Khamis, 24 Mac 2011

Kuarters kerajaan sarang judi

SUNGAI MANGGIS- Kuarters kerajaan di Pekan Sungai Manggis kini menjadi tumpuan kaki judi dan penagih minuman keras walaupun kedudukan kuarters ini hanya satu kilometer dari beberapa pejabat kerajaan. 

Seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Hamri Ahmad mendakwa, aktiviti perjudian di kawasan tersebut sudah lama beroperasi dan beliau sendiri telah beberapa kali menghubungi polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) namun tiada sebarang tindakan diambil. 

Menurutnya, aktiviti ini berlarutan dari pagi hingga ke malam malah sering kali berlaku pertengkaran dan perbalahan dalam kalangan pemain judi berkenaan. 
“Saya pernah menegur pemain judi tersebut namun aktiviti berkenaan masih berjalan hingga kini walaupun mereka pernah berhenti sekejap. 

“Dalam pada itu, seharusnya PBT perlu memantau keadaan kuarters berkenaan selain mencari jalan mengelakkan kawasan tersebut daripada terus menjadi tumpuan kaki judi”, katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semalam. 

Seorang remaja, Mohd Fadhil Ahmad, 23, berkata beliau mengakui kawasan kuarters itu merupakan kawasan yang agak lama selain tidak di selenggara dengan betul dan diabaikan. 

Menurutnya, beberapa buah rumah kerajaan telah diceroboh oleh pencuri bahan lusuh dan penagih dadah sedangkan kawasan berkenaan masih mempunyai penduduk dalam kalangan pelbagai bangsa. 

“Saya sendiri bimbang dengan situasi ini dan tidak berani membiarkan rumah kosong tanpa penghuni terutama apabila melihat sendiri sekumpulan lelaki berkumpul di kawasan sunyi dan gelap itu. 

“Difahamkan, masih terdapat pekerja-pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) yang tinggal tetapi tiada sebarang tindakan diambil bagi menangani masalah berkenaan”, katanya. 

Dalam pada itu, Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan di kawasan berkenaan dan turut mendapat laporan mengenai isu tersebut.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...