Isnin, 14 September 2015

POLIS NAFI LAPORAN MAT REMPIT BERBAJU MERAH BERKELIARAN DI IBU KOTA


Kuala Lumpur , 13 Sept - Polis menafikan kesahihan berita dan gambar sekumpulan mat rempit berbaju merah sedang berkumpul dan berkeliaran di Jalan Chow Kit, Pavilion dan Bukit Bintang seperti yang tersebar di media sosial.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata penyebaran gambar itu adalah tidak benar sama sekali dan tiada kumpulan berkenaan sedang berkeliaran di bandar raya ini.
Tiada sebarang penutupan jalan di sekitar Kuala Lumpur terutamanya jalan-jalan yang menuju ke Plaza Low Yat.
"Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan pengesahan daripada mana-mana balai polis berhampiran, dan tidak mempercayai atau terpengaruh dengan penyebaran gambar dan berita yang tidak berasas itu," kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata tindakan tegas akan diambil mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan ke atas mana-mana individu yang dipercayai menyebarkan maklumat berunsur hasutan dan menakut-nakutkan orang ramai.
Datuk Tajuddin berkata, pihaknya akan sentiasa memastikan keselamatan orang ramai dan ketenteraman awam di sekitar Kuala Lumpur akan terus terjamin.
"Setiap maklumat yang diterima perlulah disahkan serta diperoleh daripada sumber yang benar atau pihak berkuasa," katanya.
- BERNAMA


MAYAT LELAKI DENGAN KESAN TETAK DITEMUI DI TEPI LEBUH RAYA

Gambar hiasan

Bukit Kayu Hitam, 13 Sept - Mayat seorang lelaki ditemui dengan kesan tetakan di beberapa bahagian badannya di tepi Lebuhraya Utara-Selatan menghala Bukit Kayu Hitam berhampiran Kampung Padang Satu di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya berkata, mayat lelaki berusia lingkungan 40-an dengan kesan tetak di dahi, belakang kepala dan kedua-dua tangan ditemui hasil maklumat orang awam kira-kira 9.30 pagi tadi.

"Polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri. Tetapi kita menjumpai sebuah telefon bimbit dan sedang menjalankan siasatan," katanya.


Mayat lelaki itu menurutnya, telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas dakwaan membunuh - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...