Isnin, 29 April 2013

TLDM akan saman pihak yang terus politikkan isu Scorpene

Panglima TLDM
Panglima TLDM (dua, kiri) beramah mesra dengan veteran tentera pada
Majlis Pemakaian Pingat Jasa Malaysia Kepada Veteran Tentera Malaysia di Pengkalan TLDM di Lumut, hari ini

LUMUT -  Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terus memfitnah dan mempolitik isu kapal selam Scorpene, terutama ketika berkempen.

Panglima Tentera Laut Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata pihaknya mendapat maklumat ada beberapa calon pilihan raya yang berterusan mempertikai pembelian kapal selam terbabit selain mendakwa aset berkenaan tidak berfungsi.

"...saya dengar banyak cerita dan saya sedang mengumpul bukti.. saya cabar mereka untuk menzahirkan kenyataan itu secara bertulis jika mereka berani.

"Kemudian bersedialah untuk berhadapan dengan saman fitnah... kita sudah berlembut sangat dengan mereka sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan warga TLDM di Pangkalan TLDM Lumut, di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua inventori, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak itu berada dalam keadaan terbaik malah telah menyelam ke dalaman maksimum dan penembakan di dalam air yang menepati sasaran sejauh 55km.

"Saya telah berlayar tiga kali... ianya berjalan lancar malah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sendiri sudah belayar dan beliau sendiri mengakui keupayaan kapal selam tersebut dan berbangga dengan keupayaannya," katanya.

Beliau berkata negara luar mengiktiraf dan memandang tinggi keupayaan serta kecekapan anggota dalam pengoperasian dua kapal selam berkenaan.

Mengenai dakwaan calon pilihan raya Laksamana Pertama (B) Datuk Abdul Imran Abd Hamid dihalang berkempen di Pangkalan Lumut, beliau berkata dasar TLDM tidak membenarkan ceramah atau kempen politik dalam kawasan berkenaan.

"Bekas Perdana Menteri Tun Mahathir dibenar masuk kerana beliau tidak bercakap mengenai politik, beliau ke sini untuk bercakap tentang perpaduan manakala Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula ke sini atas kapasiti sebagai Menteri Pertahanan," katanya.

Menurutnya dasar itu bagi mengelakkan berlaku pecah belah dalam kalangan warga TLDM.

Sementara itu, beliau berkata jumlah pengundi tentera dan pasangan yang berdaftar di Lumut adalah sebanyak 14,231 orang dan 12,766 daripada mereka akan mengundi awal di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkalan TLDM Lumut.

Katanya TLDM juga telah mempertingkatkan penguatkuasaan di perairan Sabah dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Darat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia sepanjang musim pilihan raya bagi memastikan keselamatan masyarakat dan negara terjamin. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...