Khamis, 24 Mac 2011

Sindiket Dadah Antarabangsa Edar Dadah Di Lembah Klang Tumpas

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Satu sindiket dadah antarabangsa yang melibatkan sembilan lelaki Iran dan seorang wanita Thailand tumpas apabila polis menahan mereka dan merampas dadah jenis Syabu bernilai bernilai RM2.2 juta, Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Kang Chez Kiang berkata kesemua mereka ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi, antaranya Jalan Putra Mas, Jalan Tun Razak dan Jalan Bukit Bintang.
Sindiket itu dipercayai bergiat aktif di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lepas.

"Mereka yang ditahan berumur dalam lingkungan 18 hingga 35 tahun dan polis merampas sejumlah 11.5 kilogram dadah jenis Syabu yang jika dijual di pasaran nilainya boleh mencecah RM3.5 juta," katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata polis turut merampas tiga kereta dan wang tunai berjumlah RM25,000.

Kang berkata sindiket dadah itu dipercayai memperoleh dadah dari luar negara dan mereka kerap menyewa kediaman dan kondo mewah untuk dijadikan pusat kegiatan mereka.

Beliau berkata kesemua mereka kini direman selama tujuh hari mulai 21 Mac dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...