Jumaat, 20 Jun 2014

24 anggota polis terlibat penyalahgunaan dadah


IPOH 20 Jun - Sebanyak 24 anggota polis berpangkat rendah terlibat dalam penyalahgunaan dadah bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini di negeri ini, kata Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

"Mereka akan dikenakan tindakan sama seperti orang awam yang mengikut (hukuman) Akta Dadah Berbahaya, mahkamah mengenakan hukuman dan seterusnya (jika disabitkan) dibuang kerja," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan dan penyematan pangkat ASP di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) di sini hari ini.

Sebanyak 51 pegawai termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berpangkat Inspektor dinaikkan pangkat kepada ASP secara Khas Untuk Penyandang (KUP).

Beliau berkata penglibatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan dadah amat mengecewakan kerana sebagai penguatkuasa undang-undang tidak sepatutnya merela terlibat walaupun wujud tekanan dalam tugasan harian. - BERNAMA

PDRM Dilengkapi Sistem Kesan Jenayah Siber


GEORGE TOWN – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bakal dilengkapi dengan Sistem Penyiasatan dan Respon Jenayah Siber dalam tempoh terdekat ini bagi menangani jenayah siber yang semakin berleluasa.
Pengarah Jabatan Logistik PDRM Datuk Zulkifli Abdullah berkata aplikasi bernilai RM23 juta itu mampu membantu polis memantau aktiviti jenayah siber.
“Polis menyedari ancaman dunia siber sekarang ini dan berikutan itu, satu sistem dibangunkan bagi menanganinya. Sistem itu telah siap sepenuhnya dan dijangka dapat digunakan dalam tempoh terdekat…mungkin paling lewat hujung Julai.
“Sistem itu berpusat di Bukit Aman tetapi semua negeri boleh menggunakannya. Ia akan membantu polis memantau dan mengesan jenayah siber dengan lebih mudah,” katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang.

PERKETAT KAWALAN DI SEMPADAN ELAK AKTIVITI SELUDUP MERCUN


Alor Setar, 19 Jun - Polis Kedah akan mempertingkatkan kawalan di kawasan sempadan negeri ini bagi membendung aktiviti penyeludupan mercun terutamanya ketika menjelang Ramadan dan Syawal.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata kawalan ketat telah dilakukan di pintu sempadan selain penambahan bilangan anggota polis kerana aktiviti penyeludupan mercun ini lazimnya meningkat menjelang pertengahan Ramadan.


"Perkara ini memang sudah biasa berlaku. Kita sedia tahu kawasan sempadan luas bermula dari Kelantan hingga ke Perlis dan Kedah pula bersempadan dengan negara Thailand jadi mereka akan cuba membawa masuk dan keluar barang haram seperti mercun.

"Kita akan bekerjasama dengan semua agensi kerajaan berkaitan bagi membanteras sebarang jenayah daripada berlaku di sekitar pintu sempadan.

Tukar Ketua Pengarah Elak ESSCom Dilabel Sebagai Tempang


KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Yayasan Kebajikan Sosial merayu kepada kerajaan supaya melakukan perubahan dalam struktur Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) selepas gagal berfungsi seperti diharapkan.

Pengerusinya Tan Sri Robert Phang berkata kerajaan perlu mengkaji struktur sebenar dan pencapaian ESSCom untuk mengelakkannya dilabel sebagai "tempang" oleh rakyat.

"Sejak ESSCom ditubuhkan sehingga hari ini, ia tidak dapat berfungsi dengan berkesan. Ia menimbulkan persoalan tentang tujuan sebenar mempunyai ESSCom.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...