Khamis, 25 April 2013

Rumah dipecah masuk ketika kemas kini data undi pos PRU13


Sakinah
MARANG – Seorang pembantu am di Pejabat Daerah dan Tanah di sini, kerugian kira-kira RM40,000 selepas rumahnya dipecah masuk ketika menjalankan tugas mengemas kini data undi pos Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), malam kelmarin.

Mangsa, Sakinah Othman, 37, yang keluar dari rumah kira-kira jam 8 malam berkata, kejadian itu bagaimanapun hanya disedari olehnya dan suami, Mohd Rafi Kassim sebaik sahaja tiba di rumah, kira-kira jam 11.30 malam.

Menurut Mohd Rafi, dia keluar dari rumah di Kampung Bukit Rhu Rendang untuk menghantar isterinya ke Pejabat Daerah dan Tanah Marang sebelum ke rumah mentua di Kampung Bukit Gasing sambil menunggu isterinya pulang.

“Apabila isteri selesai menjalankan tugasnya, saya menjemputnya untuk pulang bersama ke rumah kami di Kampung Bukit Rhu Rendang.

"Bagaimanapun, sebaik tiba di rumah, kami terkejut mendapati bilik tidur utama digeledah dan selepas membuat pemeriksaan, didapati barang kemas lesap dilarikan pencuri," katanya.

Mohd Rafi
Mohd Rafi berkata, pencuri terbabit mengumpil tingkap di bahagian bilik tidur utama sebelum berjaya memasuki rumah dan melarikan barang kemas berupa seutas rantai tangan, dua utas rantai leher dan tujuh bentuk cincin.

Menurutnya, turut dilarikan sebuah komputer riba, jam tangan dan dokumen penting seperti kad bank dan kad pengenalan termasuk tunai RM2,000.

"Jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM40,000 dan laporan polis dibuat di Balai Polis Marang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...