Khamis, 24 Mac 2011

Set karaoke dirampas

KOTA BHARU - Polis menahan lapan lelaki dalam tiga serbuan di kawasan Ketereh, Jalan Bayam dan Kubang Kerian, dekat sini, kelmarin. 

Enam daripada lelaki terbabit yang berusia 30 hingga 47 tahun dibebaskan selepas polis mengambil keterangan daripada mereka sebaik ditahan ketika berada di pusat karaoke kira-kira jam 11.30 malam. 

Dua lagi lelaki yang berusia 23 dan 29 tahun itu ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes pecah kereta dan pecah rumah di sekitar Kota Bharu. 

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, dalam serbuan di pusat karaoke haram itu, polis turut menahan enam lelaki termasuk pemilik pusat berkenaan yang berusia 47 tahun. 
Bagaimanapun, katanya, selepas keterangan diambil, enam lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan polis. 

Beliau berkata, dalam serbuan berkenaan juga, pasukannya telah merampas satu set peralatan karaoke yang dianggarkan bernilai RM15,000. 

Katanya, siasatan mendapati, pusat karaoke berkenaan beroperasi secara haram sejak setahun lalu. 

Menurutnya, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 61 Enakmen Kawalan Hiburan dan tempat-tempat Hiburan Negeri Kelantan 1998. 

Dalam serbuan lain di sebuah rumah di Jalan Bayam pula, polis menahan seorang lelaki berusia 23 tahun, kira-kira jam 6 pagi kerana disyaki terlibat dengan 15 kes pecah kereta. 

Azham berkata, lelaki terbabit yang tidak bekerja membuat pengakuan memecah 15 kereta dan melarikan empat set komputer riba yang dianggarkan bernilai RM5,000. 

Katanya, lelaki terbabit menjalankan kegiatan itu bersama seorang lagi rakannya dan kebanyakannya dilakukan di sekitar Kota Bharu khususnya di pasar raya. 

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, komputer riba dicuri dari dalam kereta terbabit telah dijual dengan harga antara RM300 hingga RM1,000 sebuah. 

Beliau berkata, dengan tertangkapnya lelaki terbabit, polis berjaya menyelesaikan 15 kes pecah kereta.

Katanya, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun dan denda. 

Dalam serbuan di sebuah rumah di Kubang Kerian, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pecah rumah di Kubang Kerian. 

Beliau berkata, lelaki terbabit ditahan oleh sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu selepas menerima laporan daripada mangsa. 

Katanya, dalam serbuan di rumah lelaki terbabit, polis turut merampas pemutar skru, besi pencungkil dan jet yang dipercayai digunakan untuk mengumpil rumah mangsa. 

Beliau berkata, lelaki terbabit kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Sesyen 457 Kanun Keseksaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...