Jumaat, 20 Jun 2014

PDRM Dilengkapi Sistem Kesan Jenayah Siber


GEORGE TOWN – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bakal dilengkapi dengan Sistem Penyiasatan dan Respon Jenayah Siber dalam tempoh terdekat ini bagi menangani jenayah siber yang semakin berleluasa.
Pengarah Jabatan Logistik PDRM Datuk Zulkifli Abdullah berkata aplikasi bernilai RM23 juta itu mampu membantu polis memantau aktiviti jenayah siber.
“Polis menyedari ancaman dunia siber sekarang ini dan berikutan itu, satu sistem dibangunkan bagi menanganinya. Sistem itu telah siap sepenuhnya dan dijangka dapat digunakan dalam tempoh terdekat…mungkin paling lewat hujung Julai.
“Sistem itu berpusat di Bukit Aman tetapi semua negeri boleh menggunakannya. Ia akan membantu polis memantau dan mengesan jenayah siber dengan lebih mudah,” katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang.
Sementara itu, Zulkifli berkata pihaknya sedang berusaha mendapatkan peruntukan tambahan sebanyak RM70 juta daripada kerajaan untuk memperluas Sistem Identifikasi Balistik (Ibis) ke seluruh negara bagi memerangi kumpulan penjenayah bersenjata api dan ganas.
Beliau berkata menerusi Ibis, pasukan polis forensik mampu mengenal pasti kumpulan penjenayah bersenjata api berdasarkan jenis senjata api dan peluru yang digunakan.
“Setakat ini, Pulau Pinang, Johor dan Sabah serta Bukit Aman menggunakan Ibis yang bernilai RM32.9 juta,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata kerajaan membelanjakan RM980 juta untuk melengkapkan PDRM dengan Digital Trunk Radio (RMPNET) yang memberi liputan ke seluruh negara.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...