Isnin, 27 Jun 2016

Enam warga Afrika terlibat Romance Scam

KUALA LUMPUR 26 Jun- Enam warga dari benua Afrika yang dipercayai terlibat dalam 10 kes penipuan internet 'Romance Scam' membabitkan nilai kerugian lebih RM1 juta ditahan di sebuah rumah di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya dekat sini, semalam.
Dalam operasi kira-kira pukul 1 pagi itu, sepasukan anggota dari Unit Operasi/Bantuan Teknik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman telah menahan lima lelaki dan seorang wanita berusia 24 hingga 38 tahun.

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi JSJK Bukit Aman, SAC Roslan Abd. Wahid berkata, pihaknya turut merampas 12 biji telefon bimbit, 15 keping kad ATM dan sebuah kereta jenis Toyota Camry.
"Selain itu, turut ditemui adalah lima unit komputer riba yang digunakan suspek untuk mencari mangsa dan satu pen drive mengandungi gambar mangsa yang akan menjadi sasaran mereka," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan ‘Romance Scam’ itu sejak dua tahun lalu. "Mereka didapati menggunakan internet terutamanya laman sosial seperti Facebook, Tagged, Twitter dan lain-lain untuk mencari serta menipu mangsa mereka.
"Kumpulan ini akan menghubungi mangsa yang dikenal pasti dan menyamar sebagai ejen tertentu seperti pegawai bank untuk memperdaya mangsa," katanya.- BERNAMA


Ahad, 26 Jun 2016

Bom kereta meletup di Sungai Golok

NARATHIWAT: Sebuah bom kereta meletup di pekan Sungai Golok di sini pagi ini mencederakan dua orang awam berada berhampiran lokasi kejadian, menurut polis.

Ketua Polis Sungai Golok Kol Korn-art Suwannakam berkata, dianggarkan
50kg bahan letupan diletakkan dalam kereta itu yang meletup kira-kira 6.10 pagi (waktu tempatan) berhampiran markas polis dan pasar serta rumah di pekan itu.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tiga buah motosikal mengambil penumpang kereta itu sebaik sahaja ia diletakkan di lokasi kejadian sebelum ia meletup tiga minit kemudian," katanya di sini, hari ini.

Sabtu, 25 Jun 2016

Polis Terima Tiga Lagi Laporan Peras Ugut Pengerusi MyWatch

Polis menerima tiga lagi laporan daripada individu yang didakwa diperas ugut Pengerusi Badan Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk Seri R Sri Sanjeevan selepas beliau ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan selepas disyaki memeras ugut seorang pengendali judi ekor tanpa lesen.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kertas siasatan telahpun dibuka terhadap dakwaan-dakwaan itu.

“Selepas tangkapan Sanjeevan, tiga orang telah tampil membuat laporan polis dan memberitahu bahawa mereka juga diugut oleh Sanjeevan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Go-To-Safety-Point di Stesen Petronas Kolam Ayer Lama, di sini, hari ini.

Militan IS Jangan Cuba Ugut Malaysia

Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak gentar dengan ancaman kumpulan militan IS rakyat Malaysia menerusi rakaman video yang tersebar luas di media sosial.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata rakaman itu bukan video pertama dimuat naik kumpulan berkenaan, sebaliknya sudah banyak sebelum ini.

“Polis tidak akan sesekali membenarkan elemen IS bertapak dan disebarkan di negara ini.

“Jangan cuba gertak kami. Kalau setakat membuat liputan dari jauh, kami tak gentar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS): Go To Safety Points bersama PETRONAS di stesen minyak PETRONAS Jalan Kolam Air, di sini, sebentar tadi.

Rabu, 22 Jun 2016

PDRM Lancar Pelan Integriti 2016-2020

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa melancarkan Pelan Integriti PDRM 2016-2020 bagi memastikan misi mencapai standard perkhidmatan polis bertaraf dunia dapat dilaksanakan sebaiknya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pelan berkenaan merupakan kesinambungan kepada Pelan Integriti PDRM yang terdahulu.
Khalid berkata penambahbaikan pelan ini bertujuan memastikan visi dan misi PDRM direalisasikan dalam mencapai matlamat utama PDRM iaitu memberi perkhidmatan kepolisan bertaraf dunia kepada masyarakat.
"Saya akur bahawa integriti adalah satu nilai penting kepada sesebuah organisasi seperti PDRM yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...