itu disahkan positif dadah jenis pil kuda.

"Murid itu juga mengaku menghisap rokok sejak awal usia sembilan tahun," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pemandu Teksi Laku Seks Oral & Rompak Penumpang Dipenjara 48 Tahun, 11 Sebatan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi dijatuhi hukuman penjara berjumlah 48 tahun dan 11 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah melakukan seks oral dan merompak dua penumpangnya di dalam teksi tiga tahun lepas.
Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap dua pertuduhan seks oral dan dua pertuduhan merompak yang dihadapi M.Saravanan, 30.
Bagi setiap pertuduhan melakukan seks oral, dia dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan lima sebatan dan penjara 15 tahun dan empat sebatan manakala bagi setiap pertuduhan merompak, hukuman penjara lapan tahun, satu sebatan dan sembilan tahun, satu sebatan.

Lelaki ditemui mati tergantung


Lelaki ditemui mati tergantung
PEKAN – Seorang lelaki ditemui mati tergantung pada sebatang pokok rhu, yang terletak kira-kira 50 meter dari kawasan pantai, dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman berkata, mayat tersebut ditemui seorang penduduk yang sedang memantau pelampung pukatnya di perairan pantai Kuala Pahang.

Menurutnya, dalam keadaan terkejut, saksi berusia 30 tahun tersebut bergegas memaklumkan kepada penduduk setempat dan menghubungi polis berhubung penemuannya itu.

Beliau berkata, mangsa ditemui dengan lehernya tergantung pada sebatang pokok rhu dan disyaki baru meninggal dunia beberapa jam sebelum ditemui pada kira-kira jam 6.30 petang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...