Memaparkan catatan dengan label Kuala Terengganu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kuala Terengganu. Papar semua catatan

Jumaat, 11 Julai 2014

KEGIATAN ALONG MEREBAK DI TERENGGANU ???


KUALA TERENGGANU - Walaupun sudah melangsaikan hutangnya daripada individu dipercayai ah long, seorang peniaga masih dikejar dan diburu seolah-olah mangsa masih berhutang dengan pemberi pinjaman wang tersebut.

Difahamkan, wanita berusia 37 tahun dari Kampung Wakaf Mempelam, di sini, itu kini hidup dalam ketakutan akibat masih diugut oleh individu tersebut bersama konconya yang kononnya menuntut baki hutang sebanyak RM600.

Menurut sumber, dalam kejadian Isnin lalu, kira-kira jam 10 pagi, mangsa berada di kedainya di Kampung Wakaf Mempelam, di sini, sebelum didatangi tiga lelaki yang salah seorang daripadanya dikenal dengan nama Along.

Selasa, 29 Mac 2011

Dibelasah kerana awek

KUALA TERENGGANU - Malang bagi seorang buruh apabila kepalanya dihentak dengan parang dan dipukul oleh sekumpulan individu yang tidak dikenali dalam satu kejadian di Flat Sri Kolam, Bandar Kuala Terengganu, malam Jumaat lalu. 

Bagaimanapun, mangsa yang berusia 29 tahun itu bernasib baik kerana memakai topi keledar dan hanya mengalami kecederaan pada muka serta menerima beberapa jahitan akibat kejadian itu. 

Situasi mencemaskan itu dikatakan berlaku apabila mangsa menafikan dia mempunyai hubungan dan melarikan seorang gadis, dipercayai adik salah seorang lelaki yang menyerangnya, selepas ditanya kumpulan lelaki terbabit. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan (gambar) berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 10 malam, sebelum bergegas ke tempat kejadian. 

Pesalah Tegar Dipenjara 18 Tahun Kerana Miliki Dadah

KUALA TERENGGANU, 28 Mac (Bernama) -- Walaupun telah menghabiskan lebih separuh daripada usianya meringkuk dalam penjara dan dikenakan 16 sebatan namum seorang lelaki tidak pernah serik mengulangi kesalahan membabitkan dadah.

Di Mahkamah Seksyen di sini Isnin, seorang bekas banduan dijatuhi hukuman penjara 18 tahun selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki dan mengawal dadah jenis heroin, pada 13 Jan lepas.

Abdul Jalal Daud, 56, dari Kampung Alor Peroi, Kuala Besut, dikenakan hukuman penjara 18 tahun bagi setiap tuduhan memiliki dan mengawal dadah pada dua kejadian berasingan pada hari yang sama.

Isnin, 28 Mac 2011

Rempuh kereta elak dicekup polis

KUALA TERENGGANU - Rahsia tindakan berani seorang pemuda yang cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan raya dengan sanggup melanggar sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan terbongkar setelah polis menjumpai 50 biji pil kuda pada badannya, dalam Operasi Cegah Samseng Jalanan di Jalan Kamaruddin, petang kelmarin. 

Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, pemuda yang berusia 21 tahun itu dikatakan berpatah balik apabila ‘terkejut’ melihat sekatan jalan raya yang diadakan pihak polis. 

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Khazahari Che Mat berkata, dalam usaha melarikan diri, pemuda itu merempuh sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan yang menyebabkan dia terbabas ke bahu jalan. 

Sabtu, 26 Mac 2011

Surau jadi lokasi ponteng

KUALA TERENGGANU - Tiga pelajar perempuan antara 31 pelajar sekolah menengah di daerah Kuala Terengganu Utara yang berjaya ditangkap dalam operasi Gerak Gempur Basmi Ponteng Sekolah yang dijalankan serentak di peringkat negeri di sini, semalam. 

Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Terengganu, Azahar Abu Bakar berkata, majoriti lokasi yang dikesan menjadi tempat pelajar terbabit ponteng sekolah termasuk di surau, rumah kosong, di dalam semak samun berhampiran rumah penduduk setempat dan di sekitar kompleks sukan Gong Badak. 

Kasih anak, sanggup jamin ayah dituduh merogol

KUALA TERENGGANU - Kasih seorang anak! Walaupun masih bergelar penuntut, namun disebabkan tidak sanggup melihat bapa kandung meringkuk di penjara atas tuduhan merogol, seorang anak sanggup menjadi penjamin dengan membayar wang jaminan sejumlah RM10,000 setelah dibenarkan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam. 

Sebelum ini, pada 17 Mac lalu, tertuduh, Mohd Fauzi Anang, 59, dari kampung Wakaf Tengah tidak dibenarkan diikat jamin selepas ahli keluarganya gagal menghadirkan diri semasa pertuduhan dijalankan. 

Jumaat, 25 Mac 2011

Sarang Pelajar Ponteng Di Terengganu Diserbu

KUALA TERENGGANU, 24 Mac (Bernama) -- Pegawai- pegawai Jabatan Pelajaran Terengganu dan beberapa agensi lain hari ini menggempur beberapa kawasan di Kuala Nerus dan Marang yang menjadi tumpuan pelajar ponteng dan menahan 31 pelajar menengah, tiga daripada pelajar perempuan.

Kebanyakan pelajar itu yang menjadikan rumah-rumah kosong dan surau berhampiran sebagai tempat ponteng, bertempiaran lari apabila menyedari kehadiran pegawai-pegawai itu, malah ada yang sanggup bersembunyi dalam paya daripada ditahan.

Jumaat, 18 Mac 2011

13 mekanik terlibat

KUALA TERENGGANU – Seorang anggota polis berpangkat lans koperal adalah antara 13 yang ditahan disyaki terlibat dengan sindiket curi, lerai dan jual komponen kereta yang berleluasa di sekitar daerah ini. 

Anggota berumur 43 tahun yang sepatutnya bertanggungjawab melindungi undang-undang itu, bagaimanapun dikatakan melakukan jenayah terbabit demi kepenti-ngan diri menjadikan hasil curi terbabit sebagai alat ganti kenderaan untuk dijual kepada pelanggan. 

Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Datuk Jamshah Mustapa berkata, anggota tersebut yang berasal dari Kelantan dan turut bekerja sebagai mekanik itu telah dihantar ke Subang Jaya bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang sama di sana. 

Bomoh tidak mengaku salah

KUALA TERENGGANU – Seorang bomoh tidak mengaku bersalah atas tuduhan merogol seorang wanita ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam. 

Tertuduh, Mohd Fauzi Anang, 59, meminta kes tersebut dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamarudin. 

Dalam pertuduhan tersebut, dia dituduh melakukan kesalahan terbabit pada 7 Mac lalu, kira-kira jam 12 tengah malam di rumah bernombor 628, kampung Seberang Tepoh. 

Pengamal perubatan tradisional tersebut didakwa melakukan perkara terbabit ke atas Rozita Jusoh, 29. 

Kes tersebut didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun berserta sebatan. 

Khamis, 17 Mac 2011

Janda muda didenda

KUALA TERENGGANU - Seorang janda muda beranak dua didenda sebanyak RM4,500 setelah didapati bersalah atas dua pertuduhan dadah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam. 

Engku Nor Shahirah Engku Chik Abdullah, 26, yang berasal dari Kampung Panjang, Kuala Terengganu dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah di atas dua pertuduhan terhadapnya. 

Dalam pertuduhan yang dibacakan Inspektor W Ravi, Engku Nor Shahirah telah ditangkap pada 6 September 2009 pada jam 3.30 pagi di sebuah hotel, bersama rakannya, Azihan Mohamad, 38. 

Lima tahun diburu polis

KUALA TERENGGANU - Tindakan seorang juruelektrik yang didakwa menculik seorang kanak-kanak berusia tiga tahun untuk mendapatkan wang tebusan di Kuala Ibai, Kuala Terengganu lima tahun lalu, bakal menyebabkannya dihukum mati jika disabitkan kesalahan. 

Wan Chee How, 30, berasal dari Selangor didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam setelah menjadi buruan polis sejak 2006. 

Bagaimanapun, kecekapan polis telah membawa kepada penangkapannya pada 1 Mac lalu dalam serbuan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Inanam, Kota Kinabalu, Sabah pada jam 7.35 pagi. 

Rabu, 16 Mac 2011

Juruelektrik dituduh culik kanak-kanak perempuan

KUALA TERENGGANU: Seorang juruletrik dihadapkan ke Mahkamah Masjistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dari rumahnya di Kuala Ibai, di sini hampir lima tahun lalu. 

Wan Chee Hoo, 30, dari Selangor dituduh menculik mangsa dari rumahnya di Taman Ibai Indah, Kampung Tok Hadis, Kuala Ibai di sini, kira-kira 12 tengah hari 22 Oktober 2006.


Dia dituduh menculik dengan niat hendak menuntut wang tebusan dengan mengurung mangsa dalam sebuah kereta.

Sabtu, 12 Mac 2011

Gempa bumi di Jepun: Polis Terengganu pantau pantai


KUALA TERENGGANU 11 Mac – Pasukan peronda polis di semua Ibu Pejabat Polis Daerah di Terengganu telah diarahkan untuk memantau sepanjang pesisir pantai Terengganu mulai petang tadi.

Pegawai Bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, ASP Shuhaimi Jusoh berkata, ia dibuat sebagai langkah berjaga-jaga kemungkinan laut bergelora dan ombak besar ekoran gempa bumi kuat yang melanda Jepun hari ini.

Gempa bumi kuat bermagnitud 8.9 pada skala Richter yang melanda Pantai Timur Honshu, Jepun pada pukul 1.46 petang hari ini, dilapor mencetuskan fenomena tsunami setinggi 10 meter.

"Rondaan dibuat bagi memantau keadaan setelah mendapat arahan daripada Bukit Aman.

Khamis, 10 Mac 2011

Janda muda dirogol bomoh veteran

KUALA TERENGGANU - Gara-gara terlalu percaya dengan kebole-han seorang ‘tok bomoh’ veteran yang kononnya mampu memulihkan kembali kasih sayang suami isteri, seorang janda muda dirogol di rumahnya sendiri dalam satu kejadian di Kampung Tepoh, awal pagi kelmarin. 

Kejadian bermula apabila tok bomoh, 59, dari Kampung Wakaf Tengah itu datang ke rumah mangsa, 29, kira-kira jam 10 malam kononnya untuk mengubati mangsa yang berhadapan dengan masalah rumah tangga. 

Ketika kejadian, difahamkan semua ahli keluarga mangsa termasuk kedua-dua ibu bapanya berada di situ tetapi seolah-olah dipukau kerana tidak mampu berbuat apa-apa dan membiarkan sahaja mangsa bersama tok bomoh itu di dalam bilik berdua-duaan.

Rabu, 9 Mac 2011

Pemuda ditemui mati dipercayai terjatuh

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki ditemui mati di kawasan tempat letak kereta bangunan Wisma Persekutuan di sini hari ini dipercayai akibat terjatuh dari tingkat enam bangunan tersebut.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.15 petang tadi menggemparkan orang ramai yang datang berurusan di bangunan kerajaan itu setelah terdengar bunyi kuat dari tempat kejadian.
Seorang saksi, Mohd Azrul Aliff Mohamad 28, berkata, beliau dan rakannya ketika itu berada di kawasan tempat letak motosikal apabila ternampak mangsa seolah-olah terbang sebelum terjatuh di kawasan tempat letak kereta di situ.

Isnin, 7 Mac 2011

‘Aku nak pancung mung’

KUALA TERENGGANU- “Aku nak pancung mung.” Itulah antara ayat ugutan seorang bapa ketika sedang ‘naik angin’ terhadap anak lelakinya dalam satu pertengkaran keluarga di kediaman mereka di Kampung Bukit Kubang Jambu, di sini, Khamis lalu. 

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, bapa baran terbabit, 55, bukan sahaja mengugut, malah anaknya, 24, yang tidak bekerja turut mendakwa dipukul, diterajang, ditumbuk serta ditampar beberapa kali pada bahagian muka dan badan. 

Sinar Harian difahamkan, punca warga emas itu bertindak demikian kerana terlalu marah kepada anak lelakinya yang didakwa telah mencuri komputer riba salah seorang adiknya yang masih bersekolah. 

Takut dengan ugutan itu, anak lelakinya mengambil keputusan membuat laporan polis pada hari kejadian dan bapa warga emas itu ditangkap pagi semalam di rumahnya. 

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner (ACP) Zamri Shamsuddin mengesahkan penangkapan itu dan kini kes berkenaan masih dalam siasatan.

2 beradik ditahan miliki senapang angin buatan sendiri

KUALA TERENGGANU - Polis menahan dua beradik masing-masing berumur 20 dan 28 tahun serta merampas satu laras senapang angin buatan sendiri dan dua buah motosikal dalam satu serbuan di kediaman mereka di kampung Beladau Kolam, Manir, pagi semalam. 

Serbuan oleh sepasukan Unit Risikan Jenayah Bahagian (D4) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu dan Unit Pencegahan Jenayah Balai Polis Manir yang diketuai Pegawai Polis, Husaini Amir Mohd Noor kira-kira jam 9 pagi itu pada awalnya untuk siasatan susulan kes kecurian motosikal sahaja. 

Ahad, 6 Mac 2011

Bekas tentera dibelasah kerana mencuri

KUALA TERENGGANU - Seorang bekas tentera cedera dibelasah orang ramai setelah disyaki mencuri tiga kampit beras seberat 30 kilogram dan satu tong gas dari sebuah kedai runcit di Kuala Ibai di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K. Manoharan berkata, dalam kejadian kira-kira 4.45 petang, suspek dipercayai baru sahaja mencuri barangan tersebut sebelum didatangi oleh pemilik kedai terbabit.
"Pekedai runcit berkenaan telah mengesyaki anggota tentera itu mencuri barang-barang di kedainya lalu mengadu kepada orang ramai yang kemudian bertindak membelasah suspek,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama

Penculik kanak-kanak ditahan

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki yang dipercayai menculik seorang kanak-kanak perempuan lima tahun lalu di Terengganu ditahan di Sabah, Selasa lepas.
Juruletrik berumur 30 tahun yang berasal dari Ipoh, Perak ditahan di rumah sewanya di Inanam, Kota Kinabalu kira-kira 7.45 pagi ketika dia mahu keluar bekerja.
"Tangkapan itu hasil kerjasama polis Kota Kinabalu dan kita telah hantar anggota ke sana untuk mengenal pasti suspek,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP K. Manoharan.
Kes penculikan itu berlaku pada 22 Oktober 2006. - Bernama

Bakar rumah sendiri, lelaki dipenjara 5 tahun

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas didapati bersalah membakar rumahnya sendiri pada 26 Februari lepas.
Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas Maliki Mohamed @ Lee See Tee, 39, mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut sebaik sahaja pertuduhan dibacakan kepadanya.
Dia dituduh mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dengan api menggunakan mancis dengan membakar rumahnya miliknya di Kampung Balik Bukit, Bandar Permaisuri, Setiu kira-kira pukul 12.30 malam pada 26 Februari lepas.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...