Rabu, 9 Julai 2014

Datuk Abdul Rashid Dilantik Pengarah Operasi Esscom

KOTA KINABALU - Pengarah Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Abdul Rashid Harun dilantik sebagai Pengarah Operasi Esscom berkuatkuasa serta merta.
Pelantikan secara dalaman itu diumumkan Ketua Pengarah Esscom Datuk Mohammad Mentek. 
Beliau berkata, tempoh pelantikan itu adalah selama enam bulan dan ia dilaksanakan secara bergilir-gilir.   
"Selepas tempoh tersebut, jawatan ini akan diambil alih Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya kepada pemberita selepas majlis pertemuan dan dialog Esscom bersama komuniti Kadazandusun Murut di Wisma Dang Bandang di sini hari ini.  

WARGA AFRIKA MAUT ELAK DIBERKAS POLIS

Gambar hiasan
Puchong, 8 Julai – Seorang lelaki warga Afrika maut akibat kecederaan parah di kepala selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah pangsapuri ketika cuba melarikan diri daripada ditahan sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dalam satu serbuan yang diadakan di sini bulan lalu.

Dalam serbuan tersebut, pihak polis turut memberkas empat lagi lelaki warga Afrika disyaki rakan serumah mangsa bersama rampasan dadah syabu berjumlah 83.2 gram yang dijumpai di dalam sebuah bilik di mana lokasi serbuan dijalankan.

Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM12,480 dan kesemua suspek ditahan untuk di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

SOROK DADAH DALAM UBI


Sepang, 8 Julai –Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah berjaya merampas sejumlah dadah syabu yang disorokkan di dalam dua ketul ubi dalam pemeriksaan ke atas bagasi-bagasi yang tidak dituntut di Pejabat Lost & Found KLIA pada bulan lalu.

Sebelum itu, di lokasi pemeriksaan yang sama juga, JSJN KLIA berjaya merampas sejumlah dadah syabu yang disembunyikan dalam tangkai beg troli yang tidak dituntut.

Jumlah rampasan adalah 1.9 kilogram dan dianggarkan bernilai RM280,000.

Pihak polis percaya dadah-dadah yang dirampas ini telah ditinggalkan oleh kurier sindiket dadah terbabit setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa yang membuat pemerhatian di kawasan KLIA, Sepang.

Siasatan lanjut kini sedang dijalankan bagi mengesan individu-individu yang terlibat.

POLIS SELAMATKAN WANITA MANGSA ROGOL


Melaka, 8 Julai - Polis hari ini menyelamatkan seorang wanita mangsa rogol yang ditinggalkan di premis berkunci di Taman Seri Krubong di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata mangsa berusia 22 tahun ditemui di sebuah bilik bangunan pejabat kira-kira 2.30 petang hasil maklumat orang awam.

Beliau berkata mangsa berasal dari Perak mendakwa dibawa ke premis itu oleh dua lelaki yang baru dikenali sebulan lepas dari rumah sewanya di Rembia, Alor Gajah dengan menaiki kereta sebelum dirogol tiga lelaki lain kira-kira 10 malam tadi.

MAYAT BAYI DITEMUI DI TAPAK PELUPUSAN SAMPAH DI TAWAU

Gambar hiasan
Tawau, 8 Julai - Mayat seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui di kawasan tapak pelupusan sampah Bukit Gemuk, Jalan Bombalai di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah berkata mayat ditemui kira-kira pukul 11.40 pagi oleh seorang pekerja di tapak pelupusan sampah berkenaan.

SCAM ALERT : KAD KREDIT


Siapa sangka kegembiraan bercuti di hotel boleh bertukar musibah apabila anda mungkin kehilangan wang hanya dengan menerima satu panggilan telefon yang didalangi oleh sindiket penipuan.

Kebelakangan ini, terdapat satu sindiket penipuan licik yang memperdaya penginap hotel dengan membuat panggilan ke bilik hotel secara rambang bagi mendapatkan maklumat kad kredit mereka.

Modus operandi yang digunakan:

1. Mangsa menginap di sebuah hotel dan telah membuat pembayaran menggunakan kad kredit.

2. Ahli sindiket akan membuat panggilan ke hotel tersebut sebelum meminta disambungkan ke mana-mana bilik secara rambang.

3. Semasa berada dalam bilik, mangsa menerima panggilan telefon yang kononnya daripada “front desk” hotel, berkenaan masalah pengesahan kad kredit.

4. Ahli sindiket akan memperdaya memastikan mangsa untk percaya panggilan tersebut adalah daripada “front desk” hotel dengan gaya percakapan yang profesional.

5. Mangsa diminta membacakan semula nombor kad kredit dan membuat pengesahan tiga digit nombor di belakang kad kredit yang telah digunakan.

6. Mangsa yang percaya akan memberikan semua maklumat kewangan yang diminta oleh ahli sindiket.

Nasihat polis:

1. Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada sekiranya menerima apa-apa panggilan yang meminta maklumat kewangan terutamanya maklumat kad kredit.

2. Ambil sedikit masa untuk bertanyakan beberapa soalan kepada pemanggil dan rujuk kepada orang ketiga (ahli keluarga/rakan) sebelum memberikan sebarang maklumat atau respon.

3. Dinasihatkan urusan pengesahan kad kredit hanya dibuat secara bersemuka di kaunter.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...