Rabu, 5 November 2014

Wanita sokong Islamic State (IS) di dakwa


Seorang wanita Ummi Kalsom Bahak, 25, didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang kerana cuba memberi sokongan kepada pengganas dengan menjadi ahli Islamic State (IS) menerusi perkahwinan dengan anggota kumpulan itu.
Tertuduh Umi Kalsom Bahak dituduh mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau dipenjara tidak melebihi 30 tahun.
Hakim Mahkamah Sesyen Tuan Aizatul Akmal Maharani kemudian menetapkan 20 November ini bagi sebutan semula kes.

Tuan Aizatul juga menetapkan bahawa kes perbicaraan akan dipindahkan ke mahkamah tinggi dan memaklumkan bahawa tertuduh tidak boleh diikat jamin selain ditahan reman sehingga 20 November ini.
Timbalan Pendakwaraya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, mengikut pertuduhan berkenaan, tertuduh tidak boleh diikat jamin.
8 Oktober lalu media melaporkan seorang wanita warganegara Malaysia ditahan polis kerana disyaki terbabit dengan kumpulan militan antarabangsa di Lapangan Terbang KLIA2 pada Ahad lalu.
Bakal pengantin berusia 25 tahun itu berasal dari Negeri Sembilan dan ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012.
Dia dijadual berkahwin dengan seorang rakyat Malaysia di Syria, yang menjadi anggota ISIS.
Lelaki tersebut dikatakan memberi wang berjumlah RM6,000 secara tunai kepada wanita terbabit sebagai perbelanjaan perjalanannya.
Setakat ini, empat rakyat Malaysia sudah ditahan atas kes yang sama. Sebelum ini, tiga rakyat Malaysia ditangkap di KLIA pada 27 September kerana disyaki merancang untuk berlepas ke Syria bagi menyertai perjuangan ISIS.-31/10/2014

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...