Jumaat, 25 Mac 2011

Pesakit Mental Di Kalangan Penagih Dadah Di Kedah Meningkat

ALOR SETAR, 24 Mac (Bernama) -- Pesakit mental di kalangan penagih dadah turut meningkat di Kedah, kata seorang pakar perubatan.

"Pesakit mental yang disebabkan oleh pengambilan dadah semakin meningkat setiap tahun dan golongan remaja dan dewasa adalah yang terbanyak menghidap penyakit mental disebabkan pengambilan najis dadah," kata Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Sultanah Bahiyah di sini, Dr Ahmad Rasidi M. Saring.

Beliau berkata pengambilan dadah adalah antara faktor yang menyebabkan seseorang itu mendapat sakit mental selain faktor persekitaran, faktor individu itu sendiri dan faktor kesihatan diri seseorang.

Beliau berkata ada juga penjawat awam yang mendapat rawatan mental tetapi mereka masih boleh bekerja seperti biasa.

"Seramai 14,000 pesakit mental menerima rawatan di Klinik Pakar Psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah sepanjang tahun lepas termasuk menerima rawatan ulangan.

"Pesakit yang dikesan menghidapi sakit mental dilihat bertambah (termasuk yang mendapat rawatan ulangan), namun jumlahnya tidaklah terlalu tinggi. Penyakit ini melibatkan semua kategori iaitu kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas," jelasnya kepada kepada pemberita pada Program Prihatin Kesihatan Mental 2011 di sini pada Khamis.

"Selalunya kita akan bekerjasama dengan majikan pesakit (bagi yang bekerja) supaya pesakit dapat melakukan kerja tanpa gangguan daripada mana-mana pihak kerana mereka perlu sentiasa menerima rawatan dan memakan ubat mengikut masa yang ditetapkan," tambah Dr Ahmad Rasidi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...