Khamis, 24 Mac 2011

Penjenayah tegar tumpas

KOTA TINGGI – Pihak polis berjaya menahan seorang lelaki di Simpang Waha, di sini, semalam dan dipercayai terlibat dalam pelbagai kes jenayah termasuk samun dan dadah. 

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot berkata, sepasukan enam anggota polis diketuai Inspektor Khairul Anuar Muhammad Radzi membuat rondaan di kampung berkenaan telah melihat sebuah kereta bercermin gelap terbabas di bahagian kiri jalan dengan bahagian :hadapan kenderaan itu tergantung di tebing jalan. 

Menurutnya, semasa polis menghampiri dan memperkenalkan diri, pemandu itu cuba mengundurkan kereta dan tindakan itu menyebabkan polis terpaksa memecahkan cermin kereta itu untuk menahan pemandu berkenaan. 

Hanya 1 peratus maklumat

IPOH – Polis Perak hanya memperolehi maklumat 1 peratus berhubung kejadian jenayah walaupun jumlah ahli Rakan Cop di Perak adalah yang tertinggi di Malaysia. 

Ketua Polis Perak, Mohd Shukri Dahalan menggesa ahli Rakan Cop tampil memberi maklumat supaya kes dapat diselesaikan segera. 

Menurutnya, kebanyakan ahli yang mendaftar hanya menghantar aduan berkaitan kepentingan dan keselesaan masing-masing. 

Geng samun pasar mini tumpas

PETALING JAYA – Enam individu termasuk seorang wanita berusia 31 yang terlibat dalam 29 kes samun pasar mini di sekitar Petaling Jaya berjaya diberkas polis. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, suspek pertama berjaya diberkas orang ramai sejam selepas dia menyamun sebuah pasar raya di Bandar Baru Sungai Buloh pada 15 Mac lalu. 

Menurutnya, suspek pertama itu diberkas oleh saksi kejadian yang mengecam wajah suspek ketika sedang minum di sebuah restoran di kawasan sama. 

“Susulan daripada penangkapan itu polis melancarkan gerakan memburu ke semua suspek terlibat dan berjaya menangkap lima lagi suspek di sekitar Lembah Klang,” katanya kepada pemberita pada sidang media, semalam. 

Kuarters kerajaan sarang judi

SUNGAI MANGGIS- Kuarters kerajaan di Pekan Sungai Manggis kini menjadi tumpuan kaki judi dan penagih minuman keras walaupun kedudukan kuarters ini hanya satu kilometer dari beberapa pejabat kerajaan. 

Seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Hamri Ahmad mendakwa, aktiviti perjudian di kawasan tersebut sudah lama beroperasi dan beliau sendiri telah beberapa kali menghubungi polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) namun tiada sebarang tindakan diambil. 

Menurutnya, aktiviti ini berlarutan dari pagi hingga ke malam malah sering kali berlaku pertengkaran dan perbalahan dalam kalangan pemain judi berkenaan. 

Lelaki terlepas hukuman sebat

KUANTAN - Seorang pembantu kedai makan yang mengaku salah dalam Mahkamah Sesyen Kuantan semalam terhadap tuduhan merogol seorang gadis bawah umur terlepas hukuman sebatan sebaliknya dia hanya dihukum penjara tiga tahun bermula dari tarikh ditangkap, 20 Januari lalu. 

Tertuduh, Mohd Kamaruzaman Ab Hamed, 19 dari Kampung Belukar Baru, Batu 3, Jalan Gambang dekat sini bagaimanapun diperintahkan menjalani program pemulihan sepanjang hukuman berjalan. 

Dia juga diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun sebaik sahaja selesai menjalani hukuman penjara. 

Hukuman itu diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen Kuantan, Fathiyah Idris selepas beliau meneliti fakta kes dan menyabitkan tertuduh atas tuduhan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan itu. 

Dalam hujah ringkasnya, Fathiyah berkata, tertuduh disabitkan bersalah atas tuduhan merogol gadis yang berusia 15 tahun 5 bulan itu bagaimanapun kejadian berlaku tanpa sebarang unsur paksaan. 

Wanita hamil dipenjara 5 tahun

KAMPUNG RAJA - Seorang wanita hamil empat bulan menangis teresak-esak di Mahkamah Majistret di sini selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana memiliki 1,190 biji dadah jenis Methamphetamine seberat 18.09 gram kira-kira empat tahun lalu. 

Tertuduh, Zamrah Ariffin, 39, dari Tanah Merah, Kelantan kelihatan terkejut dan menangis selepas Majistret Ahmad ‘Adha’ Amer Yasser membacakan hukuman itu. 

Mahkamah memerin-tahkan wanita itu menjalani hukuman berkuat kuasa dari tarikh sabitan terhadapnya. 

Wanita yang hadir ke mahkamah ditemani suami dan seorang anak lelakinya didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah restoran di Jertih, di sini kira-kira jam 7.45 malam pada 30 Julai 2007. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39 A (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sekurang-kurangnya tiga kali, tetapi tidak lebih sembilan kali sebatan. 

Set karaoke dirampas

KOTA BHARU - Polis menahan lapan lelaki dalam tiga serbuan di kawasan Ketereh, Jalan Bayam dan Kubang Kerian, dekat sini, kelmarin. 

Enam daripada lelaki terbabit yang berusia 30 hingga 47 tahun dibebaskan selepas polis mengambil keterangan daripada mereka sebaik ditahan ketika berada di pusat karaoke kira-kira jam 11.30 malam. 

Dua lagi lelaki yang berusia 23 dan 29 tahun itu ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes pecah kereta dan pecah rumah di sekitar Kota Bharu. 

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, dalam serbuan di pusat karaoke haram itu, polis turut menahan enam lelaki termasuk pemilik pusat berkenaan yang berusia 47 tahun. 

Hari Polis Boleh Diadakan Di Pulapol - Liow

PUTRAJAYA, 23 Mac (Bernama)-- Kementerian Kesihatan memberikan kebenaran bagi Sambutan Hari Polis ke-204 pada Jumaat ini diadakan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak di sini berikutan situasi wabak virus Adeno disahkan dalam keadaan terkawal.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata keadaan di Pulapol sudah pulih seperti sediakala berikutan tiada kes baru yang dimasukkan ke wad.

Polis Tahan 35 Orang Dan Rampas 136 Mesin Judi Haram Di Sandakan

SANDAKAN, 23 Mac (Bernama) -- Polis menahan 35 orang dan merampas 136 buah mesin judi haram dalam serbuan terhadap enam premis di sini pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Supt Fadzil Mohd Ali berkata enam premis itu diserbu dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 5.15 petang di lima tempat iaitu Bandar Siang Garden, Bandar Ramai-Ramai, Taman Megah, Bandar Labuk Jaya dan Bandar Sibuga Jaya.

Polis Berkas Empat Lelaki, Rampas Dadah RM34,600

PETALING JAYA, 23 Mac (Bernama) -- Polis memberkas empat lelaki termasuk dua beradik dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM34,600 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Ria dekat sini Selasa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata keempat-empat lelaki berumur di antara 19 dan 33 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak 2008.

Kejayaan itu adalah hasil risikan polis hampir setahun sebelum polis menyerbu kediaman itu pada pukul 1 petang, katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Video: Hishammuddin Akan Saman Anwar Jika Terus Kaitkan Beliau Dan Polis Terlibat

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim jika terus mengaitkan beliau dan polis dalam video seks yang ditayangkan kepada wartawan di Carcosa Seri Negara, dua hari lepas.

Beliau berkata dakwaan Anwar bahawa polis dan beliau adalah dalang di sebalik penayangan video yang membabitkan seorang pemimpin utama pembangkang tersebut telah menjatuhkan maruah dan nama baik polis.

Sindiket Dadah Antarabangsa Edar Dadah Di Lembah Klang Tumpas

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Satu sindiket dadah antarabangsa yang melibatkan sembilan lelaki Iran dan seorang wanita Thailand tumpas apabila polis menahan mereka dan merampas dadah jenis Syabu bernilai bernilai RM2.2 juta, Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Kang Chez Kiang berkata kesemua mereka ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi, antaranya Jalan Putra Mas, Jalan Tun Razak dan Jalan Bukit Bintang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...