Rabu, 9 Mac 2011

Pemuda ditemui mati dipercayai terjatuh

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki ditemui mati di kawasan tempat letak kereta bangunan Wisma Persekutuan di sini hari ini dipercayai akibat terjatuh dari tingkat enam bangunan tersebut.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.15 petang tadi menggemparkan orang ramai yang datang berurusan di bangunan kerajaan itu setelah terdengar bunyi kuat dari tempat kejadian.
Seorang saksi, Mohd Azrul Aliff Mohamad 28, berkata, beliau dan rakannya ketika itu berada di kawasan tempat letak motosikal apabila ternampak mangsa seolah-olah terbang sebelum terjatuh di kawasan tempat letak kereta di situ.

"Semasa saya hampiri, mangsa telahpun meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian badan dan kepala,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Shamsuddin ketika dihubungi berkata, mangsa dikenali sebagai Padrul Mohamad 28, berasal dari Felda Jerangau Barat, Hulu Terengganu.
Katanya, jenazah lelaki itu dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kejadian sebagai kes mati mengejut. – Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...