Khamis, 21 November 2013

'TUHAN HARUN' DITANGKAP, PENGIKUT SERAH DIRI


KUANTAN - Seorang pengikut kumpulan ajaran sesat Ajaran Harun Mohd Nizam Mohd Salleh, 43, tampil menyerah diri di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Pada 15 November lepas, mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya kerana gagal hadir perbicaraan kes menyimpan dan memiliki dokumen yang bercanggah dengan hukum syarak.

Hakim, Syarie Mohd Azahari Abdul Rahman menetapkan 16 Januari depan untuk sebutan semula kes tersebut di dalam kamarnya.

Bercakap kepada pemberita, Timbalan Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Mohd Fahmi Abd Jalil berkata selepas meneliti dan mendengar alasan tertuduh, Hakim mengekalkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin ke atasnya.

Mohd Nizam Mohd Salleh
Mohd Nizam dan lima lagi pengikut Ajaran Harun iaitu Husin Ismail, 43; Pius Anahong @ Mahdi Abdullah, 40; Mohd Khalilie Zazali, 31; Syahiszam Soid, 40 dan Mohd Shahril Mohd Jaafar, 28, didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah premis di B16-1st, Lorong Pandan Damai 2/201, di sini pada 6.50 petang, 4 April lepas.


Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 165, Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 yang memperuntukkan hukuman denda RM2,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...