Ahad, 13 Mac 2011

4 warga asing pecah kilang

SEMERAH – Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di sini, percaya dengan penahanan empat lelaki warganegara Vietnam berjaya menyelesaikan lima kes pecah kilang yang dilaporkan berlaku di sekitar daerah ini. 

Keempat-empat mereka ditahan ketika polis menjalankan sekatan jalan raya di Parit Bilal pada 4 Mac 2011 pada jam 10 malam lalu apabila menahan teksi yang dinaiki mereka dan hasil siasatan mendapati ada alatan pecah kilang dibawa bersama. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon berkata, hasil siasatan juga mendapati kesemua mereka dipercayai memiliki dokumen perjalanan yang dipalsukan sejak kira-kira empat tahun yang lalu. 
Menurutnya, kesemua mereka yang berumur 20an ditahan untuk siasatan lanjut dan turut mendapati mereka melakukan kegiatan jenayah pecah kilang tanpa melibatkan mana-mana sindiket pecah kilang iaitu dengan bergerak sendiri. 

“Hasil maklumat dan siasatan yang dijalankan polis mendapati pemandu teksi yang membawa kesemua suspek pada malam berkenaan tidak terlibat dalam kegiatan ini sebaliknya semua suspek melarikan diri daripada majikan mereka di daerah ini,” katanya. 

Beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan sekiranya orang ramai mempunyai maklumat, boleh tampil membantu,” katanya pada sidang media selepas Program Sepagi Bersama Polis dan Pemimpin Masyarakat Setempat (Community Policing) bagi Kawasan Semerah, baru-baru ini. 

Sementara itu, turut diulas berhubung kejayaan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Batu Pahat dalam serbuan yang dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Suloh, Senggarang, pada 7 Mac 2011, jam 3.45 petang. 

Adnan berkata, intipan dan siasatan telah lama dilakukan polis bagi mengumpul bukti dan akhirnya dua lelaki warganegara tempatan masing-masing berumur 45 tahun yang juga pemilik rumah dan rakannya berjaya ditahan. 

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan di rumah berkenaan, polis berjaya menemui empat tiub straw yang percayai dadah jenis heroin dan tujuh peket lut sinar dadah yang di percayai juga jenis heroin yang mana jumlah kedua-dua barang berkenaan 10.3 gram. 

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga seumur hidup, tidak kurang lima tahun dan dikenakan 10 kali sebatan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...