Isnin, 21 Mac 2011

Lawatan Menteri Kesihatan Malaysia Ke PULAPOL Kuala Lumpur


Jangkitan 'Adenovirus' atau virus kencing tikus yang mula dikesan di PULAPOL Kuala Lumpur pada 4 Mac 2011 setakat ini telah mengakibatkan kematian dua orang pelatih, manakala 25 orang pelatih lagi telah dimasukkan ke wad di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh.

YDH SAC Zulkifli bin Mohamed, Komandan PULAPOL Kuala Lumpur berkata, seramai 336 orang pula menjalani pengasingan, iaitu 117 pelatih Inspektor Wanita, 180 pelatih Inspektor Lelaki, 33 Konstabel dan 6 kakitangan PULAPOL Kuala Lumpur.




Berikutan jangkitan virus ini, sebuah pasukan penyelidik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia telah menjalankan satu kajian ke atas persekitaran pusat latihan ini. Pembentangan kajian pada pagi ini, yang turut dihadiri oleh YB Menteri Kesihatan dan juga YDH Ketua Polis Negara, bertempat di PULAPOL Kuala Lumpur telah dibentangkan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur Dan Putrajaya, Y.Bhg Dr Ismail bin Abu Taat. 


Laporan keseluruhan pembentangan pagi ini merangkumi perkembangan hari pertama wabak 'Adenovirus' dikesan hingga ke hari ini. Sumber kajian merangkumi keputusan perkembangan siasatan kes di dalam wad serta dari Unit Rawatan Rapi (ICU). Dalam laporan penyelidikan ini juga, jadual aktiviti harian para pelatih di PULAPOL Kuala Lumpur turut menjadi fokus utama dan juga persekitaran PULAPOL Kuala Lumpur. Pembentangan diakhiri dengan cadangan serta langkah-langkah pencegahan wabak yang berbahaya ini dari terus merebak.


Setelah mendengar laporan keseluruhan pembentangan, YDH Ketua Polis Negara amat berpuas hati dan berjanji tindakan penyelesaian seperti langkah-langkah pembersihan akan dilaksanakan secepat yang mungkin.


"Kita telah mendengar hasil kajian daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan PDRM akan memberi perhatian yang serius terhadap jangkitan virus ini dari terus menular. Pihak PULAPOL Kuala Lumpur akan sentiasa bekerjasama serta mematuhi segala arahan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Marilah bersama kita berdoa agar tiada lagi kejadian yang tidak diingini berlaku sehingga boleh mendatangkan kematian kepada pelatih-pelatih dan kakitangan di sini," ujar YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara, satelah selesai sesi pembentangan pada pagi ini.


Hadir dalam sesi pembentangan hasil kajian pada pagi ini adalah YB Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan Malaysia. Turut hadir Y.Bhg Dato' Dr.Nor Hisyam bin Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Y.Bhg Dr Lokman Hakim bin Sulaiman, Pengarah Kawalan Penyakit Kuala Lumpur dan YDH SAC Zulkifli bin Mohamed, Komandan PULAPOL Kuala Lumpur serta Pegawai-pegawai Kanan PULAPOL Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...