PUCHONG – Hanya kerana menegur tiga warga Myanmar yang jalan terhuyung-hayang disebabkan mabuk, seorang pekerja kilang parah dibelasah 20 rakan warga asing itu tanpa belas kasihan sehingga tengkuk dan tangannya patah di Taman Perindustrian Puchong Utama, lewat malam kelmarin.
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam apabila mangsa, Mohd Nur Mallak, 31, duduk di tepi tangga rumah kedai di Jalan 2/1 itu bersama tiga lagi rakannya.
Rakan mangsa yang turut diserang sehingga terpaksa menerima beberapa jahitan di kepala, Ramlee Abdullah, 31, berkata, ketika kejadian dia dan rakannya duduk di situ sebelum tiga lelaki warga Myanmar muncul dalam keadaan terhuyung-hayang.
