Isnin, 22 April 2013

#PRU13 #GE13: 11 DITAHAN DI P.PINANG BAWA SENJATA KETIKA PASANG BENDERA

Gambar hiasan

George Town, 22 April - Seramai 11 lelaki ditahan kerana membawa senjata berbahaya ketika memasang bendera parti di Bayan Baru dan Butterworth awal pagi tadi.

Jurucakap pilihan raya polis kontinjen negeri, ACP Roslee Chik berkata pihak polis menemui sebilah kapak dan tiga bilah parang pelbagai saiz selain puluhan bendera parti dalam kereta yang dinaiki enam lelaki berusia antara 18 hingga 37 tahun di Queens Bay, Bayan Baru kira-kira pukul 4.30 pagi.

"Mengikut laporan awal yang kita terima, suspek dikatakan menurunkan bendera parti lawan sebelum memasang semula bendera parti mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata lima lelaki lagi yang berusia antara 18 hingga 24 tahun ditahan pula di tempat parkir Jalan Kampung Benggali, Butterworth pada pukul 2.28 pagi. Hasil pemeriksaan, polis menemui enam bilah parang panjang yang disembunyikan dalam kereta mereka, katanya.

Beliau berkata kesemua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau sebatan jika sabit kesalahan. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...