Isnin, 7 Mac 2011

2 beradik ditahan miliki senapang angin buatan sendiri

KUALA TERENGGANU - Polis menahan dua beradik masing-masing berumur 20 dan 28 tahun serta merampas satu laras senapang angin buatan sendiri dan dua buah motosikal dalam satu serbuan di kediaman mereka di kampung Beladau Kolam, Manir, pagi semalam. 

Serbuan oleh sepasukan Unit Risikan Jenayah Bahagian (D4) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu dan Unit Pencegahan Jenayah Balai Polis Manir yang diketuai Pegawai Polis, Husaini Amir Mohd Noor kira-kira jam 9 pagi itu pada awalnya untuk siasatan susulan kes kecurian motosikal sahaja. 
Tetapi, setelah membuat pemeriksaan lanjut dilakukan di kediaman itu, polis turut menemui satu senapang angin yang disorok pada bahagian stor bawah rumah. 

Bagi mengelakkan dicekup, suspek, 28, bekas pekerja kontrak Pelantar Minyak di Kerteh, Kemaman dengan keras mendakwa menyimpan senjata tiruan itu sejak lima tahun lalu hanya untuk memburu binatang di kebun bapanya, dan menyangkal bahawa menyimpan senapang tiruan itu satu kesalahan di sisi undang-undang. 

Difahamkan, hasil siasatan awal mendapati suspek juga pernah ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu selama tujuh hari untuk siasatan berhubung kesalahan kes samun pada lima tahun lalu. 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, dua beradik itu kini ditahan untuk siasatan lanjut. 

“Kedua-dua mereka ditahan di bawah Seksyen 29 (1) dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960 yang mana jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...