Selasa, 23 April 2013

Dua pelajar IPT ditahan menyamar pemantau pilihan raya



Dua pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) swasta di negeri ini ditahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana menyamar sebagai pemantau pilihan raya semasa proses penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh semalam.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bagi Pilihan Raya Umum (PRU-13), Supritendan Che Mahazan Che Aik berkata, dua pelajar berusia 23 dan 26 tahun tersebut ditahan semasa cuba memasuki pusat penamaan calon menggunakan pas palsu.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 24A(2) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang melarang pihak yang tidak berkenaan berada dalam jarak 50 meter dari sempadan mana-mana tempat penamaan calon.

Sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya.

"Mereka memakai baju T bertulis perkataan pemantau pilihan raya dan pas pemantau tetapi apabila disemak mereka bukanlah seperti yang dikatakan.

"Kedua-duanya ditahan semasa cuba masuk ke pusat pencalonan dan telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka dirakam," katanya kepada pemberita semasa menyampaikan taklimat harian di Pusat Media IPK Kelantan di sini hari ini.

Sementara itu, Che Mahazan memberitahu, pihaknya juga telah merampas sebuah kapal terbang kawalan jauh yang digunakan seorang lelaki berusia 37 tahun untuk mengibarkan bendera sebuah parti politik di hadapan pusat penamaan calon yang sama.


Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, polis turut menerima laporan mengenai ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan membabitkan dua individu di Selising, Pasir Puteh, petang semalam yang bermula dengan insiden 'tegur-menegur'. - UTUSAN ONLINE

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...