Selasa, 1 April 2014

Akta Pencegahan Jenayah Akan Berkuat Kuasa Rabu Ini


KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin diberitahu Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013, khusus untuk membanteras jenayah terancang dan berat akan dikuatkuasakan Rabu ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, selain bukti kerajaan komited membanteras aktiviti jenayah, akta yang akan diwartakan esok itu bertujuan memastikan usaha pencegahan dapat dilakukan segera.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) yang ingin tahu bila POCA akan dilaksanakan pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.
Wan Junaidi menjelaskan akta itu antara lain memberi kuasa kepada Lembaga Pencegahan Jenayah mengeluarkan arahan menahan penjenayah selama dua tahun.
Beliau berkata, pelaksanaan akta bagi memerangi dan mencegah jenayah dengan lebih berkesan yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan atas kepentingan ketenteraman dan keselamatan awam atau pencegahan jenayah. 
Kepada soalan asal Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik), yang ingin tahu bagaimana pelantikan anggota ke dalam Lembaga Pencegahan Jenayah dibuat, Wan Junaidi berkata pelantikan dibuat sepenuhnya oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri.
"Semua pelantikan adalah melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong, dan Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak terlibat dalam proses pelantikan itu," katanya.

Isnin, 31 Mac 2014

Pasangan Suami Isteri Ditemui Mati Dibunuh

Pasangan Suami Isteri Ditemui Mati Dengan Kesan Kelar, Anjing Peliharaan Dibunuh

KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri ditemui mati dengan leher dikelar di flat mereka di Kampung Muhibbah pada Sabtu.

Difahamkan, dalam kejadian pukul 11 malam di Blok C Projek Perumahan Rakyat Muhibbah, suami kepada wanita terbabit telah mengelar leher isterinya selepas berlaku pertengkaran sebelum mengambil nyawanya sendiri.

Mayat pasangan itu yang berlumuran darah ditemui bergelimpangan di atas lantai di dalam bilik dengan dua ekor anjing peliharaan mereka turut dibunuh.

Pisau yang dipercayai telah digunakan oleh lelaki terbabit untuk membunuh dirinya, ditemui di sebelah mayatnya.

Siasatan awal mendapati tanda kelar dengan ukuran antara 10 dan 15cm di leher wanita itu.

Terdapat juga tanda kelar pada leher anjing peliharaan mereka.

Seorang jiran, yang enggan namanya disiarkan berkata dia telah mendengar bunyi dari unit pasangan itu kira-kira jam 10 malam.

"Kedengarannya seperti mereka sedang bertengkar antara satu sama lain. Tidak lama selepas itu, seluruh blok dikejutkan dengan penemuan mayat mereka," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dia menambah, pasangan itu yang dikenali sebagai Selvam dan Anita tidak mempunyai anak dan telah tinggal di situ selama beberapa tahun.

"Selvam mempunyai perniagaan pengangkutan manakala Anita bekerja sebagai jurusolek sambilan," katanya.

Seorang lagi jiran, yang juga enggan dikenali mengakui bahawa ini adalah kali pertama dia mendengar pasangan itu bertengkar.

"Saya tidak pernah melihat atau mendengar mereka bergaduh. Mereka begitu penyayang," katanya.

Ketua Polis Daerah Cheras Komisioner Mohan Singh mengesahkan menerima laporan itu dan berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Beliau menambah siasatan sedang dijalankan dan tidak ada unsur-unsur jenayah dalam kejadian itu.

Mayat-mayat telah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.

Pemandu Bas Disamun, Hilang RM3,000


BESUT: Seorang pemandu bas kerugian RM3,000 setelah disamun dua lelaki selepas mengeluarkan wang itu di sebuah bank di bandar Jerteh di sini pada Khamis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut DSP Noor Zainy Mohd Noor berkata kejadian berlaku kira-kira 8.15 malam semasa mangsa berumur 31 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Amer.
"Ketika menunggang motosikalnya, mangsa yang tidak menyedari telah diikut kemudiannya telah disekat oleh dua lelaki menaiki sebuah motosikal di Kampung Gong Mak Som, Alur Lintah.
"Suspek mengeluarkan parang dan meletaknya di leher mangsa sambil memaksanya memberikan wang yang diletakkan dalam beg sandangnya," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.
Dalam kejadian berasingan, Noor Zainy berkata seorang pemandu lori berumur 23 tahun dari Kampung Gong Kepas Dalam, cedera di bahu kiri selepas diserang seorang lelaki dengan pisau.
Kejadian berlaku ketika pemandu lori itu bertandang ke rumah rakan wanita yang merupakan bekas isteri penyerang itu di Kampung Pak Da Malik, Kampung Raja di sini pada Selasa, katanya.
Ekoran kejadian itu, mangsa dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Besut, katanya.

Ahad, 30 Mac 2014

Dua ditangkap curi kabel TM


KEMAMAN – Dua lelaki yang sedang leka mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) dikepung penduduk sebelum berjaya ditangkap dalam kejadian di Kampung Labohan, Kerteh, pagi semalam.

Kedua-dua suspek berjaya ditangkap penduduk kampung kira-kira jam 10.30 pagi ketika sedang asyik memotong salah satu kabel telefon tersebut.

Gara-gara cuba melarikan diri selepas menyedari perbuatan mereka dilihat penduduk, suspek turut bergelut dengan orang kampung menyebabkan mereka berdua cedera.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, perbuatan suspek mencuri kabel tersebut disedari penduduk.

“Pengadu yang berusia 34 tahun sambil dibantu abangnya dan beberapa orang kampung lain segera bertindak menangkap kedua-dua suspek setelah melihat perbuatan mereka yang cuba mencuri, sebelum menyerahkan mereka kepada polis.

“Barang kes yang dirampas bersama kedua-dua suspek adalah dua gulung kabel hitam milik TM yang panjangnya enam meter untuk setiap gulung dan sebilah parang berukuran 0.3 meter,” katanya.

Parang tersebut dipercayai digunakan untuk memotong kabel yang dicuri yang mana kabel yang telah siap dipotong kemudiannya akan digulungkan.

Beliau berkata, salah seorang suspek beralamat di Rumah Awam Kos Rendah Kemasik dan seorang lagi beralamat di Kampung Batu Putih, Kerteh.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek pertama tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala suspek yang beralamat di Kampung Batu Putih memiliki dua rekod di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Sabtu, 29 Mac 2014

Lelaki Cedera Disimpah Asid Oleh Rakan


PASIR PUTEH: Dua lelaki termasuk seorang remaja berusia 14 tahun cedera selepas disimbah asid oleh seorang lelaki dalam kejadian di Kampung Banggol Pak Esah di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh DSP Mohd Kamal Zainal berkata kejadian berlaku pukul 10.15 malam ketika kedua-duanya iaitu Tuan Zulashraf Tuan Yaacob, 14, dan Emi Azman, 22, berada di sebuah gerai menjual burger.
"Seorang lelaki yang menunggang motosikal menghampiri mereka dan menyimbah cecair yang diisi di dalam botol sebelum melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini.
Menurutnya akibat kejadian itu Emi mengalami cedera parah di muka dan badan serta dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, manakala Zulashraf pula menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tengku Anis di sini.
Katanya siasatan awal polis mendapati suspek dikenali oleh mangsa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...