Jumaat, 25 Mac 2011

Pulih Persepsi, Tingkatkan Kredibiliti Antara Tumpuan PDRM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan menyambut ulang tahun ke-204 esok, semakin agresif menyusun strategi bagi memperkukuhkan perkhidmatannya seterusnya mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti serta integriti pasukan itu.

Di bawah kepimpinan Tan Sri Ismail Omar, yang mula mengemudi PDRM sejak enam bulan lepas, pasukan itu dilihat semakin giat menangkis sentimen antipolis dan persepsi serong masyarakat yang ada antaranya cuba mencabar kewibawaan pasukan keselamatan itu.

Namun, pasukan beruniform biru yang tidak mengenal erti putus asa itu semakin optimis dan melipatgandakan usaha bagi meneruskan kesinambungan kejayaan dalam menurunkan angka ancaman jenayah di dalam negara.

Ismail percaya keyakinan masyarakat terhadap PDRM boleh dikembalikan dan akan datang dengan sendiri selari dengan kejayaan yang dilakar serta usaha bersungguh pasukan itu dalam memerangi jenayah.

"PDRM sering menjadi medium melepas amarah, mereka berang bila disaman, mereka marah bila rumah dirompak malah ada yang antipolis serta memandang enteng pada keupayaan pasukan polis.

"Meskipun ini menjadi antara cabaran utama yang perlu dihadapi PDRM namun saya percaya keyakinan itu boleh dikembalikan dengan langkah agresif yang akan diambil PDRM pada tahun ini untuk mengurangkan jenayah," katanya dalam temubual khas di Bukit Aman.

Beliau berkata sepanjang tahun lepas, pencapaian pasukan itu cukup memberangsangkan apabila kadar jenayah berjaya dikurangkan mendadak berbanding tahun sebelumnya dan beliau mahu kesinambungan itu diteruskan pada tahun ini.

Katanya, menjadikan 2010 sebagai panduan dan tanda aras dalam menghadapi cabaran tahun ini, strategi yang telah terbukti berkesan akan terus diguna pakai secara lebih agresif dan beberapa strategi baru akan diperkenalkan.

"Konsep 4P yang telah saya perkenalkan ketika mula menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Negara iaitu 'pelindung, proaktif, penumpuan pada masyarakat dan prestasi' akan diteruskan bagi memberi khidmat terbaik.

"Langkah-langkah lain seperti Ops Payung iaitu menempatkan anggota polis di bawah payung di lokasi-lokasi tertentu, tumpuan khas di kawasan hotspot dan juga menambah kehadiran polis turut diteruskan kerana menunjukkan kesan yang amat positif," katanya.

Ismail berkata bangunan dan kelengkapan PDRM turut akan diperkukuhkan di mana balai polis dan balai polis bergerak akan diperbanyakkan lagi seiring dengan pembangunan pesat negara dan cabaran yang dihadapi.

"Konsep balai polis yang akan datang nanti lebih moden yang mengutamakan impian rakyat iaitu menjadikan balai polis lebih mesra rakyat bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat.

"Selain itu, bas kecil dan van turut akan diperbanyakkan lagi sebagai balai polis bergerak yang akan menempatkan dua atau tiga anggota pada satu-satu masa yang memperlihatkan polis lebih dekat dengan masyarakat," katanya.

Selain dari itu, katanya PDRM turut akan mempertingkatkan sistem penyampaian dan keupayaan komunikasi agar menjadi pasukan yang lebih responsif dan pantas.

Beliau berkata selain itu, pada sambutan Hari Polis esok, Pelan Strategik 5 Tahun (PS5T) yang baru iaitu untuk tahun 2011 hingga 2015 akan dilancarkan bagi membawa pasukan itu ke satu tahap yang lebih tinggi.

"PS5T yang pertama diperkenalkan untuk tahun 2007 dan akan berakhir pada bulan depan, justeru kita telah merangka pelan yang kedua untuk tempoh 2011 hingga 2015 bagi diaplikasikan dalam perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata terdapat lapan elemen strategik telah dikenal pasti di dalam PS5T tersebut iaitu pengukuran KPI dari segi kehadiran polis berjadual, indeks keselamatan komuniti, indeks jenayah dan indeks kepuasan pelanggan.

Tujuh lagi elemen adalah bekerja ke arah meningkatkan pencapaian, pengurusan kewangan berhemah, menjalankan pencegahan jenayah secara inovasi, berorientasikan perkhidmatan untuk rakyat, kecemerlangan operasi, tanggungjawab korporat, sosial dan urus tadbir yang baik serta menggerakkan draf kerja yang bermotivasi dan berinovasi.

Beliau berkata PDRM sentiasa berusaha memastikan keselamatan negara berada di tahap terbaik agar rakyat sentiasa selesa dan hidup harmoni manakala pelabur asing tidak takut untuk masuk ke dalam negara ini.

Katanya, PDRM turut akan mempertingkatkan keupayaan, kemahiran, pengetahuan dan kebolehan warganya agar lebih responsif dan pantas dalam menyelesaikan satu-satu kes yang berlaku serta meningkatkan interaksi dengan masyarakat.

Beliau berkata pertikaian dan kritikan terhadap kaedah penyelesaian yang diguna pakai oleh PDRM tidak akan dapat dielakkan, meskipun pada tahun lepas sebanyak 40 peratus kes yang disiasat berjaya diselesaikan.

Beliau menolak tanggapan sesetengah pihak kononnya PDRM lembab dan siasatannya mengambil masa yang lama, sebaliknya, kata beliau, ada kes yang tidak dapat disiasat dan memerlukan jangka waktu yang panjang untuk disiasat memandangkan kekurangan saksi dan bukti.

"Bila sesuatu kes berlaku, masyarakat mahukan individu yang bertanggungjawab cepat ditangkap, didakwa dan seterusnya dihukum sedangkan untuk mendapatkan penjenayah bukan satu perkara yang mudah tetapi kita tetap akan berusaha buktinya ada yang ditangkap kurang dari 24 jam.

"Cabaran tahun ini adalah untuk menyelesaikan kes dengan lebih pantas dari tahun lepas meskipun jenayah yang dihadapi kini lebih kompleks dan merentasi sempadan serta melibatkan lebih satu negara akibat sindiket jenayah antarabangsa," katanya.

Ismail berkata realiti daripada perkembangan itu memperlihatkan penugasan warga PDRM akan menjadi semakin sukar, getir dan mencabar, bagaimanapun ia tidak harus melunturkan semangat warga PDRM dalam melaksanakan tugas seharian.

"Begitupun kami sedar, masih akan ada suara-suara sumbang yang menuding jari menyalahkan polis dan memandang serong terhadap kami namun jika masyarakat seringkali menyalahkan pihak polis, itu hanya akan menggalakkan orang ramai melanggar undang-undang dan satu masa nanti polis tidak dihormati dan penjenayah akan bermaharajalela.

"Justeru pada Hari Polis ke-204 ini, kami berusaha untuk berubah dari kepolisan tradisional kepada kepolisan yang lebih moden dan canggih, sesuai dengan peredaran zaman serta memantapkan lagi jentera kami," katanya.

Beliau turut mengingatkan kepada anggotanya agar mematuhi polisi dan undang-undang yang telah digariskan serta meneruskan perjuangan serta menjalankan tugas dengan sebaiknya.

"Kerja keras untuk jaga keamanan dan pastikan bebas dari salah guna kuasa, rasuah serta jalankan tugas dengan amanah, komited dan jujur," katanya.

Beliau juga bertekad akan memastikan PDRM terus memberikan perkhidmatan terbaik untuk kesejahteraan rakyat dan negara.

"Saya akan bekerja berlandaskan kepada bidang kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang dan menentukan PDRM terus memberi perkhidmatan terbaik bagi kesejahteraan seluruh rakyat dan negara Malaysia," katanya.

Bukan mudah mewujudkan suasana yang selamat dan pengurangan jenayah secara sepadu dan holistik malah cabaran buat pihak berkuasa sememangnya berat, meskipun banyak kekangan, tanggungjawab tetap diteruskan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...