Isnin, 22 April 2013

#PRU13 #GE13: POLIS AKAN AMBIL TINDAKAN JIKA BERCERAMAH TANPA PERMIT


Kuala Lumpur, 22 April - Polis mengesan ada calon pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini mengadakan ceramah tanpa mendapatkan permit daripada ibu pejabat polis daerah di kawasan masing-masing.


Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata perbuatan itu melanggar undang-undang dan boleh dikenakan tindakan.

"Kita nasihatkan mereka agar mengambil permit dah ulu sebelum melakukan apa-apa aktiviti bagi mengelakkan tindakan undang-undang," katanya pada taklimat media PRU13, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Ismail berkata polis juga tidak menggalakkan calon daripada parti berbeza mengadakan ceramah secara serentak di lokasi berdekatan kerana boleh mencetuskan kekecohan.


"Penyokong parti jangan terlampau ghairah terhadap ceramah yang diberikan calon sehingga menggugat keselamatan awam...Kalau boleh biarlah berjauhan ceramah yang dibuat," katanya menambah polis akan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Saya juga meminta orang ramai jangan bertindak sesuka hati mengambil alih tugas polis. Ini tidak perlu kerana polis merupakan agensi profesional yang melaksanakan amanah dan mengikut perlembagaan serta akta polis," kata Ismail.

Sementara itu, Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata sebanyak 1,831 aktiviti membabitkan PRU13 berlangsung di seluruh negara semalam iaitu 458 ceramah, perjumpaan dan mesyuarat (447), kunjungan rumah ke rumah (139), kempen (258) dan lain-lain sebanyak (529).

Jumlah laporan polis yang terkumpul setakat semalam adalah 145 laporan dan sebanyak empat tangkapan dibuat semalam di Kelantan melibatkan kesalahan pilihan raya, katanya. BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...