Jumaat, 10 Ogos 2012

Tabung dikebas penyamun

Gambar hiasan

PENDANG - Sepasang suami isteri di Taman Seri Puteh Fasa Dua dekat Jalan Jenun di sini kerugian RM4,000 apabila barang kemas termasuk wang syiling simpanan anak lesap dalam kejadian pecah masuk rumah mereka, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah hari itu mangsa, Izat Zakaria, 26, dan isterinya, Azlina Jaafar, 28, tiada di rumah dan hanya menyedari kejadian itu selepas mereka pulang berehat tengah hari di rumah kira-kira sejam selepas kejadian itu.

Izat berkata, dia terkejut setelah tiba di rumah mendapati pintu gelongsor bersama pagar besi rumahnya terbuka serta terdapat kesan bakar pada besi pagar yang dipatahkan.

“Sampai di rumah, saya dapati pagar ditutup tetapi jeriji pintu rumah terbuka menyebabkan saya bergegas masuk melihat keadaan rumah lalu mendapati bilik tidur utama digeledah sehingga pakaian berselerak di lantai.

“Barang kemas bernilai RM3,500 bersama wang syiling simpanan anak berjumlah RM500 diletakkan dalam almari bilik itu turut lesap, manakala dua bilik lain tidak digeledah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Curi kabel: Telekom rugi RM4 juta

Gambar hiasan

ALOR SETAR - Telekom Malaysia (TM) mengalami kerugian hampir RM4 juta sepanjang Januari hingga Julai tahun ini, akibat kecurian kabel milik syarikat telekomunikasi itu di Perlis dan Kedah.
Pengurus Besar TM Kedah/Perlis, Noor Lela Baba berkata sepanjang tempoh itu lebih 800 kes direkodkan dengan sebanyak 167 kes direkodkan sepanjang bulan Julai sahaja.
"Kes kecurian meningkat sejak Julai tahun ini mungkin disebabkan musim perayaan," katanya kepada pemberita pada program Bubur Lambuk Ihya Ramadan TM, di sini hari ini.

Polis: Purata 5 motosikal dicuri setiap hari di Melaka

Gambar hiasan

MELAKA- Kes kecurian motosikal di Melaka meningkat 27 peratus bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini dengan anggaran kerugian RM4.6 juta.
   
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata sebanyak 1,167 motosikal dilapor dicuri antara Januari dan Julai berbanding 921 dalam tempoh sama tahun lepas.
   
Secara purata sebanyak lima motosikal dicuri setiap hari, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
   
Beliau berkata kes curi motosikal meliputi 42.4 peratus daripada keseluruhan indeks jenayah di negeri ini setakat tujuh bulan ini.
   
Dalam tempoh itu juga sebanyak 197 orang berjaya ditahan dan polis Melaka menyelesaikan 196 kes curi motosikal.
   
Daripada jumlah itu, 104 dituduh di mahkamah, 21 telah dijatuhi hukuman dan selebihnya masih menunggu perbicaraan, katanya.
   
Raja Shahrom berkata taktik meleraikan motosikal yang dicuri dan komponennya dijual di pelbagai tempat termasuk bengkel persendirian menyukarkan siasatan polis. -Bernama

2 pekerja kedai serbaneka disamun


KUANTAN - Dua pekerja lelaki sebuah kedai serbaneka di Bandar Indera Mahkota, di sini, disamun empat lelaki bersenjatakan parang, awal pagi ini.
Dalam kejadian 5.45 pagi itu, empat suspek berpura-pura sebagai pelanggan dan memilih barang untuk dibeli, kata Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff.
"Seorang daripada mereka mengeluarkan sebilah parang dan mengacukan ke arah mangsa dan mangsa kemudiannya bertindak menyerahkan wang tunai dan rokok seperti yang diminta," katanya di sini, hari ini.
Katanya, empat suspek terbabit kemudiannya turut merampas telefon bimbit milik mangsa sebelum melarikan diri.
Susulan kejadian itu, mangsa bersama penyelianya membuat laporan di Balai Polis Indera Mahkota, pada 6 pagi dan jumlah kerugian masih disiasat, katanya. - Bernama

Khamis, 9 Ogos 2012

Geng Bateri mengganas

Gambar hiasan
IPOH: Pemilik kereta sekitar bandar raya ini dihantui kebimbangan apabila muncul penjenayah ‘Geng Bateri’ yang dikesan menyasarkan bateri yang dipasang pada kereta sebagai buruan utama kegiatan sejak beberapa bulan lalu.

Suspek yang dipercayai bergerak secara berkumpulan dikesan mempunyai kebolehan untuk membuka bonet kereta mangsa tanpa dapat dikesan alat penggera kenderaan berkenaan.

Dalam kes terbaru kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, lima kereta milik guru sekolah menengah di sini, dicerobohi penjenayah yang melarikan lima bateri kereta itu serentak ketika kenderaan mangsa diletakkan di kawasan lapang berhampiran Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Choy, Jalan Kuala Kangsar, di sini.

Dalam kejadian itu, kelima-lima guru berkenaan dikatakan meletakkan kereta di kawasan lapang di luar sekolah berkenaan ketika menghadiri aktiviti di sekolah.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...