Khamis, 24 Mac 2011

Lelaki terlepas hukuman sebat

KUANTAN - Seorang pembantu kedai makan yang mengaku salah dalam Mahkamah Sesyen Kuantan semalam terhadap tuduhan merogol seorang gadis bawah umur terlepas hukuman sebatan sebaliknya dia hanya dihukum penjara tiga tahun bermula dari tarikh ditangkap, 20 Januari lalu. 

Tertuduh, Mohd Kamaruzaman Ab Hamed, 19 dari Kampung Belukar Baru, Batu 3, Jalan Gambang dekat sini bagaimanapun diperintahkan menjalani program pemulihan sepanjang hukuman berjalan. 

Dia juga diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun sebaik sahaja selesai menjalani hukuman penjara. 

Hukuman itu diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen Kuantan, Fathiyah Idris selepas beliau meneliti fakta kes dan menyabitkan tertuduh atas tuduhan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan itu. 

Dalam hujah ringkasnya, Fathiyah berkata, tertuduh disabitkan bersalah atas tuduhan merogol gadis yang berusia 15 tahun 5 bulan itu bagaimanapun kejadian berlaku tanpa sebarang unsur paksaan. 
Tertuduh yang didakwa merogol gadis terbabit dalam sebuah rumah di Batu 6, Jalan Pekan dekat Kampung Gudang Rasau di sini kira-kira jam 4 pagi, 11 Januari lalu sebelum itu merayu melalui peguamnya, Rizal Chek Hasyim supaya hukuman sebatan diketepikan dan mohon hukuman penjara paling minimum. 

Dalam rayuan itu, Rizal berkata, tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang. 

Tertuduh yang tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau memohon supaya mahkamah memberi peluang kepadanya untuk memperbaiki diri memandangkan dia masih muda. 

Timbalan Pendakwa Raya, Hidayatul Syuhada Shamsuddin bagaimanapun memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat dan berbentuk pengajaran terhadap tertuduh. 

Beliau berkata, kes rogol melibatkan mangsa bawah umur kerap berlaku selain perlu mengambil kira kepentingan awam. 

Berdasarkan fakta kes, mangsa kes ini dilaporkan menghilangkan diri selama tiga hari sehingga menimbulkan kebimbangan ahli keluarga. 

Usaha mencari gadis itu menemui jalan buntu sehinggalah dia pulang ke rumah dalam keadaan selamat. 

Berdasarkan cerita rakan kepada keluarga, gadis itu menghilangkan diri kerana mengikut seorang lelaki bernama ‘Kamal’. 

Berdasarkan maklumat itu, keluarga mangsa mencari “Kamal’ dan menemuinya ketika berada di hadapan sebuah kedai di Batu 6 dekat sini. 

Ketika itu Kamal atau tertuduh itu mengaku mengadakan hubungan seks dengan mangsa dan kejadian disahkan sendiri gadis terbabit.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...