Ahad, 9 November 2014

Pelajar disamun lelaki berkopiah depan bank


KOTA BHARU - Seorang pelajar sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di sini, kerugian RM 1,000 selepas disamun lelaki berkopiah dalam kejadian di hadapan Maybank Wakaf Siku di sini, pagi Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi, mangsa baru  selesai membuat pengeluaran wang di mesin pengeluaran Automatik (ATM) di bank terbabit sebelum masuk ke dalam keretanya yang diparkir berhampiran bank berkenaan.

Secara tiba-tiba, lelaki berkopiah menghampiri kereta mangsa dan suspek terus masuk ke dalam keretanya yang tidak berkunci dan duduk di bahagian penumpang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, pelajar berusia 23 tahun itu terkejut selepas dihampiri lelaki terbabit yang bertindak pantas merampas beg tangannya dan terus melarikan diri menaiki kereta jenis Honda Accord yang menunggu di belakang dengan seorang lagi  suspek di dalam kenderaan itu.


“Akibat kejadian itu, mangsa kerugian RM 1,000 termasuk nilai wang dan telefon bimbit jenis Black Berry serta dokumen penting milik mangsa.

“Hasil siasatan polis mendapati, kenderaan yang digunakan suspek merupakan kereta yang dilaporkan hilang di Kuantan, Pahang sejak sebulan lalu dan ia disyaki kereta curi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Rohaimi berkata, kes disiasat di bawah seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK) di atas kesalahan menyamun secara berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua puluh tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.


“Setakat ini suspek masih dikesan dan orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian itu boleh salurkan kepada polis di talian 09-7752200 untuk tindakan susulan," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...