Isnin, 16 Disember 2013

Perompak larikan RM270,000 wang ATM di Cheras

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR - Tiga penjenayah melarikan wang tunai RM270,920 selepas memecah dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah pasar raya di Taman Cheras Utama, Batu 9, Cheras di sini.
Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, kumpulan itu dipercayai menggunakan gas oxy-acetylene untuk memecahkan mesin ATM milik dua bank berlainan berada pada jarak 15 meter antara satu sama lain.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supritenden Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, polis dimaklumkan mengenai kejadian itu seorang penyelia pengawal keselamatan pasar raya tersebut pada 7.10 pagi.
"Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), ketiga-tiga suspek lelaki itu didapati tidak memakai topeng muka tetapi rakaman itu kabur.
"Namun, mereka kelihatan begitu mahir ketika melakukan rompakan itu," katanya.
Siasatan awal mendapati ada kesan terbakar di kedua-dua mesin ATM itu.
"Kita turut menemui sebatang skru drebar dan empat kesan tapak kasut ditempat kejadian," jelasnya.
Pasar raya itu hanya menggaji pengawal keselamatan dari 7 pagi hingga 10 malam setiap hari. - Bernama

Penjual kuih nyaris maut ditembak

KUALA SELANGOR - Seorang penjual kuih nyaris maut selepas terkena satu das tembakan di bahagian perut kira-kira 150 meter dari rumahnya di Taman Pelangi, Bistari Jaya di sini malam tadi.
Mangsa seorang lelaki berusia 45 tahun ketika itu bersendirian dan sempat menghubungi sepupunya bagi memaklumkan keadaan dirinya yang ditembak.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superitenden Mohd. Taib Ahmad berkata, dalam kejadian pukul 11.45 malam itu, mangsa sedang berjalan sendirian di tepi bangunan berhampiran satu tapak pembinaan sebelum didatangi seorang suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi berwarna hitam.
"Suspek melepaskan satu das tembakan dan mengenai bahagian perut mangsa sebelum dia bertindak melarikan diri.
"Polis menemui satu kelongsong peluru saiz 9mm di lokasi kejadian dan mangsa kini dirawat di Hospital Sungai Buloh," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Kes disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan. - KOSMO!

Lelaki warga Bangladesh ditemui mati dengan kesan tetakan

Gambar hiasan
SHAH ALAM - Seorang lelaki warga Bangladesh ditemui mati dengan kesan tetakan di kepala di persimpangan Seksyen 20, di sini pukul 7.45 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, polis yang bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat awal dari orang awam mendapati, lelaki tersebut terbaring di tepi jalan dalam keadaan berlumuran darah.
Katanya, siasatan awal mendapati barangan peribadi milik mangsa turut hilang dan kejadian dipercayai bermotif samun.
"Ekoran kejadian itu, polis menjalankan gerakan memburu suspek dan berjaya menahan dua suspek lelaki warga tempatan di kawasan Shah Alam kira-kira tiga jam kemudian.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang di sini untuk bedah siasat,"katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - KOSMO!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...