Khamis, 24 Mac 2011

Polis Berkas Empat Lelaki, Rampas Dadah RM34,600

PETALING JAYA, 23 Mac (Bernama) -- Polis memberkas empat lelaki termasuk dua beradik dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM34,600 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Ria dekat sini Selasa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata keempat-empat lelaki berumur di antara 19 dan 33 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak 2008.

Kejayaan itu adalah hasil risikan polis hampir setahun sebelum polis menyerbu kediaman itu pada pukul 1 petang, katanya kepada pemberita di sini Rabu.
Beliau berkata semasa menggeledah tempat itu, polis menemui dadah jenis ganja seberat 2,980 gram, heroin (502 gram), syabu (66 gram) dan 80 biji pil eramin 5.

"Dadah itu dibekalkan untuk pasaran di Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka. Dadah ini juga telah siap dibungkus dalam paket plastik lutsinar sebelum diserah kepada 'runner' untuk diedar ke negeri-negeri terbabit," katanya.

Arjunaidi berkata siasatan awal mendapati seorang daripada lelaki yang ditahan itu, iaitu yang berumur 33 tahun mempunyai 12 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan samun.

"Suspek itu juga merupakan abang kepada suspek berumur 19 tahun dan keempat-empat mereka turut dikesan positif dadah," katanya.

Kesemua lelaki terbabit kini direman sehingga Isnin depan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...