Sabtu, 26 Mac 2011

Surau jadi lokasi ponteng

KUALA TERENGGANU - Tiga pelajar perempuan antara 31 pelajar sekolah menengah di daerah Kuala Terengganu Utara yang berjaya ditangkap dalam operasi Gerak Gempur Basmi Ponteng Sekolah yang dijalankan serentak di peringkat negeri di sini, semalam. 

Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Terengganu, Azahar Abu Bakar berkata, majoriti lokasi yang dikesan menjadi tempat pelajar terbabit ponteng sekolah termasuk di surau, rumah kosong, di dalam semak samun berhampiran rumah penduduk setempat dan di sekitar kompleks sukan Gong Badak. 
“Semua lokasi tersebut dikesan hasil risikan dan maklumat daripada orang ramai yang sentiasa memberi kerjasama terutamanya penduduk setempat yang tinggal di sekitar kawasan sekolah terbabit. 

“Pelajar ini didapati melakukan perbuatan itu secara berkumpulan dan menjadikan lokasi itu sebagai tempat pertemuan mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri, semalam. 

Menurut Azahar, operasi yang melibatkan kerjasama daripada semua agensi berkaitan akan dilaksanakan secara berterusan dalam usaha menangani masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar di negeri ini. 

“Insya-Allah, kami akan adakan operasi sebegini secara berkala dan memberi tumpuan lebih kepada sekolah yang dikenal pasti berpotensi tinggi berhadapan masalah disiplin ini,” katanya. 

Operasi julung kali diadakan secara besar-besaran itu disertai seramai 130 anggota yang terdiri daripada wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rela, Jabatan Kesihatan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan agensi berkaitan. 

Dalam operasi yang diadakan bermula seawal jam lapan pagi dan berakhir 11 pagi itu, seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat ditahan setelah dikesan positif pil kuda dalam ujian saringan awal air kencing yang dilakukan terhadap kesemua pelajar yang ditangkap. 

“Melalui maklumat awal, pelajar itu berjinak-jinak dengan pil kuda sejak di Tingkatan Tiga lagi disebabkan terlalu tertekan dengan masalah keluarga serta pelajaran. 

“Namun kami akan menunggu keputusan seterusnya dan sekiranya dia benar-benar bersalah, kami akan merangka satu program bagi memulihkan dirinya kembali,” katanya. 

Sementara itu, menurut Azahar, seramai 23 pelajar di sekitar daerah Kuala Terengganu Selatan berjaya ditangkap dalam operasi yang dijalankan oleh 100 anggota semalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...