Sabtu, 22 November 2014

PPS akan ditukar jadi komuniti kepolisan?


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dikatakan telah bersetuju menggantikan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang diisytiharkan sebagai pertubuhan haram sebelum ini kepada sebuah badan komuniti kepolisan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau dan Guan Eng telah mengadakan perbincangan berhubung perkara itu di Parlimen semalam.
Selain itu katanya, komuniti kepolisan tersebut juga akan diselaraskan di seluruh negara menerusi satu Prosedur Operasi Standard (SOP) dan turut mempunyai pakaian seragam yang sama.

“Saya telah mengarahkan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani untuk mengadakan perbincangan dengan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri.
“Kita juga berharap PDRM dapat menambah lagi anggota sukarelawan polis (PVR) yang kini hanya berjumlah 25,000 orang di seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri mengisytiharkan PPS di Pulau Pinang sebagai sebuah pertubuhan haram kerana penubuhannya tidak dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai satu undang-undang.
Susulan itu, pada 31 Ogos lalu, polis menahan seramai 156 anggota PPS termasuk Pengerusinya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh kerana ingkar amaran untuk tidak menjalankan aktiviti berkaitan pasukan tersebut.
Ahmad Zahid seterusnya berkata, setakat ini tiada tarikh tertentu ditetapkan untuk melakukan penyeragaman tersebut namun menghargai keprihatinan Guan Eng untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Sementara itu beliau berkata, seramai 1,005 anggota PPS telah dilakukan saringan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan keputusannya akan diumumkan tidak lama lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...