Khamis, 10 Julai 2014

Pasangan warga emas rugi RM16,000 setelah rumah dipecah masuk

BESUT - Sepasang suami isteri warga emas kerugian kira-kira RM16,000 setelah barangan kemas milik mereka dicuri dalam kejadian pecah rumah di Kampung Seberang Limbongan dekat Kampung Raja, di sini, hari ini.
Ketika kejadian sekitar pukul 5 hingga 6.15 pagi itu, mangsa Zakaria Samad, 74, dan isterinya Rokiah Said, 69, telah pergi bersolat Subuh di Masjid Kampung Pengkalan Nyireh kira-kira 500 meter dari rumahnya.
Menurut Rokiah, mereka mengesyaki rumah telah dimasuki orang kerana mendapati pintu hadapan rumahnya terbuka selain melihat kesan umpilan pada tepi pintu ketika pulang dari masjid pada pukul 6.15 pagi itu.
"Sebaik masuk ke dalam rumah, kami dapati empat bilik tidur telah digeledah manakala keadaan pakaian berselerak dipercayai dilakukan pencuri kerana mencari barang berharga,” katanya kepada Bernama di sini.
Menurutnya, pencuri itu telah melarikan seutas gelang dan rantai emas, tiga bentuk cincin dan sejumlah wang syiling.
Susulan itu satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kampung Raja.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...