Rabu, 9 Julai 2014

Datuk Abdul Rashid Dilantik Pengarah Operasi Esscom

KOTA KINABALU - Pengarah Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Abdul Rashid Harun dilantik sebagai Pengarah Operasi Esscom berkuatkuasa serta merta.
Pelantikan secara dalaman itu diumumkan Ketua Pengarah Esscom Datuk Mohammad Mentek. 
Beliau berkata, tempoh pelantikan itu adalah selama enam bulan dan ia dilaksanakan secara bergilir-gilir.   
"Selepas tempoh tersebut, jawatan ini akan diambil alih Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya kepada pemberita selepas majlis pertemuan dan dialog Esscom bersama komuniti Kadazandusun Murut di Wisma Dang Bandang di sini hari ini.  
Beliau berkata, pelantikan itu bertujuan bagi memantapkan operasi penguatkuasaan membanteras jenayah rentas sempadan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) selain meningkatkan koordinasi, komunikasi, kolaborasi antara tiga komponen penguat kuasa Esscom iaitu ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Mohammed berkata fungsi pengarah operasi ialah untuk merancang dan melaksana semua operasi penguatkuasaan di kawasan Esszone selain memantapkan lagi operasi pertahanan dan keselamatan di Esszone terutama dalam aspek arahan.
Esscom ditubuhkan pada 1 April tahun lepas susulan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu awal Februari tahun yang sama yang dipertanggungjawab untuk menyelaras operasi pelbagai agensi pertahanan dan keselamatan termasuk ATM, PDRM dan APMM dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah khusus di Esszone.
Esszone merangkumi 10 daerah sepanjang 1,733.7 kilometer meliputi Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...