Rabu, 9 Mac 2011

Samun remaja: Dua rakan dipenjara, sebat

ALOR SETAR – Dua pemuda, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan, manakala rakannya dipenjara sembilan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah melakukan samun berkawan terhadap dua remaja tahun lalu.
Syed Anuar Syed Mohd Arus, seorang peniaga air, dan Mohd Fazry Mohamad yang menjadi penjaga tempat letak kereta dituduh secara bersama melakukan samun berkawan sebuah telefon bimbit bernilai RM200 ke atas dua orang di tepi jalan berhampiran jambatan Simpang Kuala di sini pada 24 Oktober tahun lalu, pukul 2 pagi.

Hakim Mohd Sabri Ismail memerintahkan tertuduh pertama, Syed Anuar, 39, dan tertuduh kedua, Mohd Fazry, 26, dihukum penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap pada hari kejadian.
Mohd Sabri menjatuhkan hukuman setimpal kerana mendapati Syed Anuar mempunyai 15 rekod lampau yang membabitkan antaranya samun bersenjata, membawa senjata ke tempat awam, pecah rumah, curi kenderaan, memiliki barang curi, penyalahgunaan dadah jenis ganja dan merusuh.
Mohd Fazry pula melakukan kesalahan berkenaan dalam tempoh parol yang bermula 24 Ogos hingga 31 Disember tahun lalu kerana melakukan kesalahan sama iaitu samun. – Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...